Taubat bermaksud kembali taat semula kepada Allah SWT setelah menyesali perbuatan yang melanggar perintah dan larangan Nya.

Solat sunat taubat adalah amalan yang sunat dilakukan oleh setiap muslim. Walaupun namanya dipanggil sebagai solat taubat tetapi tidak semestinya apabila seseorang itu melakukan dosa baru dia perlu bertaubat kepada Allah SWT.

Senang kata, taubat ini perlu dilakukan setiap hari kepada Allah SWT.

Fitrah sebagai seorang manusia yang lemah, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan, khilaf, kesalahan, dan dosa sama ada kepada Allah SWT atau sesama manusia sendiri.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

Hukum mengerjakan solat taubat

Hukum melaksanakan solat taubat adalah sunat. Manakala hukum bertaubat dari kesalahan-kesalahan yang kita lakukan sama ada kecil atau besar adalah wajib.

Ini jelas dalam Surah Al-Nur, ayat 31) yang bermaksud:

“dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Malah, perbuatan untuk menyegerakan taubat juga amat digalakkan dalam Islam kerana kehidupan manusia itu tidak kekal abadi di dunia. Suatu saat dia pasti akan meninggal dunia dan dipertanggungjawabkan segala amal perbuatannya di dunia. Seruan untuk menyegerakan taubat ini bertujuan untuk manusia sentiasa bersiap sedia dalam kehidupan untuk kembali kepada Allah SWT dalam keadaan yang mulia.

Syeikh Muhammad bin Umar An-Nawawi ada berkata:

Maksudnya: “Dan setengah daripada solat-solat sunat itu ialah solat taubat dan aitu dua rakaat sebelum bertaubat dan berniat ia dengan dua rakaat itu dengan niat bertaubat. Dan sah kedua rakaat itu selepas dari bertaubat. Dan bertaubat itu wajib dengan bersegera sekali pun dari dosa yang kecil. Dan melambatkan taubat itu mewajibkan bertaubat pula darinya dan tidak dikira melambatkan taubat dengan melakukan dua rakaat solat taubat dari kerana bahawasanya ia adalah dari jalan kepada taubat. Dan sungguhnya taubat yang sah itu memadamkan bagi segala dosa sekali pun dosa besar.” – (Kitab Nihayah Zain)

Waktu mendirikan solat taubat

Solat taubat boleh didirikan pada bila-bila masa sahaja sama ada siang atau malam tetapi lebih afdal pada waktu tengah malam. Lebih tepat pada sebelah malam sewaktu Qiamullai, atau 2/3 malam.

Suasana hening pada malam hari, sunyi dan sepi dari gangguan orang akan menjadikan seseorang itu lebih khusyuk dengan ibadah yang dilakukannya.

Bilangan rakaat

Solat taubat didirikan sama ada dua rakaat, empat atau enam rakaat. Tidak ada bilangan rakaat yang khusus ditetapkan oleh mana-mana hadis atau potongan ayat dalam Al-Quran.

Cara solat sunat taubat lengkap niat dan doa

Rukun dalam cara solat sunat taubat sama sahaja seperti solat-solat fardhu yang lain. Tetapi yang membezakannya adalah niat sahaja dan bilangan rakaat paling sedikit adalah sebanyak dua rakaat.

1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat

2. Membaca niat solat

Usolli sunnata taubati rak’ataini lillahi ta’ala

Maksudnya: ‘Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: “Allah Maha Besar.”

4. Membaca doa iftitah

Doa iftitah bukanlah rukun solat tetapi ia sunat dibaca.

“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”

Maksudnya: “Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.”

5. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

“Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin”

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

6. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan

7. Rukuk sambil bertakbir

“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.”

Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.

8. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini

“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”

Maksudnya: “Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.”

Dalam keadaan ini juga, anda perlu berdiri tegak menghadap kiblat. Manakala kedua-dua belah tangan harus berada di sisi tanpa digerak-gerakkan dengan sengaja.

9. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini

“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.”

Berbeza bagi keadaan yang sebelum tadi, bagi sujud pula kedua-dua tapak tangan harus diletakkan di atas lantai atau pelapik yang digunakan untuk sujud biasanya sejadah. Kedudukannya lebih kurang separas bahu sahaja.

10. Bacaan duduk antara dua sujud

“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.”

11. Sujud kembali sambil bertakbir

12. Berdiri semula sambil bertakbir dan ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua

13. Bacaan doa dalam sujud terakhir

“Laa ilaaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”

14. Duduk tahiyat akhir

Maksudnya: “Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”

15. Memberikan salam

16. Banyakkan berzikir dan beristighfar

  • Bacalah istighfar sebanyak 10/100 kali (AstaghfirulLaahil ‘Aziym, alladziy laa ila-ha illaa huwal haiyul qoiyuum waatuubu ilaih)
  • Baca istighfar tauhid sebanyak 10/100 kali (AstaghfirulLaahil ‘Aziym, allazii laa ilaha illaa huwal haiyul qoiyuum waatuubu ilaih. Taubata ‘ab-di zhoolimi laa yamliku linafsihi dhorraa, walaa naf‘an walaa mautan walaa hayaatan walaa nusyuu- aa)
  • Baca penghulu istighfar sebanyak 3 kali (Allaa Humma anta rabbi Laa ilaha illaa anta kholaqtani waanaa ‘abduka waanaa ‘alaa ‘ahdika wawa’dika mastath0′tu, a‘uudzubika min syarrimaa shana’tu, abuu ulaka bini’matika ‘alayya waa buu bidzanbi faghfirlii, fainnahu laa yaghfirudz dzunuuba illaa anta)
  • Baca apa-apa doa pengampunan

Doa solat taubat

Untuk bacaan doa pilihan, sebenarnya tiada anjuran khusus yang mewajibkan ia dibaca. Doa taubat lebih baik dibaca sendiri mengikut luahan hati untuk memohon ampun dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Namun begitu, terdapat juga doa taubat yang sering dibaca seperti:

Doa 1

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar. Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar dariapda sisiMu. Sesungguhnya Enkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

Doa 2

Bagaimana jika seseorang itu bertaubat berulang-ulang kali?

Konsep taubat dalam Islam adalah menyesali segala perbuatan salah atau dosa yang dilakukan, lalu kembali semula mentaati perintah dan suruhan Allah SWT.

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya:”Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.” – (Surah Hud, ayat 3)

Lalu bagaimana pula dengan keadaan di mana seseorang itu telah bertaubat tetapi dia kembali melakukan dosa yang sama berulang-ulang kali. Kemudian apabila dia tersedar, barulah dia bertaubat sekali lagi. Adakah sah taubatnya selama ini?

Dalam sebuah hadis yang driwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Imam Al-Nawawi menjelaskan dengan lebih terperinci tentang hadis ini dalam Syarh al-Nawawi ‘al Sahih Muslim iaitu:

“Hadis ini jelas pada sisi dalalahnya, bahawa walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima dan gugur dosanya. Meskipun dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah.”

Walaupun begitu, taubat yang dilaksanakan perlu sepenuh hati memohon ampun dan menyesal dengan perbuatan dosa yang dilakukan. Bukannya seperti acuh tidak acuh sahaja. Kalimah istighfar yang dilafaz berulang kali dalam solat taubat tersebut mesti juga diyakini dalam hati bukan hanya dari mulut sahaja. Apabila seseorang itu mempunyai keyakinan pada hatinya, maka dia akan terhindar dari rasa ingin kembali melakukan maksiat.

Kesimpulan

Setiap manusia tidak akan pernah lari dari melakukan dosa. Bahkan Nabi dan Rasul yang maksum dan merupakan kekasih Allah SWT pun masih melaksanakan Solat Sunat Taubat kerana keyakinannya pada sifat Allah SWT yang Maha Agung dan Maha Pengampun.

Oleh itu dimana pula kedudukan kita yang jauh lebih rendah berbanding seorang Nabi? Kita hanyalah sekadar seorang hamba Allah yang lemah dan sering tersasar dalam kehidupan. Kerana itu dianjurkan untuk melazimi solat taubat agar diri kita sentiasa beringat akan dosa-dosa yang banyak dilakukan itu.

Berkata Sheikh Zaid Al-Madkhali RA yang bermaksud:

“Taubat adalah nikmat yang Allah berikan kepada seorang hamba sehingga dia mahu untuk bertaubat. Oleh kerana itu, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan Allah akan ganti dengan kebaikan-kebaikan. Sesunggungnya Allah SWT Maha luas ampunan Nya.” – (Al-Ta ‘liqat al-Lathifa, halaman 81)

Rujukan

  1. Irsyad Al-Fatwa #251: Taubat Berulang-Ulang Kali (Oktober, 2019). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dari https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2663-irsyad-al-fatwa-251-taubat-berulang-ulang-kali
  2. Pintu Taubat Allah SWT Terbentang Luas (Disember, 2015). Berita Harian, dari https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/12/103957/pintu-taubat-allah-swt-terbentang-luas
  3. Tuntunan Bertaubat kepada Allah SWT. Penulis, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, dari https://luk.staff.ugm.ac.id/kmi/islam/Qardhawi/Taubat/Pokok1.html

Leave a comment

Your email address will not be published.