Tonsil Bengkak? – Punca, Simptom dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu
Tonsil Bengkak?
Menurut portal MyHealth, setiap manusia mempunyai 2 biji tonsil. Tonsil adalah gumpalan tisu limfoid (sub-epitelium) yang terletak di bahagian tekak (orofarinks) dan berbentuk bujur.
Fungsi tonsil ini adalah sebagai ‘pelindung’ untuk memantau dan memberi ‘amaran’ kepada tubuh mengenai jangkitan yang masuk melalui udara dan juga makanan, melindungi saluran pernafasan, dan penting untuk sistem imuniti tubuh badan.
Tonsil bengkak sebenarnya adalah istilah untuk keradangan tisu (tonsil) yang terdapat bahagian tekak anda Keradangan ini boleh menyebabkan kesakitan dan juga ketidakselesaan di bahagian tekak anda. Adakalanya, nak telan air liur pun susah!
Biasanya, keradangan ini berlaku disebabkan oleh jangkitan virus ataupun bakteria di bahagian tisu tersebut. Rawatan untuk sakit ini adalah bergantung kepada punca dan diagnosis yang dilakukan oleh pakar perubatan agar rawatan yang diberikan sesuai dan berkesan untuk mengurangkan radang yang berlaku.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit tonsil bengkak ini, teruskan membaca artikel di bawah.
Punca, Simptom & Rawatan Tonsil Bengkak
- Punca
Keradangan ini boleh disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Namun penyebab utama yang selalu menyebabkan keradangan ini berlaku adalah disebabkan oleh jangkitan virus.
Contoh virus yang sering menjadi punca jangkitan ialah Adenovirus, Cytomegalovirus (CMV), Epstein-Barr virus (EBV), Epstein-Barr virus (EBV), Herpes Simplex Virus (HSV),dan virus campak.
Manakala, bakteria yang selalu menjadi punca keradangan pula ialah Group A Beta-Hemolytic Streptococcus (GABHS). Bakteria yang lain adalah seperti Streptococcus Pneumoniae, Staphylococci dan Haemophilus Influenza.
- Simptom-simptom
Simptom-simptom tonsil bengkak yang sering dialami oleh pesakit adaalah seperti berikut:
- Sakit tekak & sukar menelan
- Demam panas
- Sakit telinga – disebabkan oleh “referred pain” (sakit yang berasal di tekak tetapi turut dirasai ditelinga kerana mempunyai saraf yang sama) atau disebabkan oleh komplikasi tonsilitis seperti jangkitan kuman di telinga tengah (Otitis media akut).
- Gejala lain – sakit kepala, lemah tubuh, sakit badan, sembelit, hilang selera makan, sakit perut (limfadenitis mesentrik)
Untuk kanak-kanak kurang daripada setahun, simptom yang perlu diberi perhatian ialah air liur yang meleleh, muntah, selera makan berkurang kerana sakit dibahagian tekak, meragam kerana masih belum boleh memberi ekspresi sakit.
Selain itu, anda juga mungkin mengalami tanda-tanda seperti, nafas berbau, kelihatan nanah atau selaput putih di bahagian tekak apabila membuka mulut, anak tekak dan lelangit berwarna merah terang,
- Rawatan
Terdapat beberapa perkara asas yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala tonsil bengkak seperti minum air putih yang banyak, berehat, berkumur dengan air garam, makan gula-gula lozenges (untuk umur 4 tahun ke atas sahaja), elakkan makan makanan yang keras dan panas, dan sebagainya.
Untuk rawatan khusus pula, ia bergantung pada punca yang telah dikenalpasti oleh pihak doktor. Sekiranya tonsil bengkak disebabkan oleh bakteria, anda perlu memakan ubat antibiotik. Sekiranya disebabkan oleh jangkitan virus, anda tidak perlu memakan antibiotik dan akan mendapat ubat untuk menghilangkan jangkitan.
Sekiranya ia kerap berlaku atau boleh menyebabkan kompilasi lain, pembedahan untuk membuang tonsil boleh dilakukan.
Pastikan anda mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran sebaik sahaja mengalami simptom-simptom berkaitan terutamanya untuk kanak-kanak dibawah umur 4 tahun bagi mengelakkan komplikasi lain.
Sumber: https://rootofscience.com, http://www.myhealth.gov.my/