Ketumbit Mata, Punca & Cara Rawat Yang Berkesan

Ketumbit Mata 

Ketumbit mata adalah merupakan ‘bisul kecil’ yang selalunya berlaku di kelopak mata. Ia boleh melibatkan sebelah mata atau kedua-duanya sekali. 

Punca ketumbit berlaku juga seringkali dikaitkan dengan mitos iaitu disebabkan oleh tabiat mengintai orang mandi. Walhal, ia tidak benar sama sekali.

Punca Ketumbit Mata 

Ketumbit mata adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Staphylococcus Aureus dan juga penakungan minyak  penakungan minyak akibat saluran kelenjar tersumbat.

Bukanlah disebabkan oleh mengintai orang mandi. Biasanya, iai melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata.

Walaupun tidak berbahaya, namun ia menimbulkan rasa ketidakselesaan kepada individu yang dijangkiti. Selain itu, adakalanya ia terasa gatal dan boleh menjejaskan penampilan. 

Jenis Ketumbit

Untuk pengetahuan anda, terdapat 2 jenis ketumbit iaitu; hordeolum dan chalazion.

Ketumbit hordeolum adalah disebabkan oleh jangkitan kuman (Staphylococcus Aureus) di akar bulu mata (folikel). 

Biasanya, ketumbit jenis hordeolum kerap dialami oleh;- 

  • Pesakit kencing manis
  • Pesakit seborrhea, penyakit kulit yang menyebabkan kulit kasar dan bersisik
  • Pesakit yang mengalami blepharitis kronik, jangkitan kelopak mata berjangka masa panjang
  • Individu yang tidak menjaga kebersihan kelopak mata

Manakala, chalazion pula disebabkan oleh  penakungan minyak akibat saluran kelenjar tersumbat. 

Pada bahagian mata kita, terdapat kelenjar meibomian, yang berfungsi untuk menghasilkan sejenis cecair berminyak pada bola mata untuk mengelakkan lapisan air mata daripada menjadi kering. Apabila kalenjar ini tersumbat, maka terjadilah ketumbit jenis chalazion. 

Punca utama kalenjar ini tersumbat adalah lapisan lemak dalam kelenjar yang terlalu melekit dan susah untuk dikeluarkan. Ia sering dialami oleh golongan yang mempunyai masalah acne rosacea.

Ketumbit Mata

Tanda & gejala

Antara tanda & gejala ketumbit yang sering berlaku ialah;

  • Kelopak mata terasa sakit
  • Timbul ‘bisul kecil’
  • Mata rasa seperti berbiji
  • Merah atau bengkak pada kelopak mata
  • Kelopak mata gatal

Rawatan 

Ketumbit tidak memerlukan rawatan yang spesifik kerana biasanya ia akan hilang dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, sesetengah individu mungkin mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata seterusnya menyebabkan preseptal cellulitis. 

Untuk mengurangkan gejalanya, anda boleh cuba merawatnya di rumah dengan menuam kawasan mata yang terdapat ketumbit beberapa kali sehari. Biasanya ia akan hilang dalam tempoh beberapa hari. Sekiranya tidak sembuh-sembuh juga, dapatkan rawatan antibiotik daripada farmasi/hospital. 

Cara-cara melakukan tuaman:

  • Ambil sehelai sapu tangan kecil
  • Rendam dalam air suam kuku dan perah hingga tidak menitis
  • Letakkan di atas kelopak mata dengan mata tertutup
  • Lakukan selama 10 minit
  • Ulang  2-3 kali sehari sehingga ketumbit pulih

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/ketumbit/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161