Solat adalah tuntutan yang wajib seluruh umat Islam laksanakan. Bahkan ia juga terkandung dalam 5 rukun Islam yang wajib kita ketahui dan jalankan perintahnya. Ibaratnya seperti tabung yang berisi amalan baik, tanpa solat apa jua pahala yang kita lakukan adalah sia-sia.

Hal ini kerana kita tidak mempunyai tabung untuk menyimpan segala amal baik tersebut.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya.”

Artikel pada kali ini, kita akan berkongsi tentang salah satu dari 13 rukun solat yang wajib umat Islam turuti. Jika tertinggal salah satu dari rukun ini, solat yang kita laksanakan tidak lengkap dan tidak sah.

Apakah itu tahiyat akhir?

Tahiyat merupakan rukun ke sepuluh dari rukun-rukun solat. Tahiyat bermaksud ucapan dan doa yang merangkumi pujian kepada Allah SWT dan salam serta diakhiri dengan lafaz syahadah.

Intipati dari tahiyat merangkumi pelbagai aspek dan ia amat lengkap dengan puji-pujian terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, dan Nabi Ibrahim AS.

Syarat-syarat tahiyat

  • Perlu dibaca secara sederhana (tidak terlalu kuat, atau perlahan). Sekadar ia dapat didengari oleh telinga sendiri sahaja
  • Dibaca dan dilafazkan mengikut turutan dalam tasyahud
  • Membaca dalam keadaan duduk dan diikuti dengan salam
  • Dilafazkan dalam bahasa Arab
  • Berikan fokus yang tinggi pada bacaan makhraj-makhraj huruf tasyahud
  • Teliti dengan hukum tajwid untuk mendapatkan bacaan yang terbaik
  • Membaca tasyahud dengan tertib

Bacaan tahiyat akhir

“Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah. Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh. Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin. Asyahadu anlaa illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli’ala saidina Muhammad wa’ala ali saidina Muhammad. Kama sollaita’ala saidina Ibrahim wa’ala ali saidina Ibrahim. Wabarik ‘ala saidina Muhammad wa’ala ali saidina Muhammad. Kama barakta ‘ala saidina Ibrahim wa’ala ali saidina Ibrahim. Fil ‘alamin innaka hamidummajid”

Maksudnya: “Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”

Syarat sah selawat dalam tahiyat

  • Perlu dibaca secara sederhana (tidak terlalu kuat, atau perlahan). Sekadar ia dapat didengari oleh telinga sahaja
  • Haruslah menggunakan lafaz kalimah “Muhammad” atau “Ar-Rasul” atau “An-Nabi
  • Tidak boleh dan tidak sah jika hanya menyebut dengan kalimah “Ahmad” semata-mata
  • Perlu dibaca dalam bahasa Arab sahaja. Namun sekiranya masih tidak mampu untuk dilafazkan dalam bahasa Arab, maka individu tersebut boleh membaca terjemahannya dengan sebarang bahasa. Dalam masa yang sama tetap wajib untuk mempelajarinya dalam bahasa Arab
  • Menjaga makhraj (tempat keluar huruf) dan segala syaddah (sabdu) ketika membacanya. Sekiranya berubah makhraj ataupun tidak mempedulikan syaddahnya, ataupun tersalah menyebut kalimatnya sehingga mengubah makna, batal bacaan tasyahudnya dan wajib mengulangi semula.
  • Membaca dengan tertib dengan mengikut susunan ayat yang sudah diajar Rasulullah SAW

Posisi duduk dalam tahiyat akhir

Secara umumnya, duduk ketika tasyahud ada dua jenis iaitu duduk tawaruk (semasa tahiyat akhir, dan duduk iftirasy (semasa tahiyat awal).

Iftirasy bermaksud duduk dengan meletakkan bahagian punggung di atas kaki kiri manakala tapak kaki kanan perlu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat. Sedangkan tawaruk adalah posisi keadaan di mana tapak kaki kanan berdiri tegak dan jari jemari kaki kanan akan menghadap ke arah kiblat. Pada ketika itu juga, kaki kiri harus dilipat ke arah kaki kanan dan punggung berada di atas lantai atau tanah.

Namun yang demikian, kedua-dua jenis posisi duduk ini adalah sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Di dalam Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (16/270) ada menyatakan beberapa pendapat fuqaha mazhab berkenaan cara duduk ketika tasyahhud. Antaranya seperti:

Pertama: Mazhab Hanafi

Keadaan duduk bagi orang lelaki ketika tasyahhud adalah secara iftirash. Maka bagi orang perempuan pula adalah duduk secara tawarruk. Sama ada duduk tasyahhud awal ataupun tasyahhud akhir.

Kedua: Mazhab Malik

Keadaan duduk ketika tasyahhud akhir adalah secara tawarruk. Mazhab ini juga turut berpandangan bahawa duduk tawarruk itu lebih didahulukan berbanding duduk iftirash.

Ketiga: Mazhab Al-Syafie

Para fuqaha Syafieyyah menjelaskan bahawa tidak ditentukan cara duduk untuk mengatakan bahawa dengannya dianggap sah. Maka cara duduk yang bagaimana pun dianggap sebagai sah. Akan tetapi yang sunnah ketika duduk semasa akhir solat adalah duduk tawarruk, dan duduk yang kedua itu adalah secara iftirash.

Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah : “Bahkan apa cara duduk yang mampu dilakukan adalah sah, sama ada secara tawarruk mahupun iftirash. Tetapi yang menepati sunnah adalah dengan duduk tawarruk pada akhir solat, dan duduk iftirash pada selainnya”. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/429).

Mazhab Syafie berpandangan bahawa di antara duduk tawarruk dan iftirash, terdapat padanya perincian. Iaitu jika ia solat dua rakaat, maka duduk tasyahhud itu adalah secara iftirash. Begitulah juga tasyahhud awal bagi solat-solat tiga dan empat rakaaat. Manakala bagi solat tiga dan empat rakaat, duduk pada tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.

Keempat: Mazhab Hanbali

Golongan Hanabilah berpandangan bahawa keadaan duduk bagi orang lelaki semasa tasyahhud awal adalah secara iftirash, manakala semasa tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.

Berdasarkan apa yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi RA yang bermaksud:

“Bahkan, apa cara duduk yang mampu dilakukan adalah sah, sama ada secara tawaruk mahupun iftirash. Tetapi yang menepati sunnah adalah dengan duduk tawarruk pada akhir solat dan duduk iftirash pada selainnya.” – (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab Al-Nawawi)

Sekiranya kita berada dalam ruangan solat yang sempit sehingga berlaku situasi di mana terduduk di atas kaki jemaah lain ketika solat berjemaah, posisi tasyahud mungkin boleh diringankan sedikit. Namun jika tidak, maka dahulukanlah dengan melakukan posisi sunat ini.

Kelebihan dalam bertahiyat

Beberapa manfaat tasyahud yang perlu kita tahu adalah seperti:

  • Memberikan penghormatan kepada Allah SWT dengan puji-pujian kepada Nya
  • Memberikan penghormatan kepada Rasulullah SAW dengan salam sejahtera kepada baginda
  • Memberikan penghormatan dan kesejahteraan kepada diri dengan ucapan salam
  • Memberikan penghormatan dan kesejahteraan kepada seluruh hamba-hamba Allah SWT yang lain di atas muka bumi ini.

Kesimpulan

Solat bukan sekadar ibadah yang wajib dilakasanakan oleh umat Islam. Bahkan sekiranya solat itu dikaji luar dan dalamnya, maka kita sudah tentu akan dapat melihat banyak kelebihan dan kebaikan disebalik rukun-rukun yang diperintahkan kepada kita.

Rujukan

  1. Al-Kafi #1301: Kenapa Selawat dan Salam Dalam Tahiyyat Akhir Hanya Khusus Kepada Nabi Ibrahim AS dan Ahli Keluarganya. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3507-al-kafi-1301-kenapa-selawat-dan-salam-dalam-tahiyyat-akhir-hanya-khusus-kepada-nabi-ibrahim-as-dan-ahli-keluarganya
  2. Bacaan Tahiyat Akhir: Panduan Dan 7 Syarat Membaca Selawat Dalam Tahiyat. Mimbar Raudah dari, https://mimbarraudhah.com/bacaan-tahiyat-akhir/
  3. Sunnah Posisi Duduk Semasa Tahiyat Awal dan Akhir. Tzkrh dari, https://tzkrh.com/sunnah-posisi-duduk-semasa-tahiyat-awal-dan-akhir/
  4. Al-Kafi #623 : Posisi Duduk Ketika Tasyahud Akhir. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/835-al-kafi-623-posisi-duduk-ketika-tasyahhud-akhir

Leave a comment

Your email address will not be published.