Anda Menghidap Ekzema? Kenali Simptom Dan Cara Mencegahnya
Ekzema atau dermatitis atopik merupakan sejenis penyakit kulit yang menyebabkan kegatalan, inflamasi atau naik ruam.
Masalah ini merupakan sesuatu yang amat lazim berlaku. Malah, hampir 31 juta rakyat Amerika Syarikat menghidap ekzema dalam jenis tertentu.
Masalah kulit ini juga sering berlaku kepada kanak-kanak. Namun, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Buat masa ini, masih belum ada lagi rawatan untuk dermatitis atopik. Namun, ada beberapa langkah yang boleh pesakit ambil untuk mengurangkan simptom yang dialami.
Sebagai contoh, simptom mungkin boleh dikurangkan jika pesakit mengelakkan diri daripada mengguna sabun yang kasar terhadap kulit, memakai pelembap atau menyapu ubat-ubatan tertentu pada kulit yang terkena ekzema.
Apakah ekzema dan bagaimanakah rupanya?
Jika kulit anda menjadi kering, kemerah-merahan, gatal dan berbiji, mungkin ekzemalah dalang disebaliknya.
Penyakit ini akan merosakkan lapisan pelindung (skin barrier) pada permukaan kulit.
Apabila lapisan ini rosak, kulit akan menjadi lebih sensitif, mudah kering dan lebih senang terkena jangkitan.
Walau bagaimanapun, ekzema tidak berbahaya terhadap kesihatan. Malah, ia bukanlah bermaksud kulit anda kotor. Dermatitis atopik merupakan sejenis penyakit serius yang perlu dirawat oleh doktor.
Sebenarnya, ‘dermatitis’ sendiri berasal daripada perkataan ‘derm’ iaitu kulit dan ‘itis’ yang bermaksud inflamasi.
Manakala, ekzema pula berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘ekzein’ yang bermaksud naik biji atau pecah.
Penyakit kulit ini tidak mengenal jantina. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi kepada penghidap asma atau alahan.
Tanda-tanda dermatitis atopik
Simptom penyakit kulit ini mungkin berbeza mengikut individu. Namun, antara simptom lazimnya ialah:
- Kulit yang kering.
- Rasa gatal, terutamanya pada waktu malam.
- Kulit yang berwarna coklat atau kelabu pada kawasan tangan, kaki, leher, pergelangan tangan dan di dalam lipatan siku dan lutut.
- Biji-biji yang mengeluarkan air tumbuh pada kawasan muka atau kulit kepala.
- Kulit yang tebal, pecah dan merekah.
- Kulit yang membengkak, sensitif kerana terlalu kerap digaru.
Ekzema akan membuatkan kulit menjadi sangat gatal sehingga pesakit akan menjadi ‘ketagih’ untuk menggaru.
Namun, kegatalan ini akan menjadi lebih teruk setelah kulit luka dan berair. Malah, ada juga yang akan menggaru sehingga kulit berdarah.
Masalah dermatitis atopik selalunya bermula sebelum usia 5 tahun. Ia mungkin akan berlarutan sehingga individu tersebut mencecah remaja dan menjadi dewasa.
Ada di antara penghidap ekzema yang sembuh apabila semakin berusia. Namun, ada juga yang akan kerap mengalaminya walaupun sudah mencecah dewasa.
Cara mengelakkan ekzema
Buat penghidap ekzema, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan dermatitis. Antaranya ialah:
- Gunakan pelembap pada kulit dua kali sehari. Gunakan losyen atau krim untuk ‘kunci’ lembapan pada kulit. Pada kulit bayi, gunakan petroleum jelly untuk mengelakkan dermatitis atopik.
- Elakkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan ekzema menjadi teruk seperti peluh, stres, obes, sabun, habuk dan debunga. Elakkan pendedahan terhadap bahan-bahan ini.
- Jangan mandi lama-lama, lebih-lebih lagi jika anda mandi menggunakan air panas. Hadkan masa mandi selama 10 hingga 15 minit sahaja setiap hari.
- Gunakan sabun yang lembut pada badan. Jangan gunakan sabun antibakteria kerana ia boleh mengeringkan kulit anda.
- Keringkan diri dengan betul. Selepas mandi, gunakan tuala lembut dan sapu pelembap pada kulit ketika ia masih lagi lembap.
- Jangan garu kawasan yang gatal. Dapatkan ubat-ubatan untuk merawat kegatalan yang dialami.
Adakah saya perlu mengelakkan makanan tertentu?
Kaitan di antara ekzema dan alahan makanan masih lagi tidak jelas sehingga hari ini.
Jika anda mempunyai alahan makanan, elakkan pengambilan makanan tersebut kerana ia boleh menyebabkan dermatitis menjadi semakin teruk.
Simptom lain seperti kegatalan juga akan menjadi semakin serius. Elakkan mengambil makanan seperti telur, ayam dan makanan laut.
Jika dermatitis atopik anda menjadi semakin teruk selepas makan makanan tertentu, anda mungkin mengalami alahan terhadap makanan tersebut.
Namun, jika anda tidak mempunyai alahan, tidak ada makanan yang akan menyebabkan penyakit kulit yang anda alami menjadi semakin teruk.
Kesimpulan
Hidup dengan ekzema merupakan sesuatu yang sukar. Kegatalan yang pesakit alami boleh mempengaruhi kehidupan seharian, terutamanya jika ia berlaku pada waktu malam.
Jika anda mnghidap ekzema, anda tidak berseorangan! Hampir 15% – 20% individu di seluruh dunia pernah mengalami dermatitis atopik.
Kadangkala, ekzema boleh sembuh secara tiba-tiba. Namun, ia boleh berlaku semula pada masa hadapan jika anda terdedah kepada sebarang bahan yang boleh menyebabkan alahan.
Untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi, elakkan menyentuh bahan-bahan yang boleh menyebabkan dermatitis atopik jadi semakin teruk.
Pakai pelembap dengan kerap dan makan ubat mengikut saranan doktor.
Rujukan
- Atopic dermatitis (eczema) – Symptoms and causes. (2020, June 12). Mayo Clinic. Retrieved January 13, 2022, from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/atopic-dermatitis-eczema/symptoms-causes/syc-20353273
- Eczema (Atopic Dermatitis): Causes, Treatment & Symptoms. (2020, October 28). Cleveland Clinic. Retrieved January 13, 2022, from https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9998-eczema
- Eczema Symptoms & Causes. (n.d.). National Eczema Association. Retrieved January 13, 2022, from https://nationaleczema.org/eczema/
- Ekzema – PORTAL MyHEALTH. (2011, August 22). Portal MyHEALTH. Retrieved January 13, 2022, from http://www.myhealth.gov.my/ekzema/
- 7 Types of Eczema: Symptoms, Causes, and Pictures. (n.d.). Healthline. Retrieved January 13, 2022, from https://www.healthline.com/health/types-of-eczema