Enak dan Mudah Disediakan, Ini Khasiat Jagung Untuk Kesihatan
Jagung merupakan sayuran berkanji yang mudah didapati sepanjang tahun. Rasanya yang manis dan mengenyangkan menjadikan jagung sesuai dimasukkan dalam hidangan sup, pencuci mulut dan snek ringkas.
Berada di dalam kategori karbohidrat, jagung sentiasa mendapat reputasi buruk kerana kandungan gula semulajadinya yang dikatakan tinggi.
Namun, jangan pandang rendah pada kebaikan yang mampu ditawarkan oleh jagung pada kesihatan!
Jagung dengan nama saintifiknya Zea mays juga sering diolah menjadi produk makanan lain seperti tortilla, emping jagung, popcorn, minyak jagung dan sebagainya.
Baca Juga : Khasiat Pisang Pada Kesihatan Badan Yang Anda Perlu Tahu
Selain dijadikan hidangan, jagung juga sesuai dimasak dengan pelbagai cara seperti rebus, kukus, bakar dan panggang.
100 gram jagung mentah mampu membekalkan nutrisi yang penting untuk tubuh badan seperti berikut :
Protein : 5.1 gram
Lemak : 0.7 gram
Karbohidrat : 31.5 gram
Serat : 1.3 gram
Kalsium : 6 miligram
Fosforus : 122 miligram
Kalium : 33.6 miligram
Beta karoten : 113 mikrogram
Vitamin B1 : 0.24 miligram
Vitamin B2 : 0.10 miligram
Vitamin : 9 miligram
Khasiat Jagung Untuk Kesihatan
Tidak hanya lazat dimakan, terdapat banyak kebaikan jagung pada kesihatan. Antara manfaat jagung pada kesihatan tubuh badan ialah :
1. Baik Untuk Kesihatan Mata
Jagung diperkaya dengan vitamin B dan vitamin C. vitamin C yang terkandung di dalamnya membantu dalam membaiki sel dalam badan, meningkatkan sistem pertahanan serta bersifat anti-penuaan.
Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya jagung juga kaya dengan khasiat antioksida seperti lutien, zeaxanthin, asid felurat dan beta karoten yang baik untuk membantu tubuh melawan keradangan serta mencegah pelbagai penyakit.
Sebatian antioksida dalam jagung juga dikenalpasti dapat meningkat kesihatan mata dengan menurunkan risiko degenerasi makular dan risiko katarak.
Vitamin B pula baik dalam membantu badan mengolah makanan kepada tenaga.
2. Sumber Karbohidrat Baik Untuk Pesakit Diabetes
Berbanding karbohidrat yang dibekalkan oleh roti dan nasi putih, karbohidrat pada jagung mampu membekalkan tenaga yang lebih stabil dan lama.
Hal ini kerana karbohidrat yang terdapat pada jagung merupakan karbohidrat kompleks.
Di samping itu, jagung juga kaya dengan kebaikan serat dan protein.
Kombinasi tiga nutrisi ini menjadikan jagung sumber karbohidrat yang baik kerana ia dihadamkan secara perlahan dalam perut.
Dengan kadar gula serendah 2 gram dalam setiap 100 gram jagung, sayuran ini juga dikategorikan sebagai makanan dengan nilai glisemik rendah.
Oleh itu, ia sesuai dimakan oleh pesakit diabetes kerana ia tidak menjejaskan bacaan gula dalam darah secara mendadak.
3. Melindungi Kesihatan Jantung
Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan bebanan pada jantung sehingga boleh mengakibatkan penyakit jantung serius jika tidak dibendung.
Tidak hanya baik untuk memantapkan sistem imuniti badan, manfaat antioksida juga dilihat berkesan dalam mengawal tekanan darah tinggi.
Berdasarkan kajian daripada Food Science and Human Wellness, pengambilan jagung adalah disarankan bagi menurunkan risiko penyakit jantung.
4. Mencegah Kanser Usus
Seperti yang dijelas tadi, pengambilan jagung amat baik sebagai karbohidrat kompleks berkhasiat tinggi yang lambat dicernakan.
Kajian terbaru juga mendapati pengambilan jagung dapat merangsang pembiakan bakteria baik dalam usus besar.
Bukan itu sahaja, bakteria yang ada dalam sistem pencernaan juga dapat mengubah jagung yang diambil kepada asid lemak berantai pendek (small-chained fatty acid / SCFA).
SCFA berperanan dalam mencegah risiko gangguan pencernaan termasuklah risiko kanser usus.
Kebaikan jagung untuk sistem pencernaan juga mungkin disebabkan oleh sifatnya sendiri yang bebas gluten.
Ini dapat mengurangkan lagi risiko penyakit berkaitan perut seperti cirit-birit, sembelit dan perut kembung.
Khasiat tinggi yang terkandung dalam jagung menjadikannya sesuai diamalkan sebagai karbohidrat alternatif.
Ia juga dilihat sebagai sumber karbohidrat yang lebih berkhasiat berbanding nasi dan roti kerana lebih tinggi kandungan serat serta protein.
Jagung juga padat dengan mineral dan vitamin yang penting untuk kesihatan tubuh seperti vitamin B, vitamin C, antioksida dan sebagainya.
Bagi memastikan anda dan keluarga mendapat nutrisi lengkap setiap hari, anda tidak boleh bergantung kepada pengambilan jagung sahaja.
Dalam menjaga kesihatan, kita juga perlu seimbangkan pemakanan harian dengan lebihkan pengambilan sumber makanan dari sayur-sayuran dan buah-buahan.
Sumber :
Enak dan Mudah Diolah, Ini 5 Manfaat dari Jagung untuk Kesehatan Tubuh
https://hellosehat.com/nutrisi/fakta-gizi/manfaat-jagung-untuk-kesehatan/