Ubat Gugur Kandungan, Selamatkah Digunakan?
Memiliki anak adalah sebuah pilihan. Oleh itu, sebelum melakukan hubungan kelamin, anda perlu mengetahui risiko-risiko yang mungkin terjadi seperti kehamilan.
Pengguguran adalah satu tindakan yang tidak digalakkan untuk diambil melainkan dengan nasihat doktor atau pun pakar perubatan yang bertauliah. Biasanya ia disebabkan oleh hal-hal kesihatan diri ibu dan juga janin.
Ubat Gugur Kandungan
Untuk makluman anda, pengguguran boleh dilakukan melalui dua cara iaitu pembedahan ataupun menggunakan ubat-ubatan.
Pengambilan pil ubat gugur kandungan adalah dibawah kategori pengguguran secara menggunakan ubat-ubatan.
Di Malaysia, penjualan ubat gugur kandungan adalah dilarang sama sekali. Walaubagaimanapun, terdapat agensi yang berani menjual ubat-ubatan ini secara haram terutamanya kepada pengguna yang belum berkahwinuntuk menggugurkan kandungan mereka.
Dua Jenis Ubat Gugur Kandungan
Terdapat dua jenis ubat gugur kandungan yang biasanya digunakan iaitu; Mifepristone dan Misoprostol.
- Mifepristone: Ubat ini bertindak untuk menghalang fungsi hormon progesteron yang diperlukan oleh janin untuk berkembang dan lahir dengan sempurna.
- Misoprostol: Ubat ini akan menyebabkan berlakunya kekejangan serta pendarahan untuk membersihkan rahim. Biasanya ia diambil selepas pengambilan mifepristone 6 hingga 48 jam.
Setelah mengambil kedua-dua ubat ini, proses pengguguran janin akan berlaku. Ia akan berlaku bermula satu hingga empat jam selepas pengambilan misoprostol.
Pada mulanya, ia akan menyebabkan sakit perut selama beberapa jam dan pendarahan serta menyebabkan pesakit mengalami pengeluaran darah beku (kadangkala sebesar sebiji buah lemon). Tanda-tandanya juga seakan-akan mengalami keguguran.
Biasanya, ia akan mengambil masa dalam 4 hingga 5 jam untuk ‘melepaskan’ tisu atau darah beku tersebut. Pendarahan akan mula berkurangan selepas darah beku tersebut keluar. Namun, sakit perut mungkin akan berlarutan selama 1 atau 2 hari.
Sekiranya anda melakukan pengguguran di klinik atau hospital, doktor akan mencadangkan pengambilan ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan ubat-ubat lain sebelum anda mengambil ubat kedua, misoprostol.
Bila Sesuai Diambil?
Ubat gugur kandungan boleh diambil mengikut arahan doktor yang bertauliah sahaja. Sekiranya perlu seperti berlakunya isu kesihatan yang melibatkan janin dan bayi, ubat ini akan diambil sebelum usia kandungan 70 hari.
Alternatif lain selain menggunakan ubat gugur kandungan, ialah menggunakan prosedur yang dikenali sebagai ‘Dilatation and Curettage’.
Ini merupakan sebuah prosedur invasif di mana sejenis alat akan dimasukkan ke dalam faraj sehingga ke dalam rahim dan alat tersebut akan digunakan untuk memecahkan serta mengorek keluar kandungan dalam rahim. Prosedur ini akan dilakukan sekiranya usia kandungan telah melebihi 70 hari.
Kesan Sampingan
Terdapat beberapa kesan sampingan yang boleh berlaku akibat pengambilan ubat gugur kandunga, iaitu:
- Kekejangan
- Pendarahan yang banyak
- Keletihan
- Sakit payu dara
- Loya dan muntah-muntah
- Demam
- Cirit-birit
- Jangkitan kuman (Saki baki kandungan yang digugurkan masih tertinggal di dalam rahim berpotensi untuk menyebabkan jangkitan kuman atau “septic abortion” dan boleh mengancam nyawa)
Sumber: https://www.doctoroncall.com.my/