Teh Hijau, Teh Terbaik Untuk Kesihatan Badan
Teh hijau merupakan minuman yang sangat bermanfaat untuk kesihatan. Minuman yang telah diamalkan selama 5000 tahun ini sebenarnya berasal dari Timur Tengah dan Asia. Ia juga diamalkan dengan meluas di negara Jepun dan China. Teh ini mendapat namanya daripada warna hijau yang dihasilkan ketika ketika ia dibru.
Green tea diperbuat daripada daun teh yang sama dengan teh hitam. Namun, teh ini tidak melalui proses fermentasi. Hasilnya, warna daun yang hijau dan kandungan antioksidannya dapat dikekalkan.
Teh ini juga sangat versatil, ia boleh diminum sejuk, panas atau bersama susu. Malah, ada banyak manisan seperti kek, roti dan sebagainya yang menggunakan serbuk green tea sebagai bahan utamanya.
6 Manfaat teh hijau kepada kesihatan
Ada sebabnya mengapa teh hijau sangat baik untuk kesihatan. Mari ketahui 6 kebaikan green tea terhadap tubuh badan kita:
1. Kaya dengan polifenol
Suka minum teh hijau? Tahukah anda, minuman ini mempunyai polifenol, sejenis kompaun yang dapat mengurangkan inflamasi dan membantu melawan kanser?
Atas sebab itu, green tea sering diambil sebagai minuman diet kerana kandungan nutrisinya yang pelbagai.
Selain itu, teh juga mengandungi kompaun bioaktif yang dikenali sebagai epigallocatechin-3-gallate (EGCG). Bahan ini dapat mengurangkan radikal bebas dalam badan dan melindungi sel badan daripada sebarang kerosakan.
2. Teh hijau mungkin dapat menguatkan fungsi otak
Tambah lagi, teh hijau juga mempunyai pelbagai stimulan semula jadi seperti kafein.
Walau bagaimanapun, kandungan kafein di dalam teh ini tidaklah setinggi kopi. Semua orang tahu, kafein dapat membantu kita untuk lebih fokus ketika bekerja atau belajar.
Bukan itu sahaja, secawan teh juga mengandungi asid amino yang dikenali sebagai L-theanine, yang dapat membuatkan kita lebih relaks dengan cara menggalakkan rembesan hormon seperti dopamin dan serotonin.
Polifenol juga dapat memperlahankan proses penuaan otak.
Disebabkan kandungan kafein yang lebih rendah, kesan teh hijau terhadap badan tidaklah sekuat kopi. Malah, ramai yang memilih teh ini kerana ia membuatkan mereka lebih rileks dan tidak menyebabkan jantung berdegup terlalu laju seperti kopi.
3. Bagus untuk mereka yang ingin kurus
Kajian menunjukkan, pengambilan teh hijau mungkin dapat meningkatkan tahap metabolik dan menggalakkan pembakaran lemak.
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam The American Journal of Clinical Nutrition, mereka mendapati lelaki yang mimun teh hijau dapat membakar kalori 4% lebih banyak berbanding mereka yang tidak mengambilnya.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian tambahan yang perlu dilakukan. Kajian diatas berskala kecil dan mungkin tidak tepat.
Namun, dengan adanya bahan-bahan seperti kafein dan catechins, tidak mustahil teh ini dapat membantu anda untuk membakar lemak dengan lebih pantas.
4. Dapat meningkatkan kesihatan mental
Sebab itulah secawan teh dapat membuatkan anda rileks!
Secawan teh mengandungi theanine yang dapat mengurangkan stres, membuatkan anda rileks dan mengurangkan kegelisahan (anxiety) daripada kafein.
Malah, teh hijau juga mengandungi jumlah theanine yang paling tinggi jika dibandingkan dengan teh lain seperti teh oolong, hitam dan putih – menurut sebuah kajian yang dimuatkan dalam Pharmacognosy Magazine.
5. Teh hijau membantu mengawal diabetes jenis 2
Minum teh, terutamanya teh hijau sangat efektif untuk mengawal kadar gula dalam darah. Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Antioxidants, bahan-bahan yang terkandung dalam green tea dapat mengurangkan rintangan insulin.
Rintangan insulin akan berlaku apabila sel badan tidak lagi sensitif terhadap hormon insulin, yang membantu menukar gula dalam darah kepada tenaga. Rintangan insulin merupakan salah satu faktor risiko diabetes jenis 2.
6. Dapat mengurangkan risiko sakit jantung
Kajian juga menunjukkan teh hijau dapat mengurangkan risiko sakit jantung dan juga penyakit berkaitan, seperti strok.
Strok merupakan antara punca utama kematian dan kecacatan dalam kalangan orang dewasa di Amerika Syarikat. Minum teh ini merupakan salah satu cara untuk mengurangkan risiko strok.
Sebagai contoh, menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam American Journal of Clinical Nutrition, mereka yang minum teh mempunyai risiko strok yang lebih rendah.
Malah, semakin banyak teh hijau yang diminum, semakin kuranglah risiko serangan jantung dan strok pada masa hadapan.