Perlukah Ibu Mengandung Mengambil Suplemen Vitamin C?

Vitamin C merupakan sejenis vitamin larut air dan antioksidan yang sangat penting untuk kesihatan badan. Bagi wanita yang sedang hamil, pasti ada yang tertanya-tanya akan keperluan vitamin C untuk ibu mengandung, terutamanya untuk meningkatkan daya tahan dan sistem imun badan.

Namun, perlukah ibu hamil mengambil suplemen vitamin C untuk menyokong perkembangan janin? Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

Keperluan vitamin C untuk ibu mengandung

vitamin c untuk ibu mengandung

Vitamin C, juga dikenali sebagai L-ascorbic acid merupakan sejenis vitamin yang penting untuk badan, termasuklah ketika mengandung. Badan manusia tidak boleh menyimpan vitamin C, jadi anda perlukan vitamin C baharu setiap hari.

Ketika hamil, vitamin C sangat penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan. Bukan itu sahaja, vitamin C juga diperlukan untuk memperbaiki tisu badan dan membantu perkembangan tulang dan gigi anak dalam kandungan.

Selain itu, vitamin C juga membantu badan menghasilkan kolagen, sejenis nutrien penting untuk kulit.

Bagi wanita yang gemar memakai serum yang mengandungi vitamin C, pemakaian produk ini adalah selamat ketika hamil. Ia juga boleh melindungi kulit anda daripada bahaya selaran matahari.

Paling penting, vitamin C jugalah yang membantu menguatkan lagi sistem imun badan, terutamanya ketika mengandung.

Walaupun vitamin pranatal mengandungi vitamin C, ibu hamil sangat digalakkan untuk menambah buah-buahan sitrus dan juga sayuran ke dalam diet harian.

Buah-buahan seperti oren, limau dan lemon serta sayur-sayuran seperti brokoli, tomato dan cili adalah antara contoh makanan yang kaya dengan vitamin C, sesuai untuk pengambilan ibu yang sedang berbadan dua.

Kajian menunjukkan, kekurangan vitamin C merupakan antara penyebab praeklampsia, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan tekanan darah ibu meningkat. Jika tidak dirawat, praeklampsia boleh membahayakan nyawa ibu dan juga bayi dalam kandungan.

Berapa banyak vitamin C untuk ibu mengandung?

vitamin c untuk ibu mengandung

Wanita yang hamil digalakkan mengambil 85 mg vitamin C setiap hari. Sebagai perbandingan, segelas buah strawberi boleh memberikan 2 kali ganda vitamin C yang diperlukan oleh badan.

Ketika hamil, ibu boleh menggandakan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin C.

Pasti ramai yang tertanya-tanya sama ada suplemen vitamin C untuk ibu mengandung selamat untuk diambil, terutamanya untuk ibu yang ingin meningkatkan tahap sistem imun masing-masing.

Menurut pakar, cara yang terbaik untuk mendapatkan vitamin C adalah melalui vitamin pranatal dan juga pengambilan makanan tertentu dalam diet harian.

Vitamin dan mineral lain yang penting ketika hamil

vitamin c untuk ibu mengandung

Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral ketika hamil amat penting untuk kesihatan kedua-dua ibu dan bayi.

Oleh sebab itu, ibu hamil perlulah lebih berhati-hati ketika memilih makanan untuk memastikan nutrisi yang diterima mencukupi untuk menyokong tumbesaran bayi.

Wanita hamil memerlukan protein, folat, iodin, zat besi dan juga vitamin. Menurut NHS, nutrien ini sangat penting untuk:

  1. Folat, juga dikenali sebagai asid folik, dapat mengelakkan sebarang kecacatan janin seperti spina bifida. Selalunya, doktor akan membekalkan suplemen asid folik kepada ibu yang hamil.
  2. Iodin amat penting untuk perkembangan otak dan sistem saraf bayi.
  3. Zat besi penting untuk mengelakkan anemia dalam kalangan ibu mengandung.
  4. Vitamin B12 dan D penting untuk menyokong perkembangan sistem saraf dan tulang bayi. Vitamin C untuk ibu mengandung pula penting untuk menggalakkan penyerapan zat besi ke dalam darah.

Perlukah saya mengambil suplemen?

Semua wanita hamil perlu mengambil suplemen asid folik, iodin dan vitamin D.

Selain itu, wanita juga digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat. Pastikan diet yang diambil kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral yang mampu menyokong proses kehamilan.

Jika anda memerlukan sebarang suplemen lain, terutamanya vitamin C untuk ibu mengandung, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu.

Ada wanita yang memerlukan lebih banyak suplemen untuk perkembangan bayi masing-masing.

Selain itu, wanita yang mempunyai masalah kekurangan nutrien mungkin dinasihatkan untuk mengambil suplemen. Sebagai contoh:

  1. Anda merupakan seorang vegetarian atau vegan dan tidak dapat mengambil vitamin B12 dengan mencukupi.
  2. Anda tidak mendapat kalsium yang mencukupi daripada produk tenusu atau produk lain.
  3. Anda mempunyai tahap zat besi yang rendah.
  4. Kadar asid lemak omega-3 dalam badan anda rendah.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan, jangan malu atau segan untuk bertanya pada doktor yang bertugas. Mereka dapat memberikan anda nasihat dan juga cadangan berkenaan dengan kehamilan anda.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: