Cara Kenalpasti Waktu Subur Wanita Untuk Mudah Hamil

Buat pasangan yang merancang untuk mendapatkan zuriat, anda perlulah ketahui waktu subur wanita secara tepat. 

Waktu subur atau ovulasi berlaku apabila telur matang dibebaskan dari ovari. Telur tersebut kemudian akan bergerak ke tiub fallopian. 

Sekiranya sperma hadir ketika telur dilepaskan dalam tiub fallopian, kemungkinan untuk telur disenyawakan menjadi embrio lebih besar. 

Oleh itu, adalah penting bagi kedua-dua suami dan isteri untuk ketahui waktu subur secara tepat. 

waktu subur wanita
Kredit Foto : healthline.com

Baca Juga : 13 Tanda Kehamilan Yang Bakal Ibu Perlu Tahu Sebagai Persiapan

Tanda-Tanda Kesuburan 

Pada waktu kesuburan, wanita biasanya akan alami gejala seperti berikut :

  • Keluar cecair dari faraj seperti warna putih telur mentah
  • Payudara terasa lebih lembut dan sensitif
  • Suhu badan meningkat sedikit setelah bangun tidur
  • Sensitif terhadap bau
  • Rasa lebih bernafsu untuk lakukan hubungan seks

Kebanyakan wanita mengalami ovulasi sekitar 12 ke 14 hari selepas hari pertama datang haid.

Namun, ada juga wanita yang memiliki kitaran haid lebih pendek dan perkara ini adalah normal. 

Bagi golongan ini, mereka biasanya mengalami ovulasi seawal 6 hari setelah hari pertama haid terakhir mereka. 

Secara teknikalnya, kehamilan mungkin hanya berlaku bila anda lakukan seks di antara 5 hari sebelum ovulasi atau pada hari ovulasi tersebut.

Menurut HelloDoktor, hari yang paling subur adalah 3 hari menjelang ovulasi dan hari kesuburan sendiri.

Aktiviti seks pada tempoh ini dapat meningkatkan lagi kebarangkalian untuk hamil lebih tinggi. 

Selepas 12 ke 24 jam waktu ovulasi berakhir, wanita tidak dapat lagi hamil kerana telur tidak lagi berada di saluran fallopian. 

Cara Mengenalpasti Waktu Subur Wanita Sebelum atau Selepas Haid

  • Biasanya, kitaran haid normal berdurasi sekitar 28 ke 30 hari. Hari 1 dikira hari pertama datang haid. 
  • Waktu subur wanita dengan kitaran haid 28 hari jatuh pada hari ke 13 hingga 15 dari hari pertama haid. 
  • Sebagai contoh, jika anda datang bulan pada 1 Januari, maka waktu subur anda jatuh pada 13 hingga 15 Januari. 

Oleh itu, pasangan yang sedang ikhtiar mendapatkan zuriat perlulah lebih aktif lakukan hubungan seks pada jangka masa subur. 

Bagi yang sedang merancang keluarga, elakkan daripada bersama pada tempoh tersebut. 

Kaedah Lain Untuk Kenalpasti Waktu Subur Wanita

Selain mengira waktu kesuburan dan menyemak tanda-tanda subur, anda juga boleh pastikan corak ovulasi dengan kaedah berikut : 

Gunakan Kit Ramalan Ovulasi 

Kit ujian ini berfungsi dengan mengesan kehadiran luteinizing hormone (LH) yang meningkat 1 ke 2 hari sebelum ovulasi.

Dengan adanya alat ini, ia dapat memaklumkan pada anda waktu subur yang makin hampir.

Namun, ia tidak dapat mengesan saat berlakunya ovulasi. 

waktu subur wanita
Kredit Foto : theasianparent.com

Gunakan Kit Ujian Progesteron 

Kit ujian ini pula sesuai digunakan buat wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur.

Kadar progesteron badan ketika dalam fasa ovulasi akan meningkat menandakan waktu subur. 

Aplikasi Kesuburan 

Kini, terdapat pelbagai ovulation tracking app bagi membantu para wanita menjejak waktu ovulasi saban bulan.

Namun, para wanita dinasihatkan untuk tidak terlalu bergantung pada aplikasi ini kerana sifat kitaran haid yang mungkin berubah dari masa ke semasa bergantung pada individu. 

Kenalpasti Basal Body Temperature (BBT) 

 Thermometer BBT direka khas untuk mengesan suhu wanita ketika ovulasi.

Cara penggunaannya ialah dengan mengambil suhu setiap kali bangun pagi sebelum anda bangkit dari katil.

Rekodkan suhu pada waktu yang sama setiap hari.

Jika anda dapati ada kenaikan suhu badan sekitar 0.4°F selama 3 hari berturut-turut, kemungkinan besar anda sedang alami fasa ovulasi. 

waktu subur wanita
Kredit Foto : shopee.com.my

Sekiranya anda dan pasangan bercita-cita untuk mendapatkan zuriat, wajib untuk anda berdua fahami kitaran haid dan waktu subur isteri sebaiknya. 

Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai kesuburan wanita, jangan malu untuk merujuk pada doktor atau pakar sakit puan untuk nasihat dan tips berguna. 

Sumber : 

‘Timing’ Penting Jika Ingin Hamil Cepat! Ini Cara Kesan Waktu Subur

https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/haid/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85