Tanda Influenza A / B Pada Kanak-kanak, Bayi, Dewasa & Rawatan

Anak di rumah dah mula selsema, suhu badan kejap naik, kejap turun. Adakah ini tanda influenza atau demam selsema biasa?

Ibu ayah tentu risau dengan keadaan anak-anak ketika tidak sihat atau demam, kan?

Tapi ada juga ibu yang yang menganggap demam selsema / flu ini bukanlah satu penyakit yang berbahaya.

Namun tahukah anda, bagi bayi dan kanak-kanak, flu merupakan satu ancaman yang merbahaya.

Mana tidaknya, komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak berpotensi untuk menyebabkan kematian!

Jadi, bagaimana cara untuk kita lebih peka dan mengetahui tanda influenza dan perbezaannya dengan demam biasa?

Ayuh, baca selanjutnya melalui artikel ini.

Apa Itu Influenza A & B?

Influenza merupakan penyakit jangkitan salur pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza.

Bergantung kepada pelbagai faktor seperti ketahanan badan seseorang, ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius.

Apa pula Influenza A dan Influenza B? Dan yang mana lebih bahaya?

Influenza A biasanya menjadi punca utama majoriti penyakit semasa musim selesema. Bahkan, ia berpotensi membawa kepada wabak kerana sifatnya yang dinamik, lebih pantas berubah dan julat hos yang besar.

Oleh itu secara umumnya, jangkitan Influenza A sering dianggap lebih teruk dan bahaya, namun sebuah kajian pada 2015 mendapati kedua-dua virus ini mempunyai tahap gejala dan kadar kematian yang hampir sama.

Bagaimana Ia Berjangkit?

Kedua-dua influenza A dan B adalah sangat mudah berjangkit dan menyebabkan jenis penyakit dan gejala yang sama.

  1. Virus ini merebak melalui titisan salur pernafasan pesakit, khususnya yang terhasil apabila pesakit batuk atau bersin.
  2. Titisan cecair pernafasan itu mungkin mencemari tangan pesakit atau permukaan yang terdapat di persekitarannya.
  3. Seterusnya seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan (apabila berada dalam jarak kurang dari 1 meter dari pesakit) atau apabila bersentuhan dengan permukaan tercemar.

Gejala & Tanda Influenza

Gejala influenza mula muncul selepas 1 hingga 4 hari setelah dijangkiti oleh virus influenza.

Antara tanda influenza termasuklah:

  1. Demam
  2. Selesema
  3. Sakit tekak
  4. Batuk
  5. Sakit kepala
  6. Sakit badan
  7. Sukar bernafas
  8. Cirit-birit dan sakit perut (khususnya dalam kalangan kanak-kanak)

NOTA: Jangkitan lazimnya boleh berlaku lebih teruk dalam kalangan warga tua dan kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan maut terutamanya bagi golongan berisiko.

Tempoh jangkitan pula boleh berlarutan dari 7 hari hingga 21 hari.

Perbezaan Tanda Influenza Dengan Demam Selesema Biasa

Menurut laman sosial Public Health Malaysia, terdapat beberapa tanda influenza yang boleh dibezakan dengan demam selesema biasa iaitu:

Golongan Individu Berisiko

Individu yang mempunyai risiko komplikasi influenza perlu mendapatkan bantuan rawatan perubatan dengan segera, iaitu :

  1. Kanak-kanak bawah 5 tahun
  2. Wanita hamil
  3. Warga emas 65 tahun dan ke atas
  4. Pesakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain)
  5. Individu obes
  6. Rendah daya tahan penyakit (pesakit kanser, kemoterapi, HIV, dll)

Rawatan / Ubat Antiviral

Adakah supplemen yang boleh merawat influenza?
Jawapan ringkasnya – tiada.

Ini kerana rawatannya adalah berdasarkan simptom sahaja (rawatan simptomatik).

Antaranya:

  • Minum air suam untuk melegakan sakit tekak dan batuk.
  • Amalkan makan secara sihat dan tidur/rehat secukupnya.
  • Elakkan stres kerana ia boleh melemahkan sistem pertahanan badan.
  • Sekiranya tanda dan gejala berlarutan, dapatkan rawatan doktor.

Ubat antiviral seperti Amantadine atau rimantadine boleh dipreskripsikan oleh doktor (jika perlu) dalam tempoh 48 jam dari tempoh jangkitan dan perlu diambil selama tiga (3) hingga lima (5) hari.

Walaubagaimanapun, ubat ini tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya untuk mengelakkan berlakunya kerintangan kepada ubat antiviral.

tanda influenza a b kanak-kanak bayi dewasa rawatan

Langkah Pencegahan

Ingatlah, pencegahan adalah yang terbaik dalam melawan influenza. Jaga diri anda dan bantu masyarakat kita kekal sihat!

Berikut adalah langkah pencegahan yang boleh anda amalkan di rumah:

  1. Cucilah Tangan dengan Kerap: Amalkan mencuci tangan dengan sabun dan air selama sekurang-kurangnya 20 saat untuk menghalang penularan virus influenza.
  2. Gunakan Tisu atau Siku : Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau siku apabila bersin atau batuk. Ini membantu mengelakkan penyebaran virus.
  3. Elakkan Daripada Keluar Ketika Sakit : Jika anda atau anak-anak sakit, lebih baik tinggal di rumah untuk mengelakkan penularan kepada orang lain di sekolah atau tempat kerja.
  4. Makan & Minum yang Sihat : Amalkan pemakanan seimbang dan minum banyak air untuk menjamin sistem imun yang sihat.
  5. VAKSINISASI Influenza : Pertimbangkan untuk mendapatkan vaksin influenza setiap tahun, terutamanya jika anda atau ahli keluarga adalah dalam kumpulan risiko tinggi.
  6. Bersihkan dan Disinfeksi : Kerapkan membersih dan disinfeksi permukaan rumah anda, terutamanya apabila ada ahli keluarga yang sakit.
  7. Elakkan Sentuhan Wajah : Hindari menyentuh muka anda, terutamanya mata, hidung, dan mulut, kecuali selepas mencuci tangan.
tanda influenza a b kanak-kanak bayi dewasa rawatan

Perlukah Kuarantin?

Influenza adalah penyakit yang amat mudah berjangkit. Maka, mereka yang dijangkiti perlu dikuarantin khususnya anak-anak kecil.

Bagi penjawat awam, kemudahan cuti kuarantin telah dilaksanakan mulai 2016, di mana hanya 6 jenis penyakit berjangkit yang termasuk dalam layak diberi cuti kuarantin.

Mulai Mac 2022, telah ada penambahbaikan bagi kemudahan cuti kuarantin di mana semua jenis penyakit berjangkit yang diperakui oleh pegawai perubatan kerajaan atau swasta layak diberi cuti kuarantin, termasuklah Influenza.

 Nama kemudahan Cuti Kuarantin dipinda kepada KEMUDAHAN CUTI MENJAGA ANAK YANG DIKUARANTIN ATAU MEMERLUKAN PENGASINGAN.

 Kadar tempoh cuti (bilangan hari):

i. Kadar tempoh cuti/ bilangan hari cuti terhad maksimum 5 hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan diberikan oleh mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta mengikut mana yang lebih rendah termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am.

ii. Pegawai yang memerlukan tempoh tambahan boleh memohon Cuti Rehat / Cuti Rehat Khas atau cuti-cuti lain yang berkelayakan.

iii. Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan Arahan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Sila muat turun dokumen seperti senarai di bawah pada pautan https://www.jpa.gov.my/…/2458-penambahbaikan-kemudahan… atau imbas Kod QR di poster.

Rujuk soalan lazim :
https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2022/faq_se04032022.pdf

Vaksin Influenza

Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun.

Oleh itu, vaksinasi influenza adalah amat digalakkan setiap tahun bagi golongan yang berisiko, terutamanya kanak-kanak dan warga emas serta mereka yang menghidap penyakit kronik.

Vaksinasi influenza boleh didapati di kebanyakan klinik swasta di Malaysia.

Bilangan dos: Satu (1), suntikan untuk individu berusia lebih 9 tahun, dua (2) dos sekurang-kurangnya 4 minggu selepas dos pertama untuk bayi berumur 6 bulan hingga 9 tahun. Separuh dos untuk bayi berumur 6 hingga 36 bulan.

Booster: Setiap tahun; individu yang terjejas daya tahan badan (berpunca dari ubat-ubatan atau penyakit) perlu menerima dos kedua (2) 4 minggu selepas dos pertama.

Rujukan:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazurah Hassan
Nazurah Hassan

Berpengalaman sebagai pegawai penyelidik, kini mengurus keluarga sambil menulis artikel online. Hasil penulisan pernah diterbitkan di portal online TheAsianParent.com, PantangPlus.com, TZKRH, Majalah Labur dan SirapLimau.

Articles: 10