Idea Barang Hantaran Kahwin Sesuai Untuk Lelaki Dan Perempuan

Merancang majlis perkahwinan tidaklah semudah yang disangka. Banyak persiapan yang perlu dilakukan secara rapi agar majlis berlangsung dengan jayanya termasuklah barang hantaran kahwin.

Biasanya, pihak perempuan akan menyediakan lebih banyak dulang hantaran sebagai balasan kepada pihak lelaki. Sebagai contoh, lelaki menyediakan 5 dulang hantaran dan dibalas dengan 7 dulang hantaran daripada pihak perempuan. 

Pada artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa idea menarik untuk dijadikan barang hantaran kahwin yang sesuai  untuk lelaki dan perempuan. 

Okay, mari kita baca satu persatu barang hantaran kahwin yang menarik untuk lelaki dan perempuan seperti yang disenaraikan dibawah. 

hantaran kahwin

Hantaran Kahwin Sesuai Untuk Lelaki Dan Perempuan 

  1. Al-Quran dan Alatan Solat

Ada baiknya kita mulakan detik penyatuan dua jiwa dengan menghadiahkan kitab suci Al-Quran kepada pasangan. Setiap kali pasangan anda membacanya, anda juga akan turut mendapat pahala. 

Al-Quran biasanya dipasangkan sekali dengan alatan solat seperti sejadah dan telekung atau songkok. Kini, ada pelbagai jenis set sejadah beserta telekung/songkok dan Al-Quran yang dijual sekali sebagai set hantaran. Anda juga boleh tambah tasbih dan buku-buku keagamaan sebagai pelengkap. 

  1. Set Pakaian

Anda juga boleh jadikan sepasang baju yang padan satu sama lain sebagai set hantaran. Pilih baju yang mempunyai warna/corak sepadan. Baju lelaki boleh dijadikan sebagai hantaran daripada pihak perempuan dan sebaliknya. 

Sebagai contoh, sepasang baju melayu beserta songkok dan sepasang baju kurung beserta tudung. 

  1. Set Wangian 

Tidak kiralah lelaki ataupun perempuan, semuanya pasti sukakan wangian. Hadiahkan set wangian kepada pasangan anda mengikut citarasa masing-masing. Pilih wangian yang anda suka untuk pasangan anda dan sebaliknya. Barulah romantik!

  1. Jam Tangan

Jam tangan sepasang juga adalah idea hantaran yang menarik. Beli sepasang jam tangan dan hadiahkan pasangan masing-masing sebagai hantaran. 

  1. Makanan & Manisan

Makanan dan manisan juga sering dijadikan sebagai set hantaran. Pelbagai pilihan makanan sesuai dijadikan sebagai hantaran contohnya seperti; kek buah, cupcake, coklat, puding, buah-buahan dan lain-lain. 

Sekiranya anda memilih kek, pilih kek yang bersaiz sederhana dan sesuai dengan set hantaran yang lain. Elakkan memilih kek menggunakan krim yang mudah cair kerana takut kek akan rosak sebelum majlis berlangsung!

Anda boleh lengkapkan set hantaran makanan dengan pilihan buah-buahan seperti anggur, strawberry, oren,  buah ceri, pelbagai jenis berries, kiwi, delima, pir dan lain-lain. Ini pasti boleh membuatkan hantaran anda lebih menyerlah. 

Untuk mendapatkan warna buah yang cantik, tipsnya anda perlu mengelap kulit buah menggunakan sedikit minyak masak. 

  1. Barangan Rumah

Melangkah ke alam rumah tangga memerlukan banyak kos lebih-lebih lagi selepas majlis berlangsung. Untuk mengurangkan kos selepas berkahwin, anda juga boleh jadikan barangan rumah sebagai set hantaran. 

Senaraikan barangan keperluan rumah dan jadikan sebagai hantaran. Tak kiralah hantaan untuk pihak lelaki mahupun perempuan kerana pada akhirnya, barangan tersebut akan digunakan bersama. 

Antara senarai barangan yang berguna ialah; mesin basuh, peti sejuk, dapur gas, set pinggan mangkuk, air fryer, vacuum, dan macam-macam lagi!

  1. Barang Berdasarkan Hobi / Minat Pasangan 

Sebenarnya trend ini sudah lama dipraktikkan dan sekaligus membuktikan sokongan kepada pasangan atas hobi dan minat mereka. 

Antara barangan yang boleh diberikan ialah, set joran, set alat permainan, set makeup, set bola (jersi, kasut, bola), set peralatan baking, dan macam-macam lagi. 

Boleh bincang dengan pasangan masing-masing mengenai hobi dan minat mereka.

Kesimpulan

Apa pun pilihan barang hantaran anda, pastikan tidak membazir dan pilih barangan yang berguna untuk kemudian hari. Bincang dengan pasangan dan ahli keluarga sebelum membuat pilihan. Jangan membeli barang diluar kemampuan.

Perlu diingat, set hantaran tidak termasuk dalam syarat wajib nikah.  Apa yang penting adalah kehidupan selepas perkahwinan kerana di situlah permulaan kehidupan baru anda. 

Sumber: nikahsatu.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161