Hak & Tanggungjawab Suami Isteri Yang Wajib Dalam Perkahwinan

Terpanggil untuk memetik kata-kata arwah Tok Guru Nik Aziz dalam isu perkahwinan ini. Kata Tok Guru, “Berkahwin tidak serupa dengan berkawan. Bila kita berkahwin wajib atas kita dua perkara. Pertama, jaga tubuh isteri iaitu (makan minum, kain pakai, dan rumah). Kedua, jaga jiwa dan pemikiran isteri jangan sampai dia bercelaru, resah gelisah, runsing atau sebagainya. Bila kita berkahwin bagi isteri tenang sentiasa. Ini adalah hak dan tanggungjawab suami isteri yang wajib dalam perkahwinan.

Apakah hukum mendirikan perkahwinan?

Perkahwinan dalam Islam telah disyariatkan oleh Al-Quran dalam Surah An-Nur, ayat 32,

Maksudnya: “Dan kahwinilah orang-orang bujang lelaki dan perempuan dari kalangan kamu dan orang-orang hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan.”

Bahkan Rasulullah SAW juga ada bersabda,

Maksudnya: “Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu berkahwin maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsu.” – (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Hukum mendirikan perkahwinan ada empat iaitu fardhu, haram, makruh, dan sunnah.

1. Fardhu

Perkahwinan yang menjadi hukum wajib atau pun fardhu apabila dia yakin bahawa jika tidak berlahwin dia pasti akan terlibat dalam kancah perzinaan.

Bagi sesetengah individu yang telah berpuasa dan melakukan ibadah lainnya tetapi masih tidak mampu untuk menahan keinginan nafsunya maka dengan berkahwin sahaja dapat menjaga kesucian dan maruah diri daripada melakukan sesuatu yang dilarang dan haram dalam agama.

2. Haram

Perkahwinan menjadi haram bila mana individu tersebut yakin jika ia dilakukan juga akan berlakulah kekerasan, kezaliman, dan ketidakadilan ke atas isterinya serta mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.

Tanggungjawab di sini bermaksud dari segi menyediakan tempat tinggal yang sempurna, pakaian, makanan, jaminan kesihatan dan keselamatan, dan lain-lain keperluan asas yang dituntut oleh syarak ke atas setiap suami.

3. Sunat

Pendapat jumhur ulamak kecuali Imam Syafie’ mengatakan bahawa, sesuatu perkahwinan itu dianggap sunnat apabila lelaki berada dalam keadaan normal iaitu tiada apa-apa kebimbiangan atau kemungkinan pada dirinya untuk melakukan zina sekalipun ia memilih untuk terus membujang dan tidak berkahwin.

Pendapat Imam Syafie’ pula beliau mengatakan perkahwinan lelaki yang berada dalam situasi normal seperti itu hukumnya adalah harus iaitu dia bebas menentukannya sendiri sama ada memilih untuk terus berkahwin atau tidak.

4. Makruh

Perkahwinan dianggap makruh apabial seseorang berasa bimbang akan kemungkinan dia akan melakukan kezaliman atau kekerasan serta tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab atau memberikan keadilan ke atas dirinya dan isteri.

Namun begitu, kebimbangan yang dikhuatiri itu tidaklah sampai ke tahap pasti atau benar-benar yakin ia akan berlaku sedemikian.

Tanggungjawab seorang suami terhadap isteri

1. Memberi nafkah kepada isteri

Firman Allah SAW di dalam Surah At-Talaq ayat 7 yang bermaksud:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”

2. Memimpin dan memelihara isteri dengan nasihat dan pengajaran

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Berilah pengajaran yang baik kepada kaum wanita, kerana kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk. Adapun tulang rusuk yang paling bengkok ialah tulang rusuk yang paling atas, yang apabila engkau luruskan ia akan patah dan apabila engkau biarkan ia tetap bengkok. Oleh itu berilah pengajaran kepada kaum wanita dengan cara yang baik.” – (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

3. Memberi keadilan kepada isteri terutamanya bagi suami yang beristeri lebih dari seorang

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik pada isterinya.” – (Hadis Riwayat Tirmizi & Abu Daud)

4. Menggembirakan hati isteri

Diriwatkan dari Aisyah RA bahawa pada suatu hari beliau pernah ditanya: Maksudnya: “Bagaimanakah sikap baginda Rasul SAW ketika di dalam rumah? Maka Aisyah menjawab: Baginda Rasul adalah orang yang paling lemah lembut, sering tersenyum dan sering pula tertawa.” – (Hadis Riwayat Ibnu Saad)

5. Menyara anak-anak

“Tanggungjawab untuk menyara dan menafkahkan keluarga terletak di bahu suami. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (ayat 233 yang bermaksud), ‘… kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya’.

6. Merahsiakan kekurangan, kecacatan, dan aib isteri dari pengetahuan orang lain

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba menutupi (aib) seorang hamba (yang lain) di dunia melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”

Berpandukan sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Sa’id al-Khudriy RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling jelik kedudukannya pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba menutupi (aib) seorang hamba (yang lain) di dunia melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”

Tanggungjawab seorang isteri terhadap suami

1. Taat pada suami dan patuh terhadap nasihatnya

Sabda Rasulullah SAW yang diriwatkan oleh Ibnu Majah dan Tirmizi yang bermaksud: “Mana-mana wanita yang mati sedangkan suaminya redha akannya, maka dia akan masuk syurga.”

Manakala di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad dan selainnya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya seseorang wanita sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan taat akan suaminya, akan dikatakan padanya masuklah kamu dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.”

2. Memelihara maruah suami dan hartanya sama ada ketika kehadirannya atau ketiadaannya

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam sahihnya dari Abu Hurairah RA sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “… dan janganlah seorang wanita membelanjakan harta suaminya melainkan dengan izinnya.”

Manakala hadis lain daripada Ibn Umar dan Ibn Abbas RA. “Janganlah seorang wanita
mensedekahkan sesuatu harta dari rumah suaminya melainkan dengan izinnya, maka sekiranya dilakukannya juga, adalah bagi suaminya pahala dan ke atasnya (isteri) dosa…”

3. Membantu suami dalam menguruskan urusan rumah tangga

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka dengan cara yang sepatutnya.

4. Meminta izin suami dalam perkara-perkara tertentu

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

“Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya menyaksikannya melainkan dengan izin suaminya, dan tidak mengizinkan seseorang memasuki rumah kecuali dengan izin suaminya…”

5. Tinggal bersama suami di tempat tinggal yang disediakan

Wajib bagi seorang isteri tinggal bersama suami di tempat tinggal yang telah disediakan bagi perkahwinan mereka. Ia mengikut kemampuan bagi seorang suami itu sama ada mewah atau sederhana.

6. Berhias diri hanya untuk tatapan suami sahaja dan tidak untuk orang lain

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Dan janganlah kamu berhias (di depan lelaki bukan mahram) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang terdahulu.” – (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Hak seorang suami menurut syarie (Huquq Al-Zawaj)

Hak suami merupakan tanggungjawab yang wajib dilakukan oleh isteri. Ia ialah tanggungjawab yang tidak seharusnya diabaikan oleh isteri apabila berlangsungnya akad perkahwinan di antara mereka berdua. Hal ini kerana, keredhaan seorang isteri terletak pada suaminya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Maksudnya: “Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti saya akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya.” – (Hadis Riwayat al-Tirmiz)

  • Isteri mentaati suami
  • Menjaga maruah suami
  • Menjaga perasaan suami
  • Isteri mentadbir rumah tangga suami
  • Memelihara anak-anak suami

Hak seorang isteri menurut syarie (Huquq Al-Zawjah)

Isteri mempunyai hak sebagaimana suami selepas berlangsungnya akad nikah kerana melaluinya akan menimbulkan hak-hak dan tanggungjawab antara keduanya.

  • Tempat tinggal asing dan selesa
  • Belanja utiliti rumah
  • Makan dan minum
  • Pakaian itu bukan baju semata-mata termasuk taula wanita, peralatan mandi, peralatan solek, dan apa sahaja keperluan wanita
  • Tidak boleh dipukul
  • Dilayan dengan cara yang baik
  • Giliran bermalam yang adil sekiranya wanita hidup bermadu

Kemas rumah tugas suami atau isteri?

Pada pandangan jumhur ulama’ iaitu dalam mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian pandangan dalam mazhab Maliki mengatakan bahawa tidak menjadi kewajiban bagi seorang isteri untuk melakukan kerja rumah. Namun begitu, adalah lebih baik adalah seorang isteri perlu membantu seorang suami dengan melihat adat setempat.

Kedua-duanya perlulah berbincang untuk mendapat persetujuan bersama agar kita dapat melakukan kerja rumah bersama-sama. Rasulullah SAW juga dalam kesibukan sibuk memimpin ummah, baginda juga tidak mengabaikan tanggungjawab di rumah. Ini berdasarkan sebuah hadis,

Maksudnya: “Aisyah pernah ditanya mengenai perilaku baginda Rasulullah apabila di rumah. Maka kata Aisyah: Baginda suka membantu pekerjaan rumah isterinya, apabila tiba waktu solat, maka baginda akan pergi untuk melaksanakan solat.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Tanda nusyuz bagi seorang suami

Nusyuz seorang suai boleh berlaku apabila suami tidak memberikan hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin. Antara tandanya adalah seperti:

  • Tidak melakukan tanggungjawab yang wajib terhadap isterinya
  • Tidak menggauli isterinya dengan baik
  • Tidak memberikan giliran bermalam sekiranya beristeri ramai
  • Tidak memberi mahar
  • Tidak memberi nafkah, pakaian dan keperluan hidup yang lain

Kesimpulan

Diharapkan artikel tentang tanggungjawab suami dan isteri ini dapat memberikan pengetahuan yang berguna khususnya kepada pengantin baru yang bakal mendirikan rumah tangga bersama pasangan.

Rujukan

  1. Hak Suami Isteri dalam Perkahwinan Islam: Analisis menurut Fiqh. Bakar & Abdullah, 2008. Journal of Ethics, Legal, and Governance
  2. Al-Kafi #642: Mengemas Rumah Tugas Suami atau Isteri. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Irsyad Al-Fatwa Siri ke -371: Nusyuz Bagi Seorang Suami. Mufti Wilayah Persekutuan
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113