Wanita Botakkan Kepala Atas Alasan Membuang Pewarna Rambut?Ini Kata Mufti
Sebagai manusia, kita tidak akan pernah lari daripada melakukan kesalahan. Walaupun sebagai wanita, kita telah melakukan suruhan Allah dengan menyempurnakan solat lima waktu walaupun dalam keadaann rambut yang berwarna, namun masih timbul keraguan adakah solat kita diterima dan perkara itu tidak haram dalam hukum Islam.
Untuk persoalan kali ini, mari kita dalami sendiri penjelasan yang telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Wilayah berkenaan hal ini. Semoga pencerahan yang diberikan dapat menyelesaikan kekusutan yang sering bermain di dalam kepala kita.
BACA JUGA: Bahaya Cuci Rambut Setiap Hari! Ini 5 Sebabnya
SOALAN
Semasa zaman jahil, saya telah mewarnakan rambut menggunakan pewarna kekal. Persoalannya, apakah hukum menggunakan pewarna kekal? Sekiranya penggunaan pewarna tersebut menyebabkan ibadah tidak sah, adakah patut seorang wanita membotakkan rambut atau hanya membuang sebahagian rambut dan masih ada baki berwarna?
JAWAPAN :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW
Wanita digalakkan berambut panjang bagi menzahirkan ciri-ciri yang dikhususkan bagi kaum wanita walaupun pada zahirnya wanita bertudung. Terdapat larangan wanita menyerupai lelaki berdasarkan riwayat berikut
Sabda Rasulullah SAW :
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”
Riwayat al-Bukhari (5885)
Imam al-Shaukani mengatakan hadis tersebut menjadi dalil akan pengharaman ke atas lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam pertuturan, pemakaian dan selain itu (Lihat Nayl al-Awtar, 6/230). Justeru, hukum wanita yang berimej lelaki adalah berdosa besar kerana ancaman laknat. Hal ini berdasarkan kalam Ibn Abd al-Salam menyebut: “Dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”
Daripada Abu Salamah bin Abdurrahman RA, bahawa dia menyatakan:
وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ
Maksudnya: “Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti ‘wafrah’ (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).“
Riwayat Muslim (320)
Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut menyatakan bahawa harus menipiskan rambut wanita namun tidak melebihi telinga. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 4/4). Fitrah seorang wanita untuk membiarkan rambutnya panjang dan hanya dibenarkan memotong rambut pada kadar yang tidak sampai tahap menyerupai lelaki iaitu tidak melebihi telinga.
Fatwa Syeikh Abdul Malik al-Sa’adi ketika ditanya berkenaan hukum wanita memotong rambut berkata:
“Seseorang perempuan itu harus memotong rambutnya jika tidak menyamai rambut lelaki. Sekiranya dia memotong sehingga pendek seperti lelaki maka hukumnya adalah haram kerana telah melakukan tasyabbuh bi rijal (iaitu menyamai lelaki). Sesungguhnya seseorang perempuan itu diharamkan menyerupai lelaki sama ada pada rambut, pakaian atau penampilannya.[1]
Kami telah membahaskan HUKUM WANITA MEMBOTAKKAN RAMBUT pada ruangan al kafi # 508. [2] Secara ringkasnya, kami cenderung memilih pendapat menyatakan wanita haram membotakkan rambut berdasarkan kaedah menyebutkan:
النهي يقتض الحريم
Maksudnya :tegahan membawa maksud haram
Tegahan wanita mencukur sebagaimana dalam riwayat tersebut :
Nabi SAW daripada ‘Ali RA:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.
Riwayat Al-Tirmizi (914) & Al-Nasa’ie (5049)
Hadith di atas menunjukkan kepada larangan mencukur kepala bagi wanita ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan begitu juga secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih. (5/1832).
Sehubungan itu, wanita haram menyerupai kebiasaan kaum lelaki dengan berimej rambut pendek tidak melebihi paras telinga selain wanita haram membotakkan rambut berdasarkan larangan dalam hadis yang telah dinyatakan. Hal ini juga berdasarkan keputusan-keputusan fatwa berikut :
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu;
Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2008, pada 11 -12 Jun 2008 bahawa Perempuan Haram membotakkan kepala tanpa alasan yang diharuskan oleh Syarak
Pengecualian bagi wanita untuk berimej botak
Berdasarkan keputusan fatwa tersebut, wanita hanya dibenarkan membotakkan rambut bagi masalah penyakit serta alasan-alasan yang diharuskan syarak. Pengecualian wanita berambut pendek seperti lelaki mahupun mencukur rambut sehingga botak sekiranya terdapat masalah penyakit pada kulit rambut seperti kudis, bisul kelemumur yang teruk mahupun kaedah terakhir membasmi kutu. Dalam situasi tersebut ia termasuk dalam bab darurat yang membolehkan mencukur semua rambut. Oleh itu, darurat memboleh perkara yang dilarang hanya pada situasi yang dibenarkan. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiah:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: Darurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.
Sehubungan itu, wanita harus mencukur rambut sehingga botak bagi tujuan perubatan sekiranya disarankan oleh doktor kerana kulit kepala berpenyakit. Justerus alasan wanita membotakkan rambut merupakan alasan syarak kerana ingin menjaga nyawa.
Seterusnya, alasan membotakkan rambut bagi kaum wanita untuk membuang pewarna rambut (permanent dye) agar menjadikan perlaksanaan ibadah solatnya sah di sisi syarak adalah alasan yang dibenarkan. Tambahan pula, berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan produk pewarna (permanent dye) mahupun (semi permanent dye) adalah tidak menyerap air (menghalang air) untuk membasuh rambut[3]. Hal ini kerana antara anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah sebahagian daripada kepala sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut.Jumhur ulama menetapkan syarat sah wuduk kecuali mazhab Hanafi, antara ialah
- Menghilangkan apa-apa yang menghalang air daripada menyentuhi anggota wuduk. Iaitu hendaklah tidak ada di atas anggota yang wajib wuduk sesuatu yang menghalang daripada sampainya air menyentuhi kulit, seperti lilin, lemak, inai dan seumpamanya. Sekiranya sesuatu yang menghalang air ke anggota, maka tidak sah taharahnya (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/329), Tuhfah al-Muhtaj (1/187), al-Majmu’ (1/467).
Seterusnya, syarat bagi mandi wajib perlu meratakan air keseluruh anggota badan termasuk kulit dan keseluruh rambut (bulu-bulu) yang ada di badan. (Lihat al-Majmu’ Syarah Muhazzab, 2/21, Lihat Matan Ghoyah wa al-Taqrib: 21). Wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk membolehkan melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca al-Quran( Lihat Syarh al-Yaqut al-Nafis, 67).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, penggunaan produk pewarna rambut yang bersifat kekal (permanent dye) adalah dilarang kerana kewujudan bahan pewarna yang melekat telah menghalang air untuk membasuh rambut sekaligus menjadikan taharahnya tidak sah serta ibadatnya turut tidak sah. Oleh itu, alasan wanita membotakkan rambut untuk menjadikan ibadahnya sah adalah alasan syarak dan selari dengan maqasid syariah. Bahkan, penggunaan alasan yang bertepatan dengan syarak diterima oleh jumhur pada fuqaha’ (Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/330).
Syor dan cadangan
- Kami mengesyorkan solusi supaya melakukan proses melunturkan pewarna rambut (bleaching) dengan sebarang teknik mahupun sebarang produk peluntur warna daripada bahan yang halal bagi mengeluarkan pewarna kekal. Namun, sekiranya tidak berjaya mengeluarkan pewarna kekal pada rambut dan hanya berfungsi memudarkan rambut selain memberi implikasi kerosakan rambut dan sakit kulit. Maka, pilihan terakhir ialah mencukur keseluruhan rambut yang telah diwarnakan dan rambut akan kembali tumbuh seperti asal.
- Kami turut cadangkan menggunakan bahan-bahan pewarna yang jelas telah dibenarkan seperti inai dan katam[4] sebagaimana riwayat berikut:
Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
إٍنَّ أَحْسَنَ مَاغَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الحِنَّاءُ وَالكَتَمُ
Maksudnya: “Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut yang beruban ialah pokok inai dan katam”.
Riwayat Ahmad (13588)
Informasi lanjut berkaitan inai rambut rujuk artikel pada ruangan # al-Kafi 743: Hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam
Kesimpulan
Tuntasnya, berdasarkan dalil serta hujah yang dikemukakan, kami berbendapat bahawa wanita dibenarkan berimej botak atas alasan membuang keseluruhan rambut yang telah diwarnakan menggunakan (permanent dye) sekiranya teknik meluntur warna tidak berkesan. Hal ini kerana jenis pewarna (permanent dye) telah menghalang air untuk membasuh rambut ketika mengambil hadas kecil dan hadas besar. Bahkan alasan wanita membotakkan rambut boleh diterima syarak agar taharah serta solat yang dilaksanakan sah. Walaupun wanita dibenarkan berimej botak atas alasan tertentu, namun tidak menafikan kewajipan wanita menutup aurat (bertudung).
Sehubungan itu, umat Islam dilarang menggunakan produk pewarna rambut kekal kerana menghalang basuhan sehingga menyebabkan taharahnya tidak sah. Umat Islam turut digalakkan menjaga rambut dengan cara yang dibenarkan syarak. Penggunaan set penjagaan rambut mestilah daripada bahan yang halal dan tidak mendatangkan kemudaratan serta kerosakan pada rambut.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”
Riwayat Imam Abu Daud (4163)
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan