Pernahkah anda dengar mengenai timun jepun? Berbeza dengan timun biasa yang boleh didapati di pasaran, timun ini mempunyai saiz yang lebih kecil dan biji yang sedikit.

Selain itu, timun jepun juga mempunyai kulit yang licin dan berwarna hijau gelap.

Namun, timun jepun mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Teksturnya yang rangup dan rasanya yang kurang pahit membuatkannya berbeza dengan timun yang lain.

Ia juga merupakan sumber vitamin seperti vitamin A, C dan K, serta mineral seperti kalium, mangan, folat, serat dan magnesium.

Orang Jepun selalunya akan menjeruk timun ini dan menghidangkannya bersama sup dan nasi.

Mereka juga percaya bahawa timun ini membawa 1001 kebaikan dan amat popular pada musim panas di Jepun.

Sebenarnya, timun mempunyai ‘rahsia’ yang tersendiri sehingga ia digemari oleh penduduk Jepun. 

Nak tahu keistimewaannya? Jom ikuti kupasan kami di bawah:

Kelebihan timun jepun kepada kesihatan

Tahukah anda, timun merupakan sejenis buah dan bukannya sayur?

Timun sebenarnya tergolong dalam kumpulan yang sama dengan tembikai. Oleh sebab itu, ia mengandungi banyak air dan boleh mengelakkan dehidrasi.

Selain itu, ada banyak lagi kelebihan dan khasiat timun terhadap kesihatan kita:

1. Dapat membantu mengekalkan berat badan ideal

Untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan, cuba tambahkan timun jepun dalam diet setiap hari.

Disebabkan kandungan airnya yang banyak, timun amat mengenyangkan walaupun ia mempunyai kalori yang sedikit.

Oleh sebab itu, mereka yang memakan timun sebagai snek sukar untuk rasa lapar.

Jadi, mereka boleh mengurangkan pengambilan makanan tidak berkhasiat seperti snek ringan dan makanan segera.

2. Timun Jepun mengandungi antioksidan yang tinggi

Semua buah-buahan dan sayur-sayuran termasuklah timun jepun mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi.

Antioksidan dapat melindungi sel badan daripada bahan yang dikenali sebagai radikal bebas. Dalam masa yang sama, ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit yang kronik.

Timun juga mempunyai gabungan antioksidan yang unik seperti flavonoid, lignans dan triterpenes

Lignans merupakan sejenis polifenol yang amat bermanfaat dalam menentang kanser yang berkaitan dengan hormon estrogen.

Kesemua antioksidan ini bukan sahaja bertindak melindungi sel, tetapi ia juga boleh mengurangkan inflamasi yang boleh menyebabkan penyakit seperti arthritis.

3. Mampu mengurangkan kadar gula dan tekanan darah

Menurut kajian, pengambilan timun jepun boleh mengurangkan kadar gula dalam darah dan mengurangkan komplikasi diabetes.

Pada masa yang sama, timun juga didapati boleh mengurangkan tekanan darah seseorang.

Tekanan darah tinggi, atau hipertensi, boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami serangan jantung, strok atau aneurisme.

Walau bagaimanapun, timun jepun bukanlah jawapan untuk menyelesaikan masalah tekanan darah tinggi ataupun diabetes. 

Jika anda menghidap tekanan darah tinggi, pastikan anda mengelakkan tabiat yang tidak sihat seperti merokok dan diet yang tidak sihat.

4. Timun Jepun dapat membantu sistem pencernaan

Timun jepun mengandungi banyak serat yang dapat memudahkan pembuangan air besar.

Untuk pengetahuan anda, dehidrasi merupakan punca utama sembelit. Namun, pemakanan yang tidak sihat juga boleh menyumbang kepada masalah pencernaan.

Disebabkan timun mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi, ia boleh mengelakkan sembelit dan membantu mengawal kondisi seperti diabetes dan tekanan darah tinggi dalam masa yang sama.

Sebenarnya, ada sebab mengapa orang Jepun suka makan jeruk timun. Kombinasi rempah, garam dan cuka yang digunakan untuk menjeruk timun ini amat baik untuk kesihatan perut.

Jeruk timun mengandungi bakteria baik atau probiotik yang dapat melindungi badan daripada bakteria, mencerna makanan dengan lebih baik dan mengawal kegelisahan. Bagus bukan!

5. Baik untuk kesihatan jantung

Timun amat baik untuk kesihatan jantung. Kandungan antioksidannya boleh memperlahankan atau menghentikan penyakit yang berkaitan dengan jantung.

Bukan itu sahaja, biji timun juga mengandungi khasiatnya yang tersendiri! Biji timun mempunyai nutrisi yang dapat memperbaiki tahap kolesterol dalam darah anda.

Jadi, selepas ini pilihlah timun yang biasa dan bukannya daripada jenis seedless untuk lebih khasiat.

6. Makan timun jepun untuk tulang yang lebih kuat

Kalsium bukanlah satu-satunya nutrien yang boleh membuatkan tulang anda menjadi lebih kuat.

Sebenarnya, vitamin K juga mempunyai efek yang sama dan timun mengandungi vitamin K yang tinggi.

Menurut jurnal PLos Medicine, wanita yang sudah mengalami menopaus dan mengambil 5 mg suplemen vitamin K setiap hari mempunyai 50% risiko yang lebih rendah untuk mengalami keretakan tulang.

Walau bagaimanapun, pastikan anda bercakap dengan doktor sebelum mengambil suplemen vitamin K. Ia mungkin tidak sesuai diambil oleh individu yang mengambil ubat tertentu.

7. Bahan yang versatil dan mudah dimasak

Siapa yang tidak sukakan timun? Dengan rasanya yang neutral dan menyegarkan, ia boleh menjadi penyeri kepada mana-mana masakan.

Untuk opsyen yang lebih sihat, cuba tambahkan timun ke dalam semangkuk salad. Letakkan juga minyak zaitun atau sos salad untuk perisa yang lebih ummph!

Kesimpulan

Tidak dinafikan, timun merupakan sejenis makanan yang sihat dan berkhasiat.

Walau bagaimanapun, makan timun sahaja tidak cukup untuk mengelakkan penyakit. Pada masa yang sama, kita juga haruslah mengamalkan gaya hidup dan diet yang sihat.

Namun, jika anda sedang mencari alternatif baharu untuk digunakan dalam masakan, cubalah timun jepun! Ia kurang pahit dan tidak mempunyai banyak biji. Pasti anda dan keluarga akan sukakannya.

Rujukan

  1. https://www.medicalnewstoday.com/articles/283006#nutrition
  2. https://www.webmd.com/diet/ss/slideshow-why-cucumbers-are-good-for-you
  3. https://www.growertalks.com/Article/?articleid=16848
  4. https://www.healthline.com/nutrition/7-health-benefits-of-cucumber#TOC_TITLE_HDR_8
  5. https://www.womenshealthmag.com/food/a28351053/health-benefits-of-cucumbers/

Leave a comment

Your email address will not be published.