Pengiraan waktu subur merupakan sesuatu yang sangat sinonim dalam kalangan wanita. Disebabkan kitaran haid, wanita mempunyai waktu suburnya yang tersendiri setiap bulan. Tetapi, bagaimana pula dengan kaum Adam? Bagaimana pula caranya untuk mengira waktu subur lelaki?

Menurut ReproductiveFacts.org, pasangan yang baru berkahwin mempunyai kebarangkalian untuk menimang cahaya mata sebanyak 20% hingga 37% dalam 3 bulan pertama. Manakala, 75% pasangan akan berjaya menimang cahaya mata dalam masa 6 bulan pertama.

Oleh sebab itu, pasangan yang sudah mencuba tetapi masih belum hamil dalam masa 2 tahun perlu berjumpa doktor secepat mungkin. 20% masalah kesuburan adalah disebabkan lelaki. 30% lagi disebabkan gabungan faktor lelaki dan juga wanita.

Berbeza dengan wanita, lelaki tidak mempunyai waktu subur tertentu. Malah, kaum Adam boleh melakukan proses reproduktif semenjak sperma dihasilkan. Lelaki mula akil baligh sejak berusia 9 hingga 14 tahun.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai waktu subur lelaki, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Bilakah waktu subur lelaki?

Untuk pengetahuan anda, tidak ada waktu subur untuk lelaki. Sperma akan dihasilkan setiap masa lalu disimpan di dalam testis.

Oleh sebab itu, lelaki boleh menjalankan proses reproduktif seperti biasa. Malah, sperma juga boleh hidup selama 6 hari di dalam rahim wanita!

Walau bagaimanapun, ada beberapa kajian yang menunjukkan lelaki paling subur pada waktu pagi. Pada waktu ini, jumlah sperma akan bertambah. Namun, peningkatan ini tidaklah ketara.

Walau bagaimanapun, keseburan lelaki bukanlah ditentukan oleh jumlah sperma. Kualiti sperma lebih penting.

Jika anda sering mencuba namun tidak berjaya untuk menimang cahaya mata, anda mungkin mempunyai masalah kiraan sperma rendah. Walau bagaimanapun, jangan panik. Ini merupakan salah satu punca lazim ketidaksuburan dalam kalangan lelaki.

Jika anda mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuklah mengambil diet yang seimbang, bersenam dengan kerap, kurangkan minum minuman beralkohol dan berhenti merokok, kualiti sperma anda dapat ditingkatkan.

Walau bagaimanapun, perubahan dari segi gaya hidup tidak dapat memberikan kesan secara serta-merta. Malah, ia mungkin mengambil masa lebih dari 3 bulan sebelum anda dapat menyaksikan apa-apa perubahan pada sperma.

Cara untuk tingkatkan kesuburan lelaki

Berbeza dengan wanita, waktu subur lelaki boleh dikatakan hampir sepanjang masa. Walaupun begitu, lelaki juga boleh mempunyai masalah kesuburan, terutamanya yang berkait rapat dengan kualiti sperma.

Namun, ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk tingkatkan kesuburan lelaki. Antaranya:

Lakukan senaman dengan lebih kerap

Semua orang tahu bahawa senaman boleh membuatkan mood kita jadi lebih baik. Tetapi, mungkin ramai yang tidak sangka, senaman juga boleh membuatkan kualiti sperma meningkat!

Menurut kajian, lelaki yang rajin bersenam mempunyai kualiti sperma yang lebih baik. Pada masa yang sama, kiraan sperma juga meningkat.

Jangan selalu stres

Buat lelaki di luar sana, jangan terlalu kerap stres, lebih-lebih lagi apabila anda cuba untuk menimang cahaya mata. Cuba lakukan perkara yang disukai untuk mengelakkan tekanan perasaan.

Jika ada masa lapang, cuba ajak isteri keluar bercuti dan bermesra di waktu pagi. Bukankah ini merupakan waktu subur lelaki?

Cuba turunkan berat badan

Banyak kajian yang menunjukkan bahawa lelaki yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan lebih sukar untuk menimang cahaya mata. Malah, kajian yang sama juga mendapati sperma lelaki yang obes tidak sihat dan berkualiti rendah.

Berhenti merokok dan jangan ambil dadah

Jika anda merokok, berhenti secepat mungkin. Lelaki yang merokok mempunyai bilangan sperma yang sedikit. Malah, jumlah sperma yang dihasilkan juga lebih sedikit berbanding lelaki yang tidak merokok.

Sama jugalah dengan lelaki yang mengambil dadah rekreasi. Ada beberapa jenis dadah yang boleh menyebabkan masalah ereksi.

Ambil makanan yang sihat

Pilih diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran. Semua makanan ini kaya dengan vitamin dan mineral yang dapat membantu menghasilkan sperma yang berkualiti.

Lelaki juga perlu mengambil lebih banyak lemak sihat dan juga daging pejal. Kurangkan makanan berlemak dan berminyak untuk pastikan sperma sentiasa sihat.

Waktu subur lelaki, adakah ia berkait rapat dengan jenis seluar dalam?

Ini merupakan antara soalan kegemaran pembaca setakat ini. Adakah pemakaian seluar dalam atau boxer memberikan impak terhadap waktu subur lelaki?

Menurut kajian, tidak ada bezanya jika lelaki memilih untuk memakai boxer ataupun seluar dalam. Kedua-duanya tidak mempunyai impak terhadap waktu subur lelaki.

Malah, kajian yang dilakukan pada tahun 2016 ini juga telah membuktikan bahawa tidak ada bezanya jika lelaki memakai seluar dalam ataupun boxer. Oleh sebab itu, pilihlah pakaian dalam mengikut keselesaan anda.

Leave a comment

Your email address will not be published.