Darah Haid Sedikit ? Ini Masalah Kesihatan Yang Mungkin Anda Alami

Biasanya kita dengar keluhan kebanyakan wanita tentang senggugut, badan rasa lesu dan perut kembung ketika datang haid. 

Namun, terdapat juga wanita yang mengalami masalah lain setiap kali datang bulan iaitu darah haid sedikit.

 Mungkin ia dilihat sebagai suatu kelebihan namun masalah ini boleh menjadi petanda bagi pelbagai masalah kesihatan wanita.

Darah haid sedikit atau terma saintifiknya hypomenorrhea boleh berlaku pada semua wanita sejak akil baligh sehingga sebelum menopause.

darah haid sedikit
Kredit Foto : cosmopolitan.com

Baca Juga : Cyst Ovari : Simptom, Komplikasi dan Kaedah Rawatan

Berdasarkan Clinical Methods : The History, Physical, and Laboratory Examinations, darah haid dengan aliran normal akan keluarkan isipadu darah antara 30 ke 50 mililiter, manakala wanita yang alami masalah alirah darah haid sedikit biasanya akan keluarkan kurang daripada 30 mililiter darah dalam satu kitaran.

Terdapat pelbagai punca atau faktor yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Punca / Faktor Risiko Darah Haid Sedikit

1. Tanda Awal Kehamilan

Walaupun kehamilan biasanya dikenalpasti apabila terlepas haid, terdapat juga sesetengah wanita yang tetap datang haid dalam kadar sedikit ketika hamil. 

Bagi keadaan yang lebih serius, datang haid yang sedikit ketika hamil juga boleh menandakan kehamilan luar rahim  atau ectopic pregnancy yang lebih bahaya.

2. Berat Badan Naik Atau Turun Secara Mendadak

Peningkatan atau penurunan berat badan yang tidak menentu juga boleh memberi kesan kepada aliran haid. 

Apabila berat badan meningkat, lemak yang terkumpul di dalam badan boleh menjejaskan paras hormon. 

Penurunan berat badan secara mendadak pula boleh mengakibatkan badan berada dalam stress mode dan mengakibatkan hormon tidak seimbang. 

Bagi memastikan badan sihat dan hormon berada di paras yang normal, jagalah pemakanan dan pastikan anda dapat nutrisi secukupnya setiap hari.

darah haid sedikit

3. Stres

Seperti yang kita tahu, tekanan boleh menyebabkan kesihatan terganggu dalam pelbagai cara. 

Biasanya tekanan yang lebih kronik seperti kemurungan atau anxiety boleh menjejaskan paras hormon dalam badan. 

Di samping itu, bersenam secara berlebihan juga boleh menyebabkan badan mengalami stres fizikal dan mengganggu kitaran haid.

4. Tyroid yang Terlebih Aktif

Hyperthyroidism atau kelenjar tiroid yang bekerja terlalu aktif akan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid.

 Ini boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan lain seperti jantung, tekanan darah, otot dan termasuk kitaran haid yang tidak teratur.

Antara simptom bagi hyperthyroidism ialah :

  • Keresahan
  • Mood tidak menentu
  • Sukar untuk tidur
  • Bengkak pada bahagian leher akibat kelenjar tiroid yang membesar
  • Degupan jantung laju atau tidak teratur
  • Badan menggeletar

Jika anda mengalami simptom ini serta haid tidak teratur, dapatkan pemeriksaan daripada doktor secepat mungkin.

5. Menggunakan Perancang Kehamilan

Salah satu punca utama aliran darah haid sedikit ialah penggunaan pil kontraseptif. 

Sesetengah doktor juga mencadangkan penggunaan ubat ini bagi wanita yang mengalami masalah aliran darah haid yang terlalu banyak.

Jadi, jika anda adalah pengguna perancang kehamilan tidak kiralah dengan cara mengambil pil, IUD atau patch, aliran haid sedikit atau tidak datang bulan langsung adalah perkara normal.

 darah haid sedikit

6. Risiko Polycystic Ovary Syndrome (PCOS)

 PCOS ialah masalah kesihatan wanita yang berlaku apabila ovari menghasilkan hormon androgen (hormon lelaki) yang terlalu banyak. 

Sesetengah pesakit PCOS juga mempunyai ketumbuhan sista (cyst) pada ovari mereka. Perubahan hormon ini juga boleh menghalang wanita untuk berovulasi secara normal. 

Selain mengalami darah haid sedikit atau terlepas haid, pesakit PCOS boleh dikenalpasti melalui beberapa simptom seperti muka berminyak dan berjerawat, peningkatan berat badan dan bulu roma tumbuh lebih lebat. 

7. Fasa Awal Menopause

Semakin usia meningkat, kitaran haid juga akan berubah. Wanita akan dapati aliran haid akan semakin berkurangan apabila usia mencecah hujung 30an berbanding ketika usia mereka 20an atau awal 30an. 

8. Masalah Cervical Stenosis

Cervical stenosis merupakan masalah kesihatan yang jarang dilaporkan di mana laluan serviks sempit atau tertutup sepenuhnya.

 Masalah ini boleh berlaku selepas pembedahan rahim atau serviks.

 Di samping itu, cervical stenosis juga boleh terjadi disebabkan oleh kadar estrogen yang rendah ketika fasa awal menopause (perimenopause). 

Hasilnya, darah haid boleh terkumpul di dalam rahim atau hanya boleh keluar sedikit demi sedikit. 

Jika anda merasakan senggugut walaupun aliran sedikit, segera berjumpa dengan doktor. 

Walaupun darah sedikit tidak mendatangkan sakit ketika datang bulan seperti senggugut dan sebagainya, para wanita perlulah peka dengan kitaran haid masing-masing. 

 Jangan abaikan perubahan pada aliran darah kerana ia boleh menjadi amaran pada pelbagai masalah kesihatan yang perlukan pemeriksaan lanjut.

 Sekiranya anda dapati kitaran haid tidak teratur seperti biasa, dapatkan nasihat daripada doktor untuk pastikan tahap kesihatan anda pada tahap optimum. 

Sumber : 

10 Reasons Your Period Is Lighter Than Usual, According to Doctors

https://www.prevention.com/health/a20499057/8-reasons-your-period-is-lighter-than-usual/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85