Adakah Wajib Menanam Pokok Di Atas Kubur Dan Apa Hukumnya?

Ketika berkunjung ke kubur atau menguruskan ahali keluarga yang baru sahaja meninggal dunia, kita pasti akan menanam pokok di atas pusara mereka.

Persoalan ini sering mendapat perhatian ahli ulama dan ada beberapa hadis yang menyebutkan tentang perkara ini.

Menerusi penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, mari kita menelusuri penjelesan mereka mengenai perkara ini di bawah. Semoga persoalan ini dapat merungkai kemusykilan kita berkaitan dengan hal ini.

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Ibu saya baru meninggal dunia, saya dan beradik bercadang untuk menanam pokok kecil di atas pusara ibu kami. Bolehkah kami melakukannya, dan jika boleh apakah panduan yang perlu kami perhatikan?

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi ﷺ bersabda, ketika berjalan melewati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa:

إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.”

Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: “Kenapa anda melakukan ini?”. Baginda menjawab:

لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Maksudnya: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”

Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata dalam Fath al-Bari (1/320):

  • Al-Maziri berkata: Hadis ini memiliki kemungkinan bahawa Baginda diwahyukan berkenaan azab akan diringankan ke atas mereka berdua selama tempoh tersebut. Berkata Ibn Hajar: “Justeru, mungkin ini untuk mencari ilat.”
  • Imam al-Qurtubi mengomentar: “Jika turun wahyu, nescaya tidaklah digunakan huruf al-tarajji (yakni semoga)…Terdapat pendapat bahawa baginda memberi syafaat kepada mereka berdua, seperti mana dalam hadis Jabir, kerana zahirnya kisah tentang hal ini hanya satu.”
  • Imam al-Nawawi merajihkan kisahnya hanya satu sahaja, tetapi Ibn Hajar mengkritiknya.
  • Al-Khattabi berkata: “Hadis ini berkemungkinan maksudnya bahawa baginda ﷺ berdoa untuk kedua-duanya supaya diringankan azat selama mana masih terdapat kesegaran padanya, bukan pada pelepah itu ada suatu makna (fungsi) khusus, dan bukan juga pada benda yang masih lembab itu ada suatu makna yang mengatasi benda yang sudah kering.” Berkata Ibn Hajar: “Mungkin makna itu ialah benda itu bertasbih selama mana masih lembab, lalu terhasillah peringanan azab dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan, atau selainnya, dan boleh juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca al-Quran, bahkan itu lebih utama.”
  • Al-Tibi berkata: “Hikmah pada peletakan dua pelepah itu selama mana kedua-duanya masih lembab bahawa ia akan menghalang azab memiliki kemungkinan bahawa itu tidak diketahui oleh kita seperti bilangan malaikat Zabaniah.” Oleh itu, Al-Khattabi, dan ulama yang mengikutinya, mengingkari perbuatan orang ramai yang meletakkan pelepah tamar di atas kubur kerana mengikut hadis ini. Berkata al-Tortusyi: Ini kerana hal demikian hanya khusus dengan keberkatan pada tangan Baginda ﷺ. Al-Qadhi Iyadh juga berkata: Ini kerana Baginda meletakkan ilat pada menancap kedua-dua pelepah itu di atas kubur berdasarkan perkara yang ghaib, daripada sabda baginda bahawa “kedua-duanya sedang diseksa”.
  • Ibn Hajar menjawab: “Tidak semestinya kalau kita tidak tahu sama ada seseorang itu diazab atau tidak maka kita tidak boleh mendatangkan sebab untuk meringankan azan daripada seseorang itu jika dia diazab, seperti mana kita tidak tahu seseorang itu dirahmati atau tidak, maka kita tidak dihalang untuk mendoakannya untuk mendapat rahmat. Tiada dalam konteks hadis, apa-apa yang boleh memastikan bahawa baginda meletakkan dengan tangannya yang mulia secara langsung, bahkan ada kemungkinan baginda menyuruh orang lain untuk meletakkan [Rujuk jua Umdah al-Qari (3/121) oleh Syeikh Badruddin al-Aini]. Ini dikuatkan dengan perbuatan Buraidah bin al-Husaib, seorang sahabat baginda yang berwasiat agar diletakkan di atas kuburnya dua pelepah tamar…itu yang lebih utama untuk diikuti daripada selainnya.”

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (3/202):

“Adapun perbuatan baginda ﷺ meletakkan dua pelepah tamar di atas kubur, maka berkata para ulama, hal itu berkemungkinan kerana baginda ﷺ memohon syafaat bagi mereka berdua lalu dimustajabkan syafaatnya ﷺ dengan diringankan azab daripada mereka berdua sehingga dua pelepah itu kering. Imam Muslim telah menyebutkan pada akhir kitab tentang suatu hadis yang panjang yakni hadis Jabir tentang dua orang pemilik kubur “aku suka agar dengan syafaatku, akan diangkat azab keduanya selama kedua dahan itu masih basah.” Dikatakan, berkemungkinan baginda ﷺ mendoakan kedua-duanya selama waktu tersebut. Dikatakan juga, kerana keadaan kedua-dua pelepah itu bertasbih selama mana masih lembab dan benda yang kering tidak bertasbih. Inilah pendapat ramai ulama, atau majoriti ahli tafsir pada firman Allah Taala:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ [وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ ]وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Maksudnya: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Isra: 44)

Para ulama berkata “dan tiada sesuatupun” bermaksud yang hidup. Mereka berkata lagi kehidupan setiap benda itu bergantung kepada keadaannya. Maka hidupnya kayu selama mana belum kering, batu selama mana tidak pecah. Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir berpendapat bahawa hal itu boleh pada makna umum. Dan mereka berbeza pendapat, apakah tasbih tersebut tasbih secara hakikat atau sebagai bukti adanya Pencipta, maka jadilah ia yang bertasbih dan mensucikan pada bentuk kejadiannya. Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir memilih bahwa itu adalah tasbihyang sebenarnya, secara hakikat.  Sesungguhnya Allah Taala telah memberitahu:

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۗ

Maksudnya: “dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah…”

(Surah al-Baqarah:74)

Apabila akal fikiran tidak sampai pada memahami perbezaan makna pada masalah tersebut, dan terdapat nas yang menjelaskan, maka wajib kembali kepada nas. Para ulama juga mengatakan sunat untuk membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini kerana jika diharapkan peringanan azab daripada tasbih pelepah nescaya bacaan al-Quran lebih utama.”

Manakala hadis Jabir bin Abdillah RA yang dimaksudkan oleh al-Asqalani dan al-Nawawi di atas adalah seperti berikut, yang kami ringkaskan daripada hadis yang panjang. Sabda Rasulullah ﷺ kepada Jabir:

فَانْطَلِقْ إِلَى الشَّجَرَتَيْنِ فَاقْطَعْ مِنْ كُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا غُصْنًا، فَأَقْبِلْ بِهِمَا، حَتَّى إِذَا قُمْتَ مَقَامِي فَأَرْسِلْ غُصْنًا عَنْ يَمِينِكَ وَغُصْنًا عَنْ يَسَارِكَ

Maksudnya: “Pergilah kamu kedua-dua pohon itu lalu potonglah dahan masing-masingnya dan bawalah kemari. Apabila kau telah berada ditempatku berdiri, lepaskan satu dahan dari sebelah kananmu dan dahan lain dari sebelah kirimu.”

Jabir berkata: “Aku berdiri lalu aku mengambil batu, aku memecahnya lalu aku menajamkannya hingga tajam, setelah itu aku mendatangi kedua-dua pohon itu, aku potong dahan masing-masing dari kedua-dua pohon itu. Aku kembali dengan menyeretnya hingga aku berdiri ditempat Rasulullah ﷺ berdiri. Aku melepas satu dahan dari sebelah kananku dan satu dahan lain dari sebelah kiriku, setelah itu aku menemui Rasulullah ﷺ, aku berkata: Aku sudah melakukannya, wahai Rasulullah, lalu untuk apa itu? Baginda menjawab:

إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَأَحْبَبْتُ، بِشَفَاعَتِي، أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا، مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ

Maksudnya: “Aku melintasi dua kuburan yang (penghuninya) tengah diazab, aku suka, dengan syafaatku, untuk meringankan keduanya selama kedua-dua dahan itu masih basah.”

Riwayat Muslim (3012)

Hukum menanam dan mencabut pokok di atas perkuburan

Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Disunatkan untuk meletakkan pelepah yang hijau di atas kubur kerana ittiba’ (mengikut Nabi ﷺ), sanadnya sahih, dan kerana sesungguhnya perbuatan itu boleh meringankan azab dengan berkat tasbih pelepah itu, lantaran tasbih itu lebih sempurna berbanding tasbih dari pelepah yang kering, yang mana kehijauan itu adalah sejenis tanda-tanda hidup. Boleh diqiyaskan hukum ini pada apa yang biasa dilakukan dengan meletakkan tumbuhan-tumbuhan yang wangi, dan seumpamanya [seperti bunga atau daun pandan – pent.] Haram mencabutnya (setelah diletakkan) seperti mana yang telah diperbahaskan (oleh ulama) kerana perbuatan mencabut itu menafikan hak mayat. Namun, pada zahirnya, tidak haram kalau mencabut tumbuhan yang sudah kering untuk dibuang, kerana sudah hilang hak bagi mayat itu kerana kekeringannya, itulah kaitannya. Disunatkan untuk meletakkan yang tumbuhan masih kehijauan dan membuang yang sudah kering, secara keseluruhan, kerana melihat kepada kaitan yang disebut oleh baginda ﷺ tentang peringanan azab dengan warna hijau selama mana tidak kering.”

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (3/197)

Syeikh Abdul al-Hamid al-Syarwani menghuraikan perkataan di atas dalam Hasyiah-nya:“[disunatkan meletakkan pelepah…] ini menunjukkan kalau tumbuh di atas kubur rerumput maka itu sudah memadai daripada meletakkan pelepah…[ Haram mencabutnya…] yakni bagi orang selain pemiliknya (iaitu orang yang menanam atau meletakkan jika belum kering) seperti mana yang disebut dalam Nihayah dan Mughni. Berkata Ali Syabramallisi: Pendapat Muhammad al-Ramli tentang meletakkan benda-benda yang masih lembab termasuk juga meletakkan birsim (sejenis herba seperti klover, halba dan alfafa), dan seumpamanya, daripada jenis tumbuh-tumbuhan. Perkataan Muhammad al-Ramli [“bagi selain pemiliknya”] bermaksud sekiranya tempat letak itu jarang terdapat tumbuhan, pada kebiasaannya, maka haram untuk mencabutnya, kerana itu akan menghilangkan hak mayat, adapun jika tumbuhan itu banyak, sehingga tidak terdapat tumbuhan, pada kebiasaan, maka tidak diharamkan mencabutnya.”

Syeikh Uthman Sato al-Dimyati menyebut dalam I`anah al-Tolibin (2/136): “Ibn Qosim mentafsilkan maksud sedikit itu seperti sehelai atau dua helai daun, maka tidak dibenarkan untuk pemiliknya mengambilnya balik, kerana terikat dengan hak mayat itu dengannya, namun jika banyak tidak ada masalah untuk diambil balik.”

Daripada pendapat di atas, dapat difaham bahawa tumbuhan yang diletakkan di atas kubur tidak boleh dicabut melainkan oleh pemiliknya, melainkan jika sudah kering. Bahkan dalam konteks pemiliknya, dia tidak boleh mengambil tumbuhan itu secara total kerana akan menghakis hak mayat. Adapun tumbuhan yang tumbuh sendiri tanpa pemilik, maka hukumnya kembali kepada hukum haram mencabutnya secara mutlak.  Adapun di dalam mazhab Hanafi, mencabut pelepah atau tumbuhan di atas kubur adalah dimakruhkan sahaja.

Berkata Imam Ibn `Abidin al-Hanafi dalam al-Durr al-Mukhtar (2/245): “Dimakruhkan juga untuk memotong tumbuhan yang masih segar, dan rerumput, dari perkuburan, kecuali yang sudah kering.”

Berkata Syeikh al-Qalyubi dalam Hasyiah-nya (1/412): “Sekiranya pelepah yang diletakkan itu sudah kering maka diharuskan untuk mengambilnya, sekalipun jika tumbuhan itu diwaqafkan kerana ia dibuang berdasarkan adat. Sesungguhnya telah warid bahawa pelepah itu boleh meringankan azab mayat dengan meletakkannya, selama mana ia lembab dan ia beristighfar bagi pihak si mati.”

Rujuk juga al-Iqna’ (1/208); Mughni al-Muhtaj (2/56) oleh Imam Khatib al-Syarbini

Namun begitu meletakkan atau menanam pokok di atas kuburan tertakluk kepada syaratnya, yakni tidak boleh berpotensi atau secara hakiki mengganggu mayat. Disebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 202): “Meletakkan tumbuhan yang hijau di atas kubur dianggap baik oleh sebahagian ulama tetapi ditentang oleh al-Khattabi, adapun menanam tumbuhan di atas kubur dan menyiramnya, jika hal itu boleh menyampaikan bahagian pokok yang segar atau akar kepada mayat maka diharamkan, jika tidak sampai, maka dimakruhkan dengan kemakruhan yang bersangatan. Terdapat juga pendapat yang mengatakan hukumnya juga haram.”

Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 202)

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum menanam pokok di atas kubur adalah diharuskan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Hendaklah niatnya adalah untuk mengikut sunnah Rasulullah ﷺ yang meletakkan tumbuhan di atas kubur dan mendoakan agar penghuni kubur diringankan azabnya selama tumbuhan itu masih hidup.
  • Diharamkan untuk menanam tumbuhan yang boleh merosakkan tubuh mayat dengan akarnya, atau seumpamanya. Jika tumbuhan berkenaan hanya berpotensi sedemikian, maka hukumnya adalah sangat dimakruhkan.
  • Diharamkan untuk mencabut tumbuhan yang diletakkan di atas kubur bagi tujuan di atas, melainkan jika ia dicabut oleh pemiliknya, dengan meninggalkan walaupun sedikit daripada tumbuhan itu supaya tidak menghilangkan hak penghuni kubur. Begitu juga rerumput yang tumbuh sendiri di atas kubur.
  • Diharuskan untuk membuang tumbuhan yang sudah kering dan disunatkan untuk diganti dengan tumbuhan yang baharu.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: