Waktu Subur Lelaki, Sperma Aktif Pukul 4 Pagi?

Memiliki zuriat adalah merupakan impian setiap pasangan. Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan dalam berusaha memiliki zuriat tanpa perlu membebankan kepada sang isteri sahaja. 

Terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian dalam rangka usaha untuk mendapatkan zuriat. Salah satunya ialah, waktu subur. 

Selalunya, waktu subur seringkali dikaitkan dengan wanita dan kurang diberi penekanan untuk kaum lelaki. Ia tidak wajar berlaku kerana waktu subur lelaki juga memainkan peranan penting untuk membantu proses kehamilan. 

Mari teruskan membaca. 

Bilakah Waktu Subur Lelaki ?

Berbeza dengan wanita, waktu subur lelaki boleh ditentukan berdasarkan dua faktor iaitu, kualiti dan kuantiti sperma yang terkandung dalam air mani mereka.Tidak semua waktu air mani yang dikeluarkan mengandungi  kualiti dan kuantiti yang terbaik. 

Sperma adalah merupakan sel yang dihasilkan di dalam testis dan terkandung di dalam air mani lelaki. Ia boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor contohnya seperti suhu dan masa.

waktu subur lelaki

Untuk makluman anda, secara umumnya, kuantiti sperma adalah lebih banyak pada waktu pagi dan cuaca sejuk. Inilah dikatakan ‘waktu subur’ bagi kaum lelaki. Membuat hubungan suami isteri pada waktu tersebut adalah satu keputusan yang digalakkan bagi meningkatkan kemungkinan untuk mengandung. 

Bahkan, ramai pakar yang mengatakan waktu subur untuk lelaki yang paling tepat adalah sekitar jam 4.00 pagi sehingga 7.00 pagi. Hal ini kerana, jumlah sperma berada pada tahap kualiti dan kuantiti yang paling tinggi. Oleh itu, pasangan suami isteri perlu memanfaatkan waktu ini sebaiknya.

Manakala ketika cuaca panas pula, kuantiti dan kualiti sperma akan menjadi sedikit berkurangan. Ini disebabkan oleh testis yang sangat sensitif terhadap suhu persekitarannya. 

Sehubungan dengan itu, kaum lelaki adalah sangat tidak digalakkan untuk sering mandi wap, sauna atau berendam di dalam tab, jakuzi dan kolam air panas kerana boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti sperma mereka. 

Faktor Usia Mempengaruhi Waktu Subur Lelaki?

Untuk memastikan sperma yang mempunyai kuantiti & kualiti yang terbaik, anda perlu menjaga beberapa perkara termasuklah pemakanan dan cara hidup. Amalkan pemakanan sihat dan seimbang, berhenti merokok serta rajinkan bersenam. 

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan, kuantiti & kualiti sperma juga dipengaruhi oleh faktor usia. 

Lelaki lebih muda memiliki sperma yang lebih aktif dan menghasilkan jutaan sperma baharu setiap hari dan jumlah ini akan menurun seiring pertambahan usia (terutamanya 40 tahun ke atas). Namun begitu, ia tetap tergantung pada individu tersebut berdasarkan gaya hidup yang diamalkan. 

Masalah Yang Sering Dihadapi Lelaki

Walaubagaimanapun, tidak semua lelaki dikurniakan kualiti & kuantiti sperma seperti yang diinginkan disebabkan oleh masalah kesihatam. Berikut merupakan beberapa masalah sperma yang biasa terjadi kepada lelaki:-

  • Oligozoospermia – masalah kuantiti sperma yang rendah
  • Asthenozoospermia – masalah mobiliti sperma
  • Teratozoospermia – masalah morfologi sperma
  • Oligoasthenoteratozoospermia – gabungan ketiga-tiga masalah di atas
  • Azoospermia – langsung tidak mempunyai sperma

Kesimpulan

Sentiasa utamakan penjagaan kesihatan diri bagi memastikan sperma anda mempunyai kuantiti dan kualiti yang terbaik. Sekiranya mempunyai sebarang masalah atau kekeliruan, dapatkan bantuan pakar perubatan dengan segera tanpa segan silu. 

Sumber: mstar.com, hellodoktor.com 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161