Atasi Demam Denggi, Kenali Simptom-Simptomnya Sebelum Terlambat!

Demam denggi merupakan sejenis penyakit tropikal yang berlaku disebabkan virus bawaan nyamuk Aedes (Ae. aegypti or Ae. albopictus).

Hampir separuh populasi dunia tinggal di kawasan yang terdedah kepada denggi.

Jutaan kes denggi berlaku setiap tahun di Asia Tenggara, barat kepulauan Pasifik, Amerika Latin dan Afrika.

Demam denggi yang tidak serius akan menyebabkan simptom seakan-akan demam biasa.

Walau bagaimanapun, demam denggi yang teruk, turut dikenali sebagai denggi berdarah boleh menyebabkan pendarahan yang serius dan juga kematian.

Di kawasan yang mempunyai kes denggi yang tinggi, cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan adalah dengan cara mengelakkan gigitan nyamuk.

Selain itu, populasi nyamuk di kawasan tersebut juga perlu dikurangkan untuk mengelakkan kawasan tersebut daripada mempunyai kes denggi yang tinggi pada masa hadapan.

Apa yang menyebabkan demam denggi?

Denggi berlaku disebabkan jangkitan 4 jenis virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes. Speseis nyamuk ini amat lazim di kawasan tropika dan subtropika.

Apabila nyamuk Aedes menggigit seseorang yang telah dijangkiti virus, nyamuk tersebut boleh menjadi pembawa.

Kemudian, jika nyamuk tersebut menggigit orang lain, individu tersebut pula akan dijangkiti denggi.

Walau bagaimanapun, demam denggi tidak boleh menjangkiti dari satu individu ke individu yang lain. Ia hanya boleh disebarkan melalui gigitan nyamuk.

Simptom denggi

demam denggi

Kebanyakan orang tidak mengalami simptom yang teruk ketika mengalami denggi.

Namun, apabila simptom muncul, kadangkala ia mungkin disalaherti sebagai demam biasa. Demam denggi selalunya bersuhu tinggi di sekitar 40 darjah selsius.

Antara tanda dan simptom demam denggi ialah:

  1. Pening kepala.
  2. Sakit otot, tulang atau sendi.
  3. Loya.
  4. Muntah-muntah.
  5. Kelenjar yang membengkak.
  6. Munculnya ruam-ruam.

Selalunya, mereka yang menghidap denggi akan pulih dalam masa seminggu.

Namun, dalam sesetengah kes, denggi boleh menjadi semakin teruk sehingga boleh mengancam nyawa. Keadaan ini turut dikenali sebagai denggi berdarah.

Denggi berdarah berlaku apabila salur darah rosak dan bocor.

Pada masa yang sama, bilangan platlet di dalam darah akan berkurangan. Ini boleh menyebabkan kejutan pada badan, kerosakan organ dan juga kematian.

Denggi boleh bertukar menjadi denggi berdarah dalam sekelip mata. Tanda amaran selalunya bermula pada hari pertama atau kedua selepas demam mulai sembuh.

Antara tanda-tanda denggi berdarah ialah:

  1. Sakit perut yang teruk.
  2. Muntah-muntah.
  3. Pendarahan daripada gusi atau hidung.
  4. Darah dalam air kencing atau tinja.
  5. Darah di bawah kulit yang nampak seperti lebam.
  6. Sukar bernafas.
  7. Keletihan.
  8. Rasa penat dan tidak selesa.

Komplikasi

demam denggi

Denggi yang teruk boleh menyebabkan pendarahan dalaman dan kerosakan organ.

Malah, tekanan darah pesakit juga boleh jatuh ke tahap yang berbahaya dan menyebabkan kejutan pada badan.

Wanita yang menghidap denggi ketika hamil berpotensi menyebarkan virus tersebut kepada bayi dalam kandungan.

Ibu mengandung juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kelahiran pramatang.

Berapa lamakah demam denggi bertahan?

Simptom demam denggi boleh berlarutan selama 4 hari hingga 2 minggu selepas digigit oleh nyamuk yang membawa virus.

Selepas demam mulai surut, simptom boleh menjadi serius dan menyebabkan berlakunya pendarahan yang lebih teruk, loya, muntah-muntah, sakit perut dan masalah pernafasan.

Simptom lain seperti dehidrasi dan tekanan darah rendah akan menyusul jika pesakit menghidap denggi berdarah.

Semua simptom ini perlu dirawat secepat mungkin kerana ia boleh membawa maut.

Bagaimanakah demam denggi dirawat?

Tidak ada rawatan yang tersedia untuk merawat demam denggi secara spesifik.

Kes yang ringan akan dirawat dengan pemberian cecair untuk mengelakkan dehidrasi. Selain itu, pesakit juga perlu mendapatkan rehat yang mencukupi.

Ubat tahan sakit seperti acetaminophen boleh mengurangkan sakit kepala dan lenguh badan yang berkait dengan demam denggi.

Walau bagaimanapun, elakkan pengambilan aspirin atau ibuprofen kerana ia boleh menyebabkan pendarahan yang lebih serius.

Untuk merawat denggi yang teruk di hospital, doktor akan memberikan cecair dan garam secara intravena untuk mengelakkan semua cecair yang hilang setelah pesakit muntah atau cirit-birit.

Dalam kes yang lebih teruk, pesakit mungkin perlukan transfusi darah.

Bolehkah demam denggi dielakkan?

demam denggi

Menurut CDC, buat masa ini, masih belum ada sebarang vaksin yang dapat mengubat demam denggi.

Oleh sebab itu, cara yang terbaik untuk mengelakkan denggi ialah dengan mengelakkan jangkitan nyamuk.

Pastikan anda:

  1. Gunakan jaring nyamuk pada pintu dan tingkap rumah. Jika pintu atau tingkap rumah anda tidak mempunyai jaring, pastikan ia sentiasa tertutup.
  2. Pakai baju lengan panjang, seluar panjang, kasut dan stokin jika perlu keluar rumah. Jika kawasan tempat tinggal anda banyak nyamuk, pasang kelambu ketika tidur.
  3. Pakai losyen penghalang nyamuk pada kanak-kanak. Gunakan losyen yang mengandungi DEET atau lemon eucalyptus.
  4. Jangan biarkan anak-anak bermain di luar pada waktu maghrib atau subuh.
  5. Periksa kawasan rumah untuk sebarang tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk bertelur di dalam air, jadi jangan biarkan air bertakung di kawasan rumah.

Rujukan

  1. Cunha, J. P. (n.d.). Dengue Fever: Symptoms, Treatment, Vaccine, Rash, Causes & Contagious. MedicineNet. Retrieved January 10, 2022, from https://www.medicinenet.com/dengue_fever/article.htm
  2. Dengue fever – Symptoms and causes. (2020, November 18). Mayo Clinic. Retrieved January 10, 2022, from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/dengue-fever/symptoms-causes/syc-20353078
  3. Dowshen, S. (n.d.). Dengue Fever (for Parents) – Nemours KidsHealth. Kids Health. Retrieved January 10, 2022, from https://kidshealth.org/en/parents/dengue.html
  4. Fakta-Fakta Mengenai Demam Denggi. (n.d.). Pejabat Kesihatan Daerah Gombak. Retrieved January 10, 2022, from https://pkdgombak.moh.gov.my/index.php/ms/semua-info/105-fakta-fakta-mengenai-demam-denggi
  5. Symptoms and Treatment | Dengue. (n.d.). CDC. Retrieved January 10, 2022, from https://www.cdc.gov/dengue/symptoms/index.html
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: