Secara umumnya, kadar denyutan nadi normal menandakan fungsi jantung yang baik serta tahap kesihatan kardiovaskular yang optimum.

Memetik MayoClinic, degupan nadi normal bagi dewasa berada di antara lingkungan 60 ke 100 denyutan seminit.

Cara Periksa Denyutan Nadi Pada Pergelangan Tangan

Anda boleh periksa denyutan jantung secara manual di pergelangan tangan.

Caranya adalah seperti berikut :

Letakkan dua jari pada urat yang terletak di bawah ibu jari. Anda boleh semak kedudukan urat nadi dengan betul melalui gambar di bawah.

Kredit Foto : medlineplus.gov

Anda boleh rasakan nadi dengan mengubah kedudukan jari beberapa kali sehingga berada pada kedudukan tepat.

Bila anda sudah kenalpasti kedudukan nadi, kira denyutan jantung selama 15 saat.

Darabkan jumlah degupan nadi kepada 4 untuk dapatkan jumlah denyutan jantung per minit.

Unit kiraan degupan nadi per minit juga dikenali sebagai beats per minute (bpm).

Baca Juga : 11 Simptom & Tanda Awal Sakit Jantung – Orang Muda Pun Boleh Kena!

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Bacaan Degupan Nadi

Banyak faktor boleh mempengaruhi kadar degupan nadi seperti :

Usia dan Stamina

Warga tua serta individu yang aktif bersukan mungkin akan dapati denyutan jantung mereka lebih rendah.

Tabiat merokok

Perokok biasanya menunjukkan denyutan jantung rehat yang lebih tinggi. Masalah ini boleh dicegah dengan berhenti merokok.

Penyakit

Masalah kesihatan seperti anemia kolesterol tinggi, kencing manis dan penyakit jantung boleh mempengaruhi bacaan denyutan nadi.

Suhu udara

Degupan jantung boleh meningkat sedikit apabila badan terdedah pada cuaca yang panas.

Kedudukan badan

Bacaan berbeza bergantung pada posisi badan seperti berbaring atau berdiri

Emosi

Sekiranya anda sedang teruja atau cemas, jantung boleh berdegup dengan lebih laju

Saiz badan

Individu dengan berat badan berlebihan boleh mencatatkan kadar degupan jantung rehat yang lebih tinggi. Hal ini berlaku kerana jantung perlu bekerja dengan lebih keras untuk salurkan darah ke seluruh badan.

Pengambilan ubat

Ubat-ubatan seperti beta-blocker boleh merendahkan kadar denyutan nadi.

Kadar Denyutan Nadi Maksimum Untuk Senaman Yang Optimum

Kiraan denyutan nadi maksimum dapat membantu anda untuk kenalpasti sasaran denyutan jantung yang ideal ketika bersenam.

Anda boleh anggarkan kadar degupan nadi maksimum berdasarkan usia. Caranya ialah dengan menolak usia anda daripada jumlah 220.

Formula : 220 – usia anda = kadar denyutan nadi maksimum per minit / (bpm).

Sebagai contoh, Ali berusia 35 tahun. Jadi nilai  kadar denyutan nadi maksimum per minit ialah :

220 – 35 = 185 bpm

Nilai degupan jantung maksimum ini dapat membantu anda untuk elakkan senaman yang terlalu berat atau terlalu ringan.

Berdasarkan American Heart Association, anda boleh sasarkan degupan jantung yang sesuai bergantung kepada intensiti senaman yang dilakukan.

Senaman Intensiti Sederhana : 50 – 70 % kadar degupan jantung maksimum

Senaman Intensiti Tinggi : 70 – 85 % kadar degupan jantung maksimum.

Dengan menggunakan contoh di atas, Ali boleh sasarkan degupan jantung antara 93 ke 157 bpm (50-85% daripada kadar denyutan nadi maksimum) ketika bersenam.

Kini terdapat banyak fitness watch yang anda boleh dapatkan untuk membantu anda memantau degupan jantung dengan lebih mudah ketika bersenam.

Kredit Foto : theconversation.com

Kadar Denyutan Nadi Berbahaya

Dalam sesetengah keadaan, anda mungkin boleh rasakan denyutan jantung lebih perlahan atau laju berbanding biasa.

Kadar degupan jantung yang terlalu rendah atau tinggi perlulah diberi perhatian kerana ia mungkin menjadi petanda bagi penyakit berkaitan jantung.

Denyutan Nadi Laju

Jantung yang berdegup terlalu laju boleh menandakan masalah kesihatan yang dinamakan tachycardia. Bagi dewasa, kadar denyutan nadi laju adalah melebihi 100 bpm.

Kadang kala tachycardia bersifat sementara dan boleh berlaku atas beberapa sebab seperti :

  1. Stress atau anxiety
  2. Pengambilan kafein atau alkohol
  3. Ketidakstabilan elektrolit
  4. Anemia
  5. Masalah hormon seperti tiroid
  6. Demam
  7. Senaman berat atau aktiviti fizikal
  8. Kesan sampingan ubat-ubatan
  9. Tabiat merokok
  10. Pengambilan dadah seperti kokain

Tachycardia juga boleh menjadi simptom bagi pelbagai penyakit seperti :

  1. Anemia
  2. Sakit jantung atau serangan jantung
  3. Hyperthyroidism

Denyutan Jantung Perlahan

Degupan jantung yang terlalu perlahan boleh mencatatkan kadar serendah 60 bpm. Keadaan ini juga dikenali sebagai bradycardia.

Bagi ahli sukan atau yang aktif bersenam tekanan darah di bawah 60 bpm adalah normal.

Antara punca bagi bradycardia termasuklah :

  1. Kesan sampingan ubat
  2. Ketidakstabilan elektrolit
  3. Obstructive Sleep Apnea iaitu kesukaran untuk bernafas ketika tidur
  4. Masalah kesihatan
  5. Usia yang sudah lanjut
  6. Masalah jantung lemah

Jika anda mempunyai masalah jantung, atau dapati peningkatan atau penurunan denyutan jantung yang ketara, segeralah dapatkan pemeriksaan dari doktor.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Anda perlulah berjumpa doktor apabila anda dapati kadar denyutan nadi adalah lebih rendah daripada 60 atau lebih tinggi daripada 100 secara konsisten.

Sekiranya anda dapati perubahan denyutan nadi serta simptom seperti di bawah, anda perlulah dikejarkan ke wad kecemasan kerana ia boleh memberi amaran kepada masalah jantung serius.

Antara simptom yang perlu diberikan perhatian ialah  :

  • Kesukaran untuk bernafas
  • Dada terasa sempit atau sakit
  • Pening kepala
  • Pengsan
Kredit Foto : parkview.com

Jantung adalah organ yang sangat penting untuk kelangsungan hidup. Ia perlulah dijaga sebaiknya melalui pemakanan yang sihat serta amalan gaya hidup sihat dan aktif.

 Untuk memastikan kesihatan jantung berada pada tahap optimum sepanjang masa, anda perlulah kurangkan stres, pengambilan kafein serta berhenti merokok.

 Anda juga perlulah dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya setiap hari agar jantung dapat berfungsi sebaiknya.

Semakin usia anda meningkat, anda juga boleh terdedah kepada pelbagai penyakit seperti darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.

Oleh itu, luangkan masa untuk lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk kenalpasti sebarang penyakit pada peringkat awal.

 Pengesanan penyakit pada fasa awal dapat membantu anda untuk mencegahnya dengan lebih baik.

Sumber :

Normal vs Dangerous Heart Rate: How to Tell the Difference

https://www.healthline.com/health/dangerous-heart-rate

What’s a normal resting heart rate?

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/fitness/expert-answers/heart-rate/faq-20057979

Leave a comment

Your email address will not be published.