Setiap tahun, hampir setengah juta pesakit di seluruh dunia dimasukkan ke hospital disebabkan masalah batu karang.

Dalam kalangan pesakit di negara kita pula, batu karang berlaku dalam kekerapan sekitar 10% hingga 20%.

Batu ini juga selalunya terbentuk di bahagian atas saluran kencing.

Buah pinggang manusia berfungsi sebagai sebuah penapis.

Organ ini akan membuang segala kekotoran atau bahan buangan badan dalam bentuk urin atau air kencing.

Walau bagaimanapun, jika kita tidak minum air dengan mencukupi, bahan buangan di dalam air kencing ini akan membentuk hablur.

Hablur ini pula akan menjadi semakin besar dan keras.

Saiz batu juga berbeza-beza – Dari sebesar pasir hinggalah sebesar bola golf!

Tanda batu karang

Batu karang yang bersaiz kecil selalunya boleh keluar dengan sendirinya. Malah, ia juga tidak akan menyebabkan sebarang kesakitan.

Walau bagaimanapun, jika batu tersebut tersangkut di saluran ureter (saluran yang menyambungkan antara buah pinggang dan pundi kencing), ia akan menghalang pengaliran air kencing.

Pada waktu ini, pesakit akan mula mengalami simptom seperti:

  1. Sakit yang menusuk pada bahagian sisi dan belakang badan.
  2. Kesakitan yang bertumpu pada bahagian celah kelengkang dan perut.
  3. Rasa sakit yang datang dan pergi (sekejap sakit, sekejap tidak).
  4. Rasa pedih ketika membuang air.

Ada beberapa tanda lain seperti:

  1. Air kencing yang berwarna merah, coklat atau merah jambu.
  2. Air kencing yang keruh dan berbau busuk.
  3. Rasa perlu kencing dengan lebih kerap.
  4. Rasa loya dan muntah-muntah.
  5. Demam dan badan menggigil jika adanya sebarang jangkitan.

Jenis-jenis batu karang

Terdapat 4 jenis batu karang yang berbeza:

  1. Kalsium oksalat. Batu jenis ini terbentuk apabila kalsium bertindak balas dengan oksalat di dalam urin.
  2. Asid urik. Makanan seperti daging organ dan kerang-kerangan mempunyai konsentrasi purines yang tinggi. Pengambilan purines yang tinggi pula akan menghasilkan lebih banyak monosodium urate yang boleh menjadi penyebab pembentukan batu karang.
  3. Struvite. Batu ini selalunya terbentuk disebabkan jangkitan pada bahagian atas saluran kencing.
  4. Cystine. Batu jenis ini jarang terbentuk. Selalunya, ia menandakan penyakit yang berlaku secara turun-temurun atau dalam kalangan ahli keluarga.

Punca dan faktor risiko

Batu karang boleh berlaku kepada semua orang. Walau bagaimanapun, ada beberapa individu yang mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Malah, kaum Adam juga didapati lebih berkemungkinan untuk menghasilkan batu karang berbanding wanita.

Selain itu, anda mungkin lebih berisiko untuk menghidap penyakit batu karang jika:

  1. Anda pernah menghidap penyakit ini
  2. Ahli keluarga mempunyai penyakit yang sama
  3. Anda tidak minum air yang mencukupi
  4. Anda mengamalkan diet yang tinggi protein, garam atau gula
  5. Anda obes atau mempunyai berat badan berlebihan
  6. Pernah melakukan pembedahan gastric bypass atau pembedahan usus yang lain
  7. Menghidap PCOS (polycystic kidney disease)
  8. Anda mempunyai kondisi tertentu yang menyebabkan urin mengandungi bahan kimia tertentu dalam kadar yang tinggi.
  9. Anda mengambil ubat tertentu, seperti diuretik atau antasid.

Cara rawatan

Rawatan untuk batu karang berbeza mengikut saiz dan jenis batu tersebut.

Selain itu, lokasi serta tahap kesakitan yang pesakit alami juga menentukan rawatan yang bakal dicadangkan oleh doktor.

Untuk melakukan diagnosis, doktor akan mengarahkan pesakit untuk melakukan ujian urin, ujian darah, x-ray atau imbasan CT.

Jika batu tersebut bersaiz kecil, doktor akan memberikan ubat tahan sakit.

Selain itu, pesakit juga akan diarahkan untuk minum banyak air untuk menolak batu tersebut keluar melalui saluran kencing.

Walaupun begitu, jika batu tersebut bersaiz besar, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan.

Cegah batu karang

Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko batu karang:

1.  Minum air dengan mencukupi. Untuk mereka yang mempunyai sejarah penyakit ini, pastikan anda minum air sebanyak 2 liter sehari. Namun, untuk negara kita yang beriklim panas, anda perlu minum lebih banyak air untuk menghasilkan lebih banyak urin.

2.  Makan makanan yang rendah oksalat. Elakkan sayur-sayuran dan kekacang yang mengandungi oksalat. Coklat dan teh juga termasuk!

3.  Pilih diet rendah garam dan protein. Elakkan pengambilan makanan yang masin dan mengandungi banyak daging.

4.  Makan makanan yang mengandungi kalsium seperti biasa. Pun begitu, hati-hati ketika mengambil suplemen kalsium kerana ia boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang.

Kesimpulan

Batu karang mempunyai saiz yang berbeza – daripada sebesar pasir sehinggalah sebesar mutiara.

Ia boleh kekal di dalam buah pinggang atau bergerak memasuki ureter dan keluar melalui air kencing.

Walau bagaimanapun, batu ini boleh tersangkut di saluran urinari dan menghalang pengeluaran air kencing. Kondisi inilah yang menyebabkan rasa sakit yang amat sangat.

Kesakitan yang berlaku disebabkan batu karang merupakan sesuatu yang serius.

Oleh sebab itu, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan secepat mungkin, lebih-lebih lagi jika anda mulai mengalami simptom-simptom berkaitan.

Rujukan

  1. American Kidney Fund. 2021. Kidney Stone Causes, Symptoms, Treatments, & Prevention. September 15. Accessed December 7, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/kidney-problems/kidney-stones/#what-are-kidney-stones.
  2. Mayo Clinic. 2021. Kidney stones. May 5. Accessed December 7, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/kidney-stones/diagnosis-treatment/drc-20355759.
  3. National Kidney Foundation. n.d. Kidney Stones. Accessed December 7, 2021. https://www.kidney.org/atoz/content/kidneystones.
  4. NHS. 2019. Kidney stones. April 30. Accessed December 7, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/kidney-stones/.

Leave a comment

Your email address will not be published.