Doa Masuk & Keluar Tandas: Doa Rumi & Sunnah Rasulullah Yang Diikuti

Tandas adalah tempat yang menjadi keperluan manusia setiap hari. Manusia menggunakannya untuk mandi, membuang air besar, air kecil, dan sebagainya. Malah tempat kotor ini juga adalah rumah yang di diami oleh syaitan, dan angkatannya.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Arqam, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ وَ الخَبَائِثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tempat membuang hajat ini didiami oleh syaitan. Jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan jantan dan betina.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)

Adab sebelum masuk ke dalam tandas

1. Masuk dengan mendahulukan kaki kiri

Sebelum masuk ke dalam tandas, disunatkan untuk kita melangkah untuk masuk dengan kaki kiri.

Al- Imam an-Nawawi dalam kitab beliau, Syarhu Shahih Muslim dan Al-Imam Ibnu Daqiqil ‘Id serta ada beberapa ulama’ lain lagi yang menyebutkan bahawa masuklah tandas dimulai dengan kaki kiri dan keluarlah tandas dengan kaki kanan berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan daripada Aisyah RA:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْيُمْنَى لِطُهُورِهِ وَطَعَامِهِ وَكَانَتْ يَدُهُ الْيُسْرَى لِخَلاَئِهِ وَمَا كَانَ مِنْ أَذًى

Maksudnya : “Daripada Aisyah RA berkata bahawa tangan kanan Rasulullah SAW dipergunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis (najis).” – (Sunan Abu Daud)

‏Hadis ini jelas menerangkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan sentiasa mendahulukan anggota kiri dalam melakukan perkara-perkara yang kotor termasuklah ketika masuk ke dalam tandas.

Kajian saintifik mengatakan bahawa sunnah mendahulukan kaki kiri masuk ke dalam tandas dapat mengelakkan seseorang daripada tergelincir yang berpotensi besar untuk mengalami koma atau strok.

Hal ini kerana, sifat kaki kiri yang menarik ke belakang sedangkan sifat kaki kanan pula menolak ke hadapan. Jadi sekiranya kita ingin terjatuh, kaki kiri akan bantu kita menarik ke belakang, dan mengimbangi badan semula.

2. Membaca doa masuk tandas

Doa masuk tandas dibaca sebagai memohon perlindungan kepada Allah SWT dari gangguan syaitan yang menghuni tempat itu sebagai rumahnya.

Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ : ( اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ ).

Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

3. Memastikan kepada ditutup

Amalan menutup kepala sebenarnya tidak mempunyai riwayat hadis yang khusus dan sahih. Namun begitu, ia adalah amalan yang baik, dan digalakkan.

4. Tidak membawa masuk benda-benda yang diharamkan

Benda-benda yang haram dibawa masuk ke dalam tandas termasuklah apa-apa sahaja yang mengandungi kalimah atau nama-nama Allah atau seumpamanya. Hal ini kerana, barang tersebut mestilah dijaga kehormatannya supaya tidak dibawa ke tempat yang kotor.

Adab semasa berada dalam tandas

1. Memakai selipar atau alas kaki

Mungkin kita nampak pada zahirnya lantai tandas itu bersih dari kekotoran. Namun dari segi batinnya, yang kita tidak terdaya untuk nampak adalah banyak sekali kuman, dan penyakit yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar datangnya dari tandas.

Oleh kerana itu, memakai selipar atau alas kaki adalah satu keperluan untuk memastikan kebersihan, dan kesucian diri sentiasa terpelihara.

2. Berjimat cermat dalam menggunakan air

Amalan berjimat cermat yang diajar dalam Islam bukanlah ketika dalam berbelanja sahaja. Malah dalam penggunaan air juga ia menjadi tuntutan. Berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ  وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya : “ Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan-syaitan dan adalah syaitan itu sangat mengingkari akan Tuhan Nya”  – ( Surah al-Israk, ayat 27 )

Air digunakan untuk beristinjak agar diri suci dari hadas kecil. Oleh yang demikian, elakkan melakukan pembaziran agar kita dapat mewujudkan masyarakat yang sentiasa berjimat-cermat.

3. Menjaga kebersihan tandas

Kebersihan adalah salah satu perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Tidak kiralah menggunakan tandas sendiri, atau rumah orang lain, kita haruslah sentiasa menjaga kebersihannya setelah digunakan. Contohnya, dengan pam setelah selesai menggunakan tandas, dan membuang sampah di tempat yang disediakan.  

Adab selepas keluar dari tandas

1. Keluar dari tandas dengan mendahulukan kaki kanan

Selepas keluar dari tandas, disunatkan untuk kita melangkah untuk keluar dengan kaki kanan.

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ‏.‏

Maksudnya : “Daripada Aisyah Radiallahu’anha berkata, Rasulullah S.A.W sangat menyukai mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal, ketika menyisir rambut dan ketika bersuci, juga dalam setiap perkara yang baik-baik.” –  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

‏Hadis ini jelas menerangkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam melakukan perkara-perkara yang baik termasuklah ketika keluar dari tandas.

2. Membaca doa keluar tandas

Doa keluar tandas dibaca sebagai usaha untuk mengelakkan diri dari gangguan syaitan yang suka menyesatkan manusia. Di dalam tandas, atau di luar tandas, syaitan tetap ada untuk berusaha menjerumuskan kita ke dalam kemungkaran.

Rasulullah SAW ada bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا خَرَجَ مِنْ الْخَلَاءِ قَالَ :” غُفْرَانَكَ”.

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika keluar dari tandas, maka baginda berdoa, Ghufroonaka (aku memohon ampunan Mu).”- (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan at-Timidzi) 

Doa masuk tandas

بِسْم الله اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

“Allahumma inni. A ‘uzubika mnal khubusi wal khoba is”

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari syaitan lelaki dan syaitan perempuan.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Doa keluar tandas

غُفْرَانَكَ الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَذْهَبَ عَنّى اْلاَذَى وَعَافَانِىْ

“Ghuf ronaka. Alhamdulillahillazi azhaba a’nni aza wa ‘afani”

Maksudnya : “Aku memohon keampunan Mu (Ya Allah), Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku.”

Kesimpulan

Pelajari, dan praktikkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian bahkan dalam adab keluar, dan masuk tandas juga. Semoga dengan amalan sunnah yang berterusan kita boleh mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

Rujukan

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-75: Doa Masuk Tandas Serta Feqahnya. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1115-irsyad-al-hadith-siri-ke-75-doa-masuk-tandas-serta-feqahnya
  2. Ikuti Sunnah Rasulullah Ketika Masuk Ke Tandas (Ogos, 2019). TZKRH dari, https://tzkrh.com/ikuti-sunnah-rasulullah-ketika-masuk-ke-tandas/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113