Khasiat Lobak Putih, Boleh Tingkatkan Penghasilan Susu Badan?
Lobak putih adalah merupakan sejenis sayuran yang selalu digunakan dalam masakan. Nama saintifiknya ialah, Raphanus sativus dan tergolong dalam keluarga Brassicaceae. Rasa lobak putih, tawar-tawar manis dan mempunyai tekstur yang keras sebelum di masak.
Ia mengandungi pelbagai nutrisi yang baik untuk kesihatan tubuh badan. Contohnya seperti vitamin A, C, E, betakaroten, riboflavin, asid ferulik, asid benzo-piruvik, asid amino, bahkan sangat kaya dengan kandungan air, zat besi, kalsium dan banyak lagi!
Di Malaysia, lobak putih biasanya dijadikan sebagai salah satu bahan campuran dalam sup atau lauk berpantang. Manakala kalau di Korea pula, ia sering dijadikan sebagai bahan makanan yang dikenali sebagai kimchi.
Jom ambil tahu khasiat lobak putih untuk kesihatan tubuh badan seperti yang telah disenaraikan dibawah.
Khasiat Lobak Putih
- Membantu Meningkatkan Penghasilan Susu Badan
Kaya dengan pelbagai nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh, pengambilan lobak putih adalah amat disyorkan untuk wanita berpantang.
Selain membekalkan nutrisi yang diperlukan oleh para ibu, ia juga dipercayai mampu membantu meningkatkan penghasilan tubuh susu badan. Hal ini kerana, kandungan air serta nutrisinya dapat membantu merangsang penghasilan susu badan ibu agar meningkat sesuai dengan keperluan bayi.
Walaubagaimanapun, belum ada kajian khusus khasiat lobak putih berkaitan susu ibu ini. Tetapi ia sudah dijadikan sebagai petua berguna sejak berpuluh tahun lalu dan terbukti berhasil.
- Baik Untuk Imunisasi Tubuh
Antara khasiat utama lobak putih ialah, ia dapat mampu membantu meningkatkan sistem ketahanan badan sekaligus mencegah jangkitan penyakit.
Ini disebabkan oleh kandungan antioksidan dan vitamin C yang tinggi terdapat dalam lobak putih berfungsi untuk memperbaiki metabolisme tubuh. Kehadiran beberapa kandungan nutrien lain seperti vitamin B, vitamin E, dan potasium turut menyumbang kepada peningkatan sistem kekebalan tubuh.
- Menyihatkan Kulit Wajah
Lobak putih juga kaya dengan kandungan vitamin A seperti lobak merah. Antara kebaikan vitamin A ialah, ia boleh membantu menyihatkan rambut, kuku dan juga mengatasi masalah kulit kering. Bukan itu sahaja, ia juga berfungsi untuk mencegah kedutan pramatang, merawat jerawat, pigmentasi, dan warna kulit yang tidak sekata.
Kandungan vitamin C yang terdapat dalam lobak putih juga membantu penghasilan kolagen dalam badan bagi mengekalkan keanjalan kulit dan melambatkan proses penuaan untuk mengekalkan wajah awet muda.
- Menyelesaikan Masalah Penghadaman
Seperti yang dinyatakan di atas, lobak putih sangat kaya dengan kandungan air dan juga serat. Hampir 30% daripada komposisi lobak putih ialah serat makanan yang sangat bagus untuk penghadaman.
Sekiranya anda menghadapi masalah perut meragam akibat ketidakhadaman makanan, sembelit atau masalah penghadaman yang lain, anda boleh cuba amalkan pengambilan lobak putih dalam pemakanan anda.
Ini kerana serat makanan pada lobak putih boleh membantu gerakan usus menjadi lebih teratur sekaligus meningkatkan kemampuan sistem pencernaan tubuh dan mengatasi masalah berkaitan sistem penghadaman.
Disamping itu, kandungan serat lobak putih juga dapat membantu membuatkan perut kenyang dengan lebih lama. Ini memainkan peranan penting bagi seseorang yang sedang berdiet untuk menurunkan berat badan.
- Membantu Merawat Masalah Batu Karang
Menurut portal MyHEALTH, batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Batu karang terbentuk apabila terdapat kepekatan yang tinggi bahan-bahan tertentu di dalam air kencing yang menyebabkan terbentuknya kristal.
Kebanyakan batu karang yang kurang dari 4mm akan keluar dengan sendiri. Tetapi pesakit akan memerlukan intervensi/rawatan jika batu itu tidak keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan.
Pengambilan lobak putih didapati mampu membantu melarutkan batu karang serta mendorong pelepasan batu karang dalam air kencing.
Kesimpulan
Jelaslah, terdapat banyak khasiat lobak putih yang kita tidak ketahui sebelum ini. Maka tidak hairanlah ia menjadi pilihan lauk untuk sesiapa yang ingin mengamalkan pemakanan yang sihat. Selain sedap, tinggi khasiat pulak tu!
Sumber: https://siraplimau.com/, http://www.myhealth.gov.my/batu-karang/