Cara Beristinjak: Pengertian, Dalil, Tatacara & Adab Yang Perlu Di Patuhi
Islam sangat menitikberatkan soal kesucian diri, dan sekeliling. Suci dalam segi bahasa bermaksud bersih. Manakala dari segi istillah pula adalah bersih, dan suci dari najis, dan hadas hingga membolehkan seseorang mengerjakan ibadah.
Dari Abu Malik Al-Asya’ari RA katanya : Rasulullah SAW bersabda,
Bermaksud: “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman..” – (Hadis Riwayat Muslim)
Ini bermaksud kebersihan, dan kesucian adalah salah satu dari sifat orang-orang yang beriman. Bahkan kita dapat lihat sebelum seseorang itu ingin menunaikan ibadah, mereka wajib untuk bersuci terlebih dahulu dengan wudhu contohnya.
Apakah istinjak?
Istinjak membawa maksud menyucikan najis dari tempat keluarnya, sama ada qubul atau dubur (jalan depan atau jalan belakang). Najis yang dimaksudkan di sini termasuklah semua kategori iaitu:
- Najis mukhaffafah
- Najis mutawassitah
- Najis mughallazah
Najis mukhaffah adalah najis ringan atau dalam tingkat yang paling rendah. Contohnya seperti air kencing bayi laki-laki yang belum berusia 2 tahun, dan madzi atau air mani yang keluar dari kemaluan akibat terangsang.
Kerana najis ini tergolong najis ringan maka cara membersihkannya pun cukup mudah, dan tidak memerlukan cara khusus.
Najis mutawassitah, tergolong dalam najis sederhana dan dibahagikan kepada dua jenis lagi iaitu najis ‘ainiyah dan najis hukmiyah. Najis ‘ainiyah adalah najis sedang yang terlihat rupanya, rasa, dan tercium baunya.
Sementara itu, najis hukmiyah adalah najis yang tidak nampak rupanya, seperti tempat kencing, dan minuman arak. Syarat membersihkan najis jenis ini adalah sehingga hilang bau, warna, dan rasa.
Najis yang paling tinggi, dan berat dipanggil najis mughalladhah. Contohnya, menyentuh babi, dan terkena air liur anjing secara sengaja atau tidak. Ada tatacara, dan syarat tertentu untuk membersihkan najis seperti ini.
Dalil tentang cara beristinjak
Bahan untuk beristinjak ialah air. Anas RA memceritakan; “Adalah Nabi SAW apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinjak”. Diharuskan juga menggunakan benda-benda kesat seperti batu, kertas dan sebagainya yang boleh menanggalkan najis. Banyak hadis menceritakan Nabi SAW beristinjak menggunakan batu.
Menurut mazhab Syafi’ie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja, namun beristinjak dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.
Hukum beristinjak dalam Islam
Hukum beristinjak dalam Islam adalah wajib. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Anas Berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Bersihkan dirimu selepas membuang air kecil. Sesungguhnya banyak azab kubur kerananya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
Alat-alat istinjak
Alat-alat yang dibolehkan dalam beristinjak:
- Air mutlak
- Benda-benda yang kesat, keras, dan kering seperti batu, daun kering, kertas, dan sebagainya
Alat-alat yang diharamkan dalam beristinjak:
- Bahan-bahan makanan
- Tulang-tulang binatang
- Kertas yang mempunyai tulisan atau kalimah Allah SWT, ayat-ayat Al-Quran, dan Hadis
Cara beristinjak dengan betul
Cara yang paling utama dalam beristinjak adalah dengan menggunakan air. Sekiranya tidak ada air maka gunakanlah benda-benda kesat. Namun jika kita mempunyai kedua-duanya, maka pilih dengan membersihkan menggunakan benda kesat dahulu, kemudian air. Langkah-langkah beristinjak yang tepat adalah seperti ini:
- Pastikan najis dihilangkan dengan memggunakan benda-benda kesat seperti batu, atau tisu
- Basuh qubul, dan dubur menggunakan air mutlak sehingga hilang bau, warna, dan rupa najis tersebut.
Adab semasa beristinjak
Antara adab semasa beristinjak adalah:
- Menutup, dan jauh dari pandangan atau penglihatan orang lain ketika membuang air di tempat terbuka
- Tidak membawa sesuatu yang bertuliskan kalimah asma Allah
- Membaca bismillah dan isti’adzah ketika mahu masuk, dan keluar tandas
- Mendahulukan kaki kiri ketika masuk, dan kaki kanan kanan bila hendak keluar
- Tidak boleh menghadap, dan membelakangi kiblat
- Tidak boleh berkata-kata tanpa kepentingan
- Hindari dari buang hajat di jalan-jalan umum, tempat berteduh, dan sebagainya
Beristinjak menggunakan tangan
Yang paling afdal dalam beristinjak adalah dengan menggunakan kedua-dua alat bersuci iaitu bahan kesat seperti batu, dan tisu. Kemudian barulah dibasuh dengan air tanpa tangan menyentuh dubur.
Apa yang penting najis itu mesti hilang terlebih dahulu dengan menggunakan bahan kesat atau air sebelum dibasuh pula dengan menggunakan tangan.
Hal ini sepertimana yang disebut di dalam kebanyakan kitab-kitab Fiqh al-Syafie, antaranya yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqna’:
والأفضل أن يستنجي بالأحجار أو ما في معناها ثم يتبعها بالماء لأن العين تزول بالحجر أو ما في معناه، و الأثر يزول بالماء من غير حاجة إلى مخامرة النجاسة
Maksudnya: “Dan cara yang paling afdhal adalah dengan beristinjak terlebih dahulu menggunakan batu atau benda yang seumpamanya, kemudian diikuti pula dengan basuhan air. Hal ini kerana ‘ain najis tersebut akan hilang dengan batu atau benda yang seumpamanya, manakala sisa-sisa kesan najis itu akan hilang dengan basuhan air tanpa perlu untuk bersentuhan dengan najis. ” – (Rujuk al-‘Iqna fi Hall al-Alfaz Abi Syuja’, 1:53)
Kesimpulan
Kepentingan menjaga kebersihan diri dalam Islam adalah sangat dititikberatkan. Hal ini kerana ia bersangkut paut dengan syarat sah dalam melakukan ibadah seperti solat, dan sebagainya.
Rujukan
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-523: Kekeliruan Berkaitan Istinjak Menggunakan Tangan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4548-irsyad-al-fatwa-siri-ke-523-kekeliruan-berkaitan-istinjak-menggunakan-tangan
- Panduan Bersolat, Bersuci, Berpuasa. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
- Hukum Guna Tisu Basah (Januari 2019). Sinar Harian, Ustaz Syed Shahridzan dari, https://www.sinarharian.com.my/article/6832/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Hukum-Guna-Tisu-Basah