Apa itu Postinor-2, Fungsi & Kesan Sampingannya

Apa itu Postinor-2?

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan contohnya seperti menggunakan kondom, IUCD, suntikan hormon dan pelbagai lagi. 

Sekiranya anda tidak menggunakan kaedah merancang kehamilan yang biasa, namun ‘terbabas’ bersama suami melakukan hubungan kelamin, anda boleh memakan pil perancang kecemasan. 

Pil perancang kecemasan (morning after pil) ini juga dikenali dengan nama Postinor/Postinor-2.

Postinor-2

Fungsi Postinor-2

Postinor-2 adalah kontraseptif kecemasan dan tidak termasuk sebagai kaedah kontraseptif biasa. Ia selalunya digunakan untuk mencegah kehamilan apabila diambil dalam tempoh 72 jam selepas persetubuhan tanpa perlindungan. 

Tahap keberkesanannya akan berkurang seiring waktu berjalan. Semakin lambat anda mengambilnya selepas melakukan hubungan kelamin, maka semakin tinggi risiko untuk anda berpeluang hamil

Perlu diingat, sekiranya anda melakukan seks bebas, pengambilan postinor-2 tidak akan menghalang anda daripada dijangkiti penyakit kelamin. Ia hanya mampu membantu menghalang kehamilan yang tidak diinginkan. 

Sebelum Pengambilan 

Sebelum pengambilan pil perancang ini, doktor atau ahli farmasi perlu memastikan anda tidak hamil. 

Selain itu, anda perlu memaklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya ada mengambil sebarang ubat lain.

Hal ini kerana, jika anda mengambil sebarang ubat lain, termasuk yang dibeli dari pasar raya atau kedai makanan kesihatan, ia berkemungkinan boleh menghalang pil ini daripada berfungsi dengan betul.

Atau, pengambilan Postinor-2 boleh menjejaskan cara ubat lain berfungsi. 

Contohnya seperti:

  • Ubat yang digunakan untuk merawat epilepsi (contohnya, barbiturat, primidon, fenitoin, dan karbamazepin).
  • Ubat yang digunakan untuk merawat tuberkulosis (contohnya, rifampicin, rifabutin).
  • Rawatan untuk jangkitan HIV (ritonavir).
  • Ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan kulat (griseofulvin).
  • Ubat herba yang mengandungi wort St John (Hypericum perforatum)

Disamping, anda juga WAJIB memaklumkan kepada ahli farmasi atau doktor sekiranya mempunyai penyakit yang berisiko. 

Contohnya seperti, tekanan darah tinggi, diabetes mellitus (dengan kerosakan buah pinggang, mata atau saraf, atau penyakit vaskular), penyakit jantung iskemik, stroke, kanser payudara, penyakit hati yang teruk, penyakit saluran gastro-usus anda (seperti penyakit Crohn) dan lain-lain. 

Pihak farmasi atau doktor juga akan menasihatkan anda tentang keperluan untuk menggunakan kaedah penghalang kontraseptif dengan teliti sehingga anda mendapat haid seterusnya.

Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor anda dalam masa tiga minggu, terutamanya jika anda belum datang haid dalam tempoh tersebut. 

Golongan Yang Tidak Boleh Mengambil Pil Postinor-2

  • Ibu mengandung
  • Melakukan hubungan seks tanpa perlindungan lebih daripada 72 jam 
  • Mengalami pendarahan faraj yang tidak diketahui puncanya
  • Menghidap kanser payudara
  • Mempunyai alahan kepada mana-mana kandungan yang terdapat dalam pil

Cara Pengambilan 

Sila ambil satu tablet pil selepas melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan secepat mungkin. Lebih cepat, lebih berkesan. 

Ambil tablet kedua tepat 12 jam selepas tablet pertama.

NOTA: 

  • Memandangkan anda mesti mengambil tablet kedua tepat 12 jam selepas tablet pertama, pastikan anda telah merancang dengan betul  masa anda boleh mengambil tablet kedua (contohnya, bukan pada tengah malam apabila anda mungkin akan tidur). 
  • Sekiranya anda mengalami muntah dalam tempoh 2 jam selepas pengambilan pil, sila kembali ke farmasi, doktor atau klinik kerana tablet mungkin tidak diserap dengan baik dan anda perlu mengambil tablet tambahan.
  • Sekiranya Postinor-2 membuat anda mengantuk atau pening, jangan memandu kereta atau mengendalikan mesin.
  • Tidak boleh menyusukan dalam tempoh tiga hari selepas mengambil Postinor-2.

Kesan Sampingan Postinor-2

  • Letih, loya dan muntah
  • Sakit perut, cirit-birit, pening, sakit kepala, payudara lembut, pendarahan faraj meningkat dan tindak balas kulit (biasanya dialami oleh sesetengah pesakit) 

Sumber: https://www.nps.org.au/medicine-finder/postinor-2-tablets

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161