5 Pilihan Air Detox Terbaik Untuk Mereka Yang Ingin Kurus!

Air detox ialah air kosong yang digabungkan dengan pelbagai jenis buah-buahan seperti beri, lemon, halia dan banyak lagi.

Air ini dikatakan boleh membantu badan untuk ‘detox’ supaya anda dapat rasa lebih bertenaga untuk bekerja.

Menurut Healthline, air detox juga bagus untuk kesihatan usus anda. Malah, anda juga boleh pilih buah-buahan yang anda suka dan hasilkan air detox anda sendiri!

Tetapi, apa beza antara air detox dan jus biasa? Air detox dibuat dengan menyeduh (infuse) segala perasa dari buah-buahan yang dipilih.

Oleh sebab itu, kebanyakkan air ini tidak mengandungi sebarang kalori, sesuai untuk mereka yang ingin berdiet.

5 resepi air detox untuk pemula

detox water

Seperti yang dijelaskan di atas, air detox amat sesuai diambil oleh mereka yang sedang berdiet.

Malah, individu yang tidak suka minum air kosong juga boleh cuba mengambil air detox sebagai ganti air manis yang diambil selama ini.

Air kosong sangat penting untuk kesihatan kita. Ia membantu proses pencernaan, meningkatkan peredaran darah, mengurangkan sembelit, membuatkan kita rasa kenyang dalam tempoh yang lama dan meningkatkan tenaga badan.

Waktu yang paling sesuai untuk minum air lemon ialah waktu pagi.

Pada waktu inilah, sistem pencernaan anda paling memerlukan ‘bantuan’. Jadi, jika anda ingin pergi kerja dengan perut yang aman dan damai, cubalah ambil air detox dahulu!

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk beralih ke pilihan yang lebih sihat?

Jika ya, jom lihat resepi air detox yang kami sediakan di bawah. Mudah dan cepat!

1. Air detox lemon

Bagi pemula, air detox lemon merupakan antara yang paling cepat dan mudah untuk disediakan. Namun, anda mungkin perlukan banyak buah lemon untuk menghasilkan air ini.

Sebelum bermula, pastikan anda menggunakan sekurang-kurangnya 3-4 potong lemon.

Disebabkan kandungan polifenol dan antioksidan yang tinggi, gabungan lemon dan air dapat menyokong penurunan berat badan.

Malah, minum lebih banyak air juga boleh membuatkan anda rasa lebih kenyang.

Lemon merupakan buah yang kaya dengan vitamin C, sama jugalah dengan buah-buahan sitrus yang lain. Ia juga dapat membantu memantapkan lagi sistem pencernaan dan mengelakkan sembelit.

2. Air detox lemon dan halia

Buah lemon dan halia sudah lama menjadi antara bahan utama dalam penghasilan air detox. Resepinya mudah sahaja. Cuma masukkan 2 inci halia, beberapa potong lemon dan juga secubit garam.

Untuk lebih ‘ummph’, anda juga boleh tambah daun mint untuk menambah kesegaran. Biarkan air seduhan ini sejuk dalam peti ais selama 4-5 jam.

Air ini dapat mengurangkan masalah kembung perut, sakit tekak, ketidakhadaman dan meningkatkan daya tahan badan.

Bahan utama dalam minuman ini ialah halia yang sudah lama digunakan dalam perubatan tradisional secara turun-temurun.

Bagi mereka yang mempunyai masalah perut kembung, halia mungkin dapat mengurangkan simptom yang dialami.

3. Air campuran halia, madu dan timun

detox water

Selain resepi air detox di atas, anda juga boleh campurkan madu, halia dan timun. Madu akan buatkan air rasa manis dan mengurangkan ‘panas’ dari halia.

Tetapi, bagaimana untuk menyediakannya?

Hiris nipis timun dan halia. Kemudian, tambahkan daun pudina serta hirisan halia dan timun ini ke dalam air. Masukkan beberapa sudu madu dan biarkan ia selama satu jam di dalam peti ais.

4. Air buah tembikai dan aloe vera

Jika anda bosan dengan air lemon, anda boleh cuba campuran air tembikai dan alor vera.

Buah tembikai kaya dengan pelagai vitamin dan mineral yang baik untuk kulit, mata dan kesihatan kita secara am. Ia juga boleh membawa impak yang positif terhadap sistem pencernaan dan kardiovaskular anda!

Sediakan satu bekas air. Kemudian, masukkan beberapa potongan buah tembikai dan jus aloe vera. Masukkan dalam peti ais dan minum selepas beberapa jam.

5. Air berry

detox water

Gabungan pelbagai jenis beri seperti strawberry, beri hitam dan beri biru kaya dengan pelbagai vitamin, antioksidan dan serat.

Bagi mereka yang sukakan rasa yang lebih sedap, anda boleh cuba air seduhan beri kerana ia manis secara semula jadi dan dapat meningkatkan imuniti badan.

Mula-mula, potong beberapa biji strawberry. Kemudian, tambah segenggam beri biru dan beri hitam ke dalam air kosong dan biarkan ia di dalam peti ais semalaman.

Buah beri merupakan antioksidan semula jadi yang dapat melawan kerosakan sel. Beri hitam pula kaya dengan kolagen yang baik untuk kulit.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: