Wow, Inilah 5 Manfaat Ketumbar yang Anda Perlu Tahu!

Siapa yang rajin masuk dapur mesti tahu apa itu ketumbar. Ketumbar banyak digunakan dalam masakan sebagai rempah pelengkap rasa dan juga bagi melazatkan hidangan. Ia biasanya digunakan bersama rempah ratus yang lain. 

Sebelum digunakan, biji ketumbar akan dikeringkan dan dikisar untuk menjadikannya seperti pes atau serbuk. Manakala, daunnya pula sering digunakan sebagai hiasan untuk membuatkan hidangan anda bertambah menarik. 

Khasiat ketumbar

Ketumbar atau nama saintifiknya, Coriandrum sativum ini tidak diragukan lagi mempunyai pelbagai manfaat dan kebaikan untuk kesihatan tubuh badan selain berguna dalam masakan. Untuk mengetahui khasiat ketumbar dengan lebih terperinci, mari teruskan membaca. 

Khasiat Ketumbar Untuk Kesihatan

1. Baik Untuk Kesihatan Kulit

Ketumbar mempunyai sifat antioksidan, anti radang, dan lain-lain komponen seperti cineole yang sangat bermanfaat untuk kesihatan kulit.

Ia boleh membantu mengurangkan keradangan kulit, melindungi kulit, serta berupaya untuk menyembuhkan penyakit kulit tertentu seperti dermatitis atau ruam ringan bergantung kepada individu. 

Sifat antioksidannya juga sangat membantu untuk menunda proses penuaan kulit dengan melambatkan proses kerosakan sel disebabkan oleh bahan-bahan tertentu termasuk sinaran matahari.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengurangkan masalah jerawat, kulit berminyak dan pigmentasi. 

Untuk kegunaan luaran, ia boleh dijadikan sebagai salah satu bahan dalam krim atau minyak sapu. Ada juga yang menjadikan daunnya sebagai jus ketumbar untuk diminum. 

2. Mengawal Gula Dalam Darah 

Ekstrak biji ketumbar berupaya untuk membantu mengurangkan gula dan darah sekaligus mengelakkan penyakit kencing manis atau diabetes.

Hal ini terbukti dalam beberapa kajian yang dijalankan termasuk dalam satu kajian yang diterbitkan (Journal of Ethnopharmacology). Namun begitu, pengambilan haruslah tidak berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kadar gula turun dengan cepat. 

3. Mengurangkan Risiko Serangan Jantung & Strok

Di samping itu, pengambilan makanan atau minuman berasaskan ketumbar juga akan membantu mengurangkan ketegangan saluran darah.

Di dalam ekstrak ketumbar juga terdapat beberapa jenis asid seperti asid stearik, asik oleik, asid linoleik, asid palmitik dan asid askorbat yang berupaya untuk membantu mengurangkan kolesterol dalam darah. 

Secara tidak langsung, ini akan membantu peredaran darah berjalan dengan lancar, mengawal tekanan darah, mencegah pelbagai jenis penyakit termasuk mengurangkan risiko terkena serangan jantung dan strok.

4. Menyihatkan Usus & Melancarkan Penghadaman

Sekiranya anda mempunyai masalah penghadaman atau berkaitan usus, jangan lupa ambil makanan atau minuman yang mempunyai ekstrak atau rempah ketumbar seperti sup, kari, rendang dan sebagainya. 

Hal ini kerana, terdapat komponen dalam ketumbar merembeskan enzim tertentu yang berfungsi untuk membantu proses pencernaan.

Selain itu, ia juga turut membantu fungsi hati. Pengambilan ekstrak ketumbar juga membantu mengurangkan mual, sakit perut dan kembung perut. 

5. Melegakan Cirit Birit & Melawan Jangkitan Bakteria

Dalam satu kajian (jurnal Leaflets Ethnobotanical), ketumbar mempunyai sifat antibakteria yang boleh membantu melegakan cirit birit disebabkan oleh jangkitan bakteria Salmonella.

Salmonella boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan sehingga berisiko untuk menyebabkan kehilangan nyawa. 

Ia juga berfungsi untuk melawan penyakit dan jangkitan disebabkan oleh bakteria. Contohnya seperti kencing kotor dan konjuktivitis (sakit mata). Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa jenis produk mata yang berasaskan minyak ketumbar. 

Kesimpulan 

Khasiat Ketumbar

Terdapat beberapa lagi kebaikan dan manfaat ketumbar sama ada daunnya, ekstraknya atau minyaknya untuk kesihatan tubuh badan yang anda boleh dapati di internet. 

Walaubagaimanapun, pastikan anda dapatkan nasihat daripada pakar perubatan sebelum memulakan sebarang pengambilan dan, ambil secara sederhana.

Jangan ambil berlebihan kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan anda. 

Sumber: healthline.com, hellodoktor.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161