Bacaan Gula Ibu Mengandung Yang Normal / GDM – BSP, MGTT

Bacaan Normal Gula Ibu Mengandung (GDM) – BSP, MGTT

Kencing manis semasa mengandung atau biasanya dipanggil sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) merupakan satu keadaan serius yang boleh berlaku kepada wanita hamil.

Jika ibu hamil menghidap kencing manis, keadaan ini mungkin boleh menyukarkan proses kelahiran selain mendedahkan ibu kepada komplikasi kepada janin seperti bayi yang bersaiz besar dan air ketuban yang lebih banyak berbanding normal.

Key Takeaways

  • Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa mengandung
  • Bacaan gula di bawah 7.8mmol/L dianggap normal

Pengenalan Diabetes Ketika Mengandung (GDM)

Diabetes semasa hamil atau biasanya dipanggil sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) merupakan satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak mengetahui ada menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Menurut panel perubatan dari laman web KnowYourMedicine, semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit disebabkan oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh plasenta/uri (organ yang membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui tali pusat). Ini dikenali sebagai rintangan insulin.

Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen akan mengganggu pengeluaran insulin. Plasenta anda akan membesar pada trimester kedua dan ketiga, di mana lebih banyak hormon penghalang dikeluarkan dan seterusnya menyebabkan rintangan yang lebih tinggi terhadap tindakan insulin.

Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.

Lazimnya, organ pankreas akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Jika ia gagal, maka GDM akan berlaku.

Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes kemudian nanti.

GDM biasanya dikesan selepas minggu ke 24 kehamilan dan berlaku kepada 1-14% peratus wanita hamil setiap tahun. Jika tidak dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan bayi yang dikandung.

Ujian Minum Gula Ibu Mengandung (MGTT)

Umumnya ibu tentu akan menjalani ujian GTT atau Ujian Toleransi Glukosa ketika pemeriksaan kehamilan (routine check-up).

Dalam bahasa ringkasnya, ia adalah ujian untuk mengetahui insulin pada ibu mengandung boleh berfungsi atau tidak. Jika insulin berfungsi dengan baik, selepas 2 jam minum air gula, paras gula dalam darah masih akan normal, sebaliknya jika insulin bermasalah, paras gula akan naik selepas minum air gula dan anda mungkin mempunyai kencing manis (diabetes) ketika hamil.

Jika anda mempunyai salah satu faktor seperti yang berikut, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (minum air gula ) ketika mengandung yang dilakukan pada awal peringkat kandungan:

  • Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 30 ataupun lebih
  • Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi 4 kg ataupun lebih
  • Sejarah kandungan yang mempunyai Diabetes ketika mengandung
  • Ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai Diabetes.

Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum, kecuali minum air kosong / air mineral sahaja.

Ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu sebelum menghabiskan larutan gula yang disediakan.

Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam anda meminum larutan gula ini.

Jika anda mendapat bacaan normal, ujian ini perlu diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu kandungan.

Sebaliknya, jika keputusan saringan anda melebihi hadnya, ibu hamil akan diberi kaunseling mengenai “diabetic diet” DAN menjalani empat ujian darah yang dikenali sebagai blood sugar profile atau BSP.

Jika keputusan BSP adalah normal, pesakit akan terus mengamalkan diet khusus sehingga kelahiran bayi.

Sebagai tambahan, jika keputusan BSP menunjukkan tahap glukos dalam darah terlalu tinggi, doktor akan memulakan penggunaan insulin sebagai rawatan bagi GDM ini.

Bacaan Gula Ibu Mengandung Yang Normal

Berapa bacaan gula normal untuk ibu mengandung?

Menurut laman web MyHealth KKM, berikut merupakan sasaran bacaan gula normal untuk ibu mengandung :

MasaParas gula (mmol/l)
Sebelum sarapan3.5 – 5.9
Sebelum makan tengah hari dan malam3.5 – 5.9
1 jam selepas makan< 7.8
2 jam selepas makan4.4 – 6.7
2-4 jam selepas makan> 3.9

Bagi ibu yang menjalani ujian OGTT / MGTT, indikasi bacaan yang biasa diambil untuk ibu mengandung di Malaysia adalah seperti berikut :

  • FBS (Fasting Blood Sugar)
    • Bacaan pertama yang diambil pada sampel darah yang di ambil ketika kita sampai di klinik.
      • Normal : <5.1 mmol/L
  • Bacaan 2 Jam Selepas (2HPP / 2H Postprandial)
    • Bacaan yang di ambil pada sampel darah selepas 2 Jam ibu hamil minum air glukos / air gula.
      • Normal : < 7.8 mmol/L

Contoh keputusan yang diperolehi adalah seperti berikut:

bacaan gula ibu mengandung

Biasanya ibu-ibu yang punya bacaan yang berhampiran atau pada borderline akan di minta melakukan ujian sekali lagi.

Manakala ibu-ibu yang mempunyai bacaan lebih dari 7.8 mmol/L akan di rujuk untuk melakukan ujian BSP dan seterusnya mendapat nasihat doktor.

bacaan gula ibu mengandung bsp mgtt

Risiko Diabetes Ketika Hamil (GDM) Yang Tidak Terkawal

Ibu hamil yang menghidap GDM mempunyai beberapa risiko seperti:

  • Melahirkan bayi secara pembedahan
  • Bayi lahir dengan berat melebihi 4.0 kg
  • Kecederaan bahu bayi semasa dilahirkan
  • Bayi menghidap masalah kongenital
  • Kematian bayi dan lain-lain
diabetes bacaan gula ibu mengandung

Pencegahan

Jadi, bagaimana untuk mengelak GDM?

  1. Jaga JADUAL makan harian – meninggalkan waktu makan boleh menyebabkan ibu makan lebih banyak pada waktu makan seterusnya dan paras gula boleh meningkat dengan mendadak. Kawalan insulin juga boleh terganggu sekiranya paras gula dalam darah terlalu rendah akibat tidak makan.
  2. Jaga JUMLAH sajian karbohidrat dan buah – makanlah mengikut saiz sajian berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020. Makan sedikit tetapi kerap adalah lebih baik berbanding makan dengan jumlah yang banyak dalam satu hidangan.
  3. Lebihkan SAYUR dan serat – Sayur dan serat adalah sangat penting dalam memperlahankan peningkatan paras gula. Belajarlah untuk mengambil sayur hijau dan kekacang jika selama ini jarang menjamahnya.
  4. Amalkan SUKU SUKU SEPARUH – Hidangan lengkap karbohidrat-protein-sayur-buah, dengan saiz sajian yang betul, bersama air kosong membantu mengawal gula dalam darah.
  5. Hadkan pengambilan GULA – lebihkan manis dalam senyuman
  6. Pastikan peningkatan berat badan mengikut saranan untuk ibu hamil (GWG) – peningkatan berat badan yang mendadak boleh meningkatkan risiko kejadian GDM.

Sila rujuk risalah berikut untuk bacaan selanjutnya:

Rujukan :

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazurah Hassan
Nazurah Hassan

Berpengalaman sebagai pegawai penyelidik, kini mengurus keluarga sambil menulis artikel online. Hasil penulisan pernah diterbitkan di portal online TheAsianParent.com, PantangPlus.com, TZKRH, Majalah Labur dan SirapLimau.

Articles: 10