Khasiat Petai, Membantu Untuk Hentikan Tabiat Merokok

Pokok petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa adalah merupakan salah satu tumbuhan yang mempunyai bau yang agak kurang menyenangkan namun mempunyai keunikannya yang tersendiri. 

Petai mempunyai bentuk seperti papan yang panjang (sebab tu disebut sepapan petai), dan isinya berwarna hijau dengan bentuk seperti kacang almond.

Baunya pula agak busuk dan kurang menyenangkan. Sebenarnya bau busuk yang agak kuat yang keluar dari petai adalah bau gas metana semulajadi yang tersimpan dalam isi kekacangnya

Walaupun rasanya agak pahit sekiranya dimakan mentah namun, ia sungguh menyelerakan sekiranya dimasak sambal, dibuat tempoyak dan lain-lain. Memang umphh!

Buat penggemarnya, khasiat petai untuk kesihatan juga sememangnya banyak kerana kandungan nutrisinya yang pelbagai. Mari kita baca satu persatu. 

Khasiat Petai

Khasiat Petai

  1. Menangani Stress

Tahukah anda, pengambilan petai dapat membantu menenangkan seseorang yang mengalami masalah stress ataupun tekanan. Stress boleh dibahagikan kepada dua iaitu stress baik ataupun tidak. Stress yang baik atau sederhana boleh membantu seseorang menjadi lebih produktif manakala stress yang tidak terkawal boleh membawa kepada depresi atau kemurungan. 

Jadi bagaimana petai boleh membantu menangani stress?

Petai mengandungi sejenis protein yang dikenali sebagai tryptophan. Tryptophan kemudian akan bertukar kepada serotonin. Serotonin pula berperanan untuk meningkatkan  emosi seterusnya memberi rasa selesa, senang dan gembira kepada manusia. Maka, terhasillah mood yang baik dan hilanglah stress ataupun tekanan. 

Di samping itu, tryptophan yang ada di dalam petai juga mampu meningkatkan kualiti tidur seseorang. 

  1. Aktiviti Antioksidan

Petai juga mengandungi antioksidan seperti polifenol, flavonoid  dan vitamin C yang dapat membantu badan bagi melawan radikal bebas sekaligus memberi kebaikan kepada kesihatan tubuh badan untuk mengelak penyakit.

Bukan itu sahaja, petai juga mengandungi kandungan sulfur yang tinggi yang boleh menghasilkan gas hidrogen sulfida. Gas yang dihasilkan ini mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi dan boleh membantu mengelak serangan penyakit jantung.

  1. Mengawal Tekanan Darah & Baik Untuk Kesihatan Jantung

Seperti yang dinyatakan di atas, antioksidan yang terdapat di dalam petai bermanfaat untuk mengelakkan serangan jantung. 

Tambahan pula, petai mengandungi kandungan garam yang rendah dan kalium yang tinggi. Hal ini dapat membantu menstabilkan dan mengawal tekanan darah sekaligus memberi manfaat untuk kesihatan jantung. Selain itu, petai juga mengandungi omega-3 dan omega-6 yang baik untuk kesihatan jantung. 

  1. Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Kandungan sterol tumbuhan seperti β-sitosterol dan stigmasterol yang terdapat dalam nutrisi petai mampu membantu untuk menurunkan kadar gula dalam darah disamping mempunyai aktiviti hipoglikemik yang tinggi. 

  1.   Mempunyai Sifat Antimikrobial

Pengambilan petai dapat membantu mencegah penyakit yang berkaitan dengan bakteria (mikrob) contohnya seperti jerawat, bisul dll. Hal ini kerana, petai mempunyai sifat antimikrobial yang boleh membantu mencegah jangkitan dalam badan manusia. 

Petai mengandungi komponen yang memberi sifat antimikrobial seperti hexathionine dan trithiolane. Sifat antimikrobial yang terdapat di petai ini mampu menghalang pertumbuhan mikroorganisma seperti Aeromonas hydrophila, Staphylococcus aureus, Streptococcus agalactiae, Streptococcus anginosus, dan Vibrio parahaemolyticus.

  1. Melawan Ketagihan Nikotin

Ketagihan nikotin adalah sesuatu yang membahayakan kesihatan. Apabila anda menjadikan merokok sebagai habit, anda perlukan alternatif nikotin untuk membantu anda berhenti merokok secara bertahap kerana sebenarnya anda sedang ketagihan nikotin. 

Tahukah anda, memakan petai boleh membantu anda mengatasi ketagihan tersebut lalu membantu anda untuk berhenti merokok.

Hal ini kerana petai juga mengandungi komponen seperti vitamin B6 dan B12, kalium dan magnesium yang boleh membantu tubuh melawan ketagihan nikotin. 

Kesimpulan

Walaupun mempunyai bau yang kurang menyenangkan, khasiat petai tidak dapat diragukan lagi kerana ia kaya dengan pelbagai nutrisi yang mampu memberi manfaat kepada kesihatan. Anda boleh buat carian cara untuk menghilangkan bau petai sebelum memakannya. Rasanya pun tidak kurang sedapnya. Bolehlah cuba ya!

Sumber: https://rootofscience.com/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161