Dalam Bahasa Arab perkataan “dhuha” bermaksud waktu pagi atau sinar pagi. Solat sunat dhuha ini adalah amalan sunat yang sangat digalakkan dalam Islam.

Keistimewaan solat dhuha boleh ditelusuri di dalam Al-Quran apabila istillah “dhuha” itu sendiri boleh ditemukan dengan jelas pada beberapa tempat dalam surah.

Surah yang dimaksudkan ini adalah surah Thaha:59, AI-A’raf:98, dan An-Nazi’at: 46. Perkataan ‘dhuha’ diertikan sebagai ‘pagi hari’ atau sebagai ‘panas sinar matahari’, di tempat lainnya dalam surah Thaha:119. Istilah dhuha juga mencakupi kedua-dua makna itu sehingga diertikan ‘sinar matahari di pagi hari’ (as-Syams:1). Pada tempat lain (an-Nazi’at :29), kata ‘dhuha’ diertikan sebagai ‘siang yang terang’.

Hukum mengerjakan solat dhuha

Hukum solat dhuha adalah sunat dan amalan yang sangat digalakkan. Namun ia tidak digalakkan secara berjemaah. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud:

“Maksudnya: “Kekasihku (Rasulullah) memberi wasiat (pesanan) kepadaku dengan mengerjakan puasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan sembahyang Dhuha dua raka‘at dan mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur”.(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Waktu mendirikan solat dhuha

Waktu yang disunatkan untuk mengerjakan solat dhuha adalah pada waktu matahari sedang naik kira-kira setinggi tujuh hasta. Ini bertepatan dengan dalil dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

Dari Zaid bin Arqam r.a bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, 

“Sembahyang Awwabin (Dhuha) itu ialah ketika telah hangat cahaya matahari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Merujuk pendapat dari Kitab Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’ menyatakan bahawa cara solat dhuha dilaksanakan bermula dari terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum waktu tergelincir matahari.

Sedangkan waktu terbaik solat ini dilakukan adalah ketika pasir menjadi panas disebabkan waktu itu keadaan matahari sudah mulai terik di langit.

Ringkasnya, ia sekitar 20 hingga 30 minit selepas terbit matahari. Jika di samakan dengan waktu Malaysia, tempoh waktu yang sesuai adalah dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan solat sunat dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi. Namun, jika cuaca berhalangan dan menyukarkan kita untuk menentukan masa, maka lebih baik jika  ikut sahaja pada takwim waktu solat.

Bilangan rakaat

Disarankan oleh Nabi SAW sekurang-kurangnya dhuha dua rakaat dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat. Inilah yang tercatat dalam fiqh mazhab Syafie. Dalam hadis Nabi SAW riwayat Abu Hurairah RA disebutkan yang maksudnya:

“Pernah Nabi  SAW berpesan kepadaku supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan sembahyang dua rakaat Dhuha dan supaya aku witir sebelum tidur.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ bin Abi Thalib RA beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الْفَتْحِ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melaksanakan solat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Cara solat dhuha lengkap niat dan doa

Rukun dalam cara solat dhuha sama sahaja seperti solat-solat fardhu yang lain. Tetapi yang membezakannya adalah niat sahaja dan bilangan rakaat paling sedikit adalah sebanyak dua rakaat.

1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat

2. Membaca niat solat

Usolli sunnata dhuha rak’ataini lillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: Allah Maha Besar

4. Membaca doa iftitah

“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”

Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

5. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

6. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan

Untuk solat dhuha digalakkan untuk membaca surah Ad-Dhuha pada rakaat pertama. Manakala untuk rakaat kedua dan seterusnya terpulang untuk membaca mana-mana surah dalam Al-Quran.

“Wad duha. Wal layli ‘iza saja. Ma wadda ‘aka rabbuka wa ma qala. Wa lal akhiratu khayrul laka minal ‘ula. Wala saawfa yu tika rabbuka fa tarda. Alam yajidka yati man fa ‘awa. Wa wajadaka dallan fahada. Wa wajadaka ‘a illan fa ‘agna. Fa ‘mmmal yati ma fala taqhar. Wa ammas sa ‘illa fala tanhar. Wa amma bi ni mati rabbika fahaddish.”

Maksudnya: ” Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”

7. Rukuk sambil bertakbir

“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.

Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.

8. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini

“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”

Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.

Dalam keadaan ini juga, anda perlu berdiri tegak menghadap kiblat. Manakala kedua-dua belah tangan harus berada di sisi tanpa digerak-gerakkan dengan sengaja.

9. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini

“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”

Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.

Berbeza bagi keadaan yang sebelum tadi, bagi sujud pula kedua-dua tapak tangan harus diletakkan di atas lantai atau pelapik yang digunakan untuk sujud biasanya sejadah. Kedudukannya lebih kurang separas bahu sahaja.

10. Bacaan duduk antara dua sujud

“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “

Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.

11. Sujud kembali sambil bertakbir

12. Berdiri semula sambil bertakbir dan ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua

13. Duduk tahiyat akhir

Maksudnya: Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

14. Memberikan salam

15. Membaca doa-doa pilihan

“Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, Walbahaa’a bahaa uka, Waljamaala jamaaluka, Walquwwata Quwatuka, Walqudrota Qudrotuka, Wal’ismata ‘ismatuka, Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, Wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu, Wa’in kaana mu’assaron fayassirhu, Wa’in kaana harooman fathohhirhu, Wa’inkaana ba’idan faqorribhu, Bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita min ‘ibaadikassolihiin.”

Maksudnya: ” Ya Allah, sesungguhnya Waktu Dhuha itu Dhuha-Mu. Kecantikannya Kecantikan-Mu. Keindahannya Keindahan-Mu. Kekuatannya Kekuatan-Mu. Kekuasaannya Kekuasaan-Mu. Perlindungannya Perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezeki masih di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika sukar, per-Mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu Dhuha. Kecantikan-Mu, keindahan-Mu. Kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu. Limpahkan kepadaku segala. Yang Engkau telah limpahkan. Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Hikmah disyariatkan solat dhuha

Apa sahaja amalan yang disyariatkan kepada umat Islam pastinya membawa kepada manfaatnya yang tersendiri. Antara kelebihan solat dhuha ini bagi kita adalah:

  • Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW
  • Memperoleh keuntungan yang besar di dunia dan akhirat
  • Dibangunkan sebuah syurga di dunia
  • Sebagai sedekah yang tidak disedari
  • Disayangai oleh Allah SWT
  • Mendapat syafaat Rasulullah SAW di akhirat kelak
  • Dicukupkan rezeki setiap hari
  • Urusan menjadi lebih mudah

Kesimpulan

Menjaga dan menunaikan solat fardhu adalah kewajipan setiap umat Islam. Hal ini kerana ia merupakan rukun islam yang perlu dilaksanakan sama ada kita baik, atau jahat, miskin atau kaya, sihat atau sakit, atau sebagainya. Terputuslah segala kewajipan itu apabila kita sudah meninggal dunia.

Namun begitu, jangan dilupakan juga pada amalan-amalan sunat yang disarankan lebih-lebih lagi yang paling digalakkan seperti solat sunat dan sebagainya.

Amalan sunnah inilah yang akan menghidupkan rasa cinta kita pada baginda Rasulullah SAW. Dan seterusnya menampung kecacatatan di mana-mana amalan wajib yang kita laksanakan.

Rujukan

  1. Solat Isyrak dan Solat Dhuha. Jabatan Mufti Negeri Terengganu, dari http://mufti.terengganu.gov.my/index.php/bayan-almunir/persoalan/431-solat-isyrak-dan-solat-dhuha-2
  2. Himpunan 99 Solat Sunat Jom Solat Sunat (cetakan 2014). Jasmin Publication, dari penulis Ibni Muhammad Yusuf
  3. Tujuh Keistimewaan Solat Sunat Dhuha (April 2017). Harakahdaily, dari https://harakahdaily.net/index.php/2017/04/05/tujuh-keistimewaan-solat-sunat-dhuha/

Leave a comment

Your email address will not be published.