7 Khasiat Tomato Untuk Badan

Tomato merupakan antara buah yang sangat terkenal di pasaran. Khasiat tomato yang pelbagai menjadikannya antara makanan sihat yang menjadi pilihan ramai. Di samping itu, makanan juga rasa tidak lengkap tanpa rasa asidik atau masam yang dibekalkan oleh tomato.

Tetapi, tahukah anda tomato pernah menjadi makanan yang beracun? Tomato tergolong dalam kategori nightshade yang sangat toksik untuk kesihatan.

Kebanyakan tumbuhan yang berada dalam kategori ini mempunyai sejenis alkaloid yang dikenali sebagai solanine. Pengambilan solanine yang terlalu tinggi boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

Pada zaman sekarang, tomato bukan lagi sejenis tumbuhan yang beracun. Malah, ia mengandungi pelbagai vitamin dan nutrien yang sangat penting untuk badan.

7 Khasiat tomato untuk kesihatan

Buah tomato merupakan antara makanan yang terkenal dengan manfaatnya terhadap kesihatan. Ada banyak jenis tomato yang dijual di pasaran, antaranya ialah tomato biasa, tomato ceri, puri tomato dan juga jus.

Malah, khasiatnya juga berbeza! Menurut Healthline, tomato ceri mempunyai kandungan beta karotena yang lebih tinggi daripada tomato biasa.

Pengambilan tomato sering dikaitkan dengan kesihatan kulit dan jantung. Tambah lagi, kajian menunjukkan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran dapat mengurangkan risiko obesiti. Jika anda ingin kurus, buah tomatolah yang paling sesuai!

Selain itu, ada banyak lagi khasiat tomato yang anda perlu ketahui:

1. Tomato merupakan sumber vitamin yang bagus

khasiat tomato

Sebiji tomato mengandungi 40% daripada rekomendasi vitamin C harian.

Bukan itu sahaja, tomato juga mengandungi vitamin A yang baik untuk daya tahan badan, kesihatan mata dan juga kulit; vitamin K untuk kesihatan tulang; dan potassium, nutrisi yang sangat penting untuk kesihatan jantung.

2. Melindungi jantung antara khasiat tomato

Tomato mengandungi sejenis antioksidan yang dikenali sebagai likopena. Antioksidan inilah yang memberikan warna merah pada buah tomato!

Kajian menunjukkan, makan tomato segar lebih bermanfaat daripada pengambilan suplemen likopena. Malah, kajian lain juga telah membuktikan bahawa individu dengan tahap likopena yang tinggi dalam darah kurang berisiko menghidap penyakit metabolik.

3. Dapat meningkatkan kesihatan mata

khasiat tomato

Likopena juga baik untuk kesihatan mata. Namun, ini bukanlah satu-satunya nutrisi dalam tomato yang baik untuk deria penglihatan kita.

Buah tomato juga mengandungi lutein dan beta-karotena yang dapat melindungi mata daripada penyakit seperti katarak dan degenerasi makula.

4. Baik untuk sistem pencernaan

Selain itu, antara khasiat tomato yang mungkin ramai tidak tahu ialah kebaikannya untuk sistem pencernaan. Menurut USDA, sebiji tomato mengandugi 1.5 gram serat yang sangat baik untuk mereka yang mempunyai masalah sembelit.

Walau bagaimanapun, buah tomato mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Rasanya yang masam dan berasid boleh menyebabkan masalah ketidakhadaman dan pedih ulu hati menjadi semakin teruk.

5. Dapat mengawal diabetes

khasiat tomato

Tomato juga sangat berkhasiat untuk penghidap diabetes jenis 2.

Dalam sebuah kajian, penghidap diabetes yang makan tomato selama 30 hari berturut-turut mengalami penurunan kadar lemak yang tinggi.

Hal ini sangat penting kerana kencing manis dapat meningkatkan risiko strok dan serangan jantung sebanyak 2 kali ganda!

6. Khasiat tomato untuk kulit

Menurut sebuah kajian pada tahun 2011, pengambilan tomato bersama-sama minyak zaitun dapat meningkatkan penghasilan kolagen, sejenis molekul yang memastikan kulit tampak lebih cantik, tegang dan sihat. Semuanya disebabkan kandungan likopenanya yang tinggi!

Bagi mereka yang ingin mengambil tomato untuk kesihatan kulit, pastikan anda makan tomato yang telah dimasak.

Kandungan likopena dalam tomato paling tinggi setelah dimasak. Dengan penambahan minyak zaitun, penyerapan likopena ke dalam darah dapat ditingkatkan.

7. Melindungi anda daripada kanser

Kajian menunjukkan, pengambilan tomato dapat melindungi anda daripada beberapa jenis kanser, terutamanya kanser prostat, paru-paru dan perut.

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan, tomato merupakan makanan yang sangat berkhasiat untuk badan. Tetapi ingat, jangan sesekali makan tomato tanpa kulit kerana disitulah letakknya kebanyakan vitamin dan nutrisi yang terkandung dalam tomato.

Tomato ceri juga sangat baik untuk kesihatan. Ia boleh dijadikan snek sihat disebabkan saiznya yang kecil. Kalau boleh, elakkan makan tomato dengan perut kosong. Sebaiknya, tambah tomato pada salad atau buat jus untuk dapatkan nutrisi sepenuhnya.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: