Tanda Kanser Perut, Rasa Kenyang Walaupun Makan Sedikit?

Sakit perut adalah merupakan perkara normal yang pernah dialami oleh semua orang. Terdapat pelbagai punca dan faktor yang menyebabkan terjadinya sakit perut. Namun, tahukah anda sakit perut yang berpanjangan adalah merupakan salah satu simptom atau tanda kanser perut?

Apa Itu Kanser Perut

tanda kanser perut

Kanser perut terjadi disebabkan oleh sel-sel di bahagian dinding perut manusia tumbuh secara tidak normal dan tidak terkawal mengakibatkan berlakunya ketumbuhan di bahagian perut. 

Kebanyakan penghidap kanser perut ini adalah terdiri daripada golongan yang berumur lebih daripada 65 tahun ke atas dan lebih kerap terjadi di kalangan lelaki berbanding wanita. 

Seperti kebanyakan kanser yang lain, sekiranya ia mampu dikesan pada peringkat awal, peluang untuk pesakit sembuh sepenuhnya adalah tinggi.

Namun, disebabkan oleh simptom-simptom kanser ini kurang dirasai oleh pesakit, menyebabkan kegagalan untuk mendapatkan rawatan di peringkat awal. 

Oleh itu, adalah amat penting untuk kita mengetahui gejala serta tanda kanser perut agar dapat didiagnos lebih awal untuk mendapatkan rawatan. 

Teruskan membaca. 

Tanda Kanser Perut Yang Perlu Anda Ketahui

tanda kanser perut

1. Selera Makan Berkurangan & Berat Badan Turun Mendadak

Salah satu tanda kanser perut yang sering terjadi adalah selera makan anda mula berkurangan. Sekiranya anda tidak mempunyai selera makan untuk sehari dua atau ketika anda mendapat jangkitan, ia adalah satu perkara yang normal.

Tetapi, sekiranya ia berlanjutan sehingga menyebabkan berat anda turun mendadak anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor dengan segera. 

Secara amnya, sekiranya berat badan anda berkurangan melebihi 5% dalam tempoh masa 6 hingga 12 bulan tanpa sebarang usaha (anda tidak berhajat untuk diet), maka anda perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kadar segera.

2. Sakit Perut /Abdomen Berpanjangan 

Disebabkan sakit perut adalah perkara normal, kita sering terlepas pandang gejala ini. Sakit perut berpanjangan perlu diberi perhatian dan sila dapatkan rawatan segera.

Selain sakit perut, rasa tidak selesa pada perut terutamanya pada bahagian atas pusat juga salah satu tanda kanser perut. 

Perkara ini seringkali dipandang ringan memandangkan ia kebiasaannya akan reda dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, rasa tidak selesa tersebut boleh beransur-ansur bertukar menjadi sakit perut berpanjangan jika pemeriksaan dan rawatan tidak dilaksanakan.

Walaupun sakit perut berpanjangan boleh dikaitkan dengan kanser perut, namun ia bukanlah satu simptom yang spesifik kepada keadaan kesihatan tersebut. Ia bukan sahaja menjadi petanda awal kepada kanser perut namun kepada beberapa penyakit lain juga seperti:

  • Kanser pankreas.
  • Kanser hati.
  • Kanser saluran hempedu.
  • Kanser hempedu.
  • Kesakitan yang dialami kebiasaannya boleh mempengaruhi produktiviti harian.

Maka, dengan pemeriksaan anda dapat mengetahui punca sakit perut anda. 

3. Mudah Rasa Kenyang Walaupun Makan Sedkit

Mudah rasa kenyang walaupun hanya makan dalam kuantiti yang sedikit juga merupakan salah satu petanda kanser perut.

Hal ini terjadi kerana ketumbuhan memenuhi ruangan perut, isipadu perut menjadi lebih kecil menyebabkan penghidap kanser perut mudah berasa kenyang.

Walaubagaimanapun, sama seperti sakit perut berpanjangan, ini bukan menjadi petanda mutlak kanser perut namun boleh jadi disebabkan oleh penyakit lain juga. Oleh itu, pemeriksaan doktor adalah sangat penting. 

4. Perut Kelihatan Kembung Seperti Buncit

Perut buncit sering terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Namun, jika perut anda kelihatan kembung terutamanya selepas makan, ia mungkin tanda bahawa anda menghidap kanser perut.

Tetapi, terdapat pelbagai jenis faktor bukan kanser, terutamanya pemakanan, yang boleh menyebabkan abdomen anda kembung.

Selain kanser perut, kanser ovari juga boleh menyebabkan masalah perutkembung kesan daripada proses patologi yang mengakibatkan cecair berkumpul di ruangan organ yang terdapat di abdomen.

5. Loya & Muntah 

Loya dan muntah adalah simptom badan anda tidak sihat. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan, penyakit seperti kanser dan lain-lain. 

Namun, sekiranya anda muntah berdarah, ia menunjukkan petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada perut anda.

Jika jumlah darah yang dimuntahkan itu banyak dalam tempoh masa tertentu, pesakit berisiko mengalami komplikasi seperti pening kepala, kelesuan dan anemia.

Sila bergegas ke hospital berdekatan dengan segera kerana pesakit boleh mendapat kejutan hipovolemik kesan daripada pendarahan yang berlaku dan kematian.

6. Najis Berdarah

Selain muntah berdarah, najis berdarah juga merupakan salah satu simptom kanser perut. Walaupun darah di dalam najis boleh berpunca daripada pelbagai jenis masalah kesihatan seperti jangkitan usus dan buasir, tapi perbezaan warna pada najis tersebut boleh memberikan tip berkaitan dengan lokasi berlakunya pendarahan tersebut.

Jika pendarahan tersebut berlaku di organ perut, warna darah kebiasaannya bertukar menjadi lebih gelap dan ada kalanya hitam.

Keadaan ini dipanggil sebagai melena. Perubahan warna darah pada najis dalam kes kanser perut berlaku kesan daripada aktiviti enzim pencernaan dan bakteria usus.

Kesimpulan 

Sekiranya terdapat perubahan pada tubuh badan anda, sila dapatkan rawatan dengan segera. Jangan tunda-tunda kerana rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa anda. Jagalah kesihatan dan sentiasa amalkan gaya hidup sihat!

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/kanser-perut/, hellodoktor.com 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161