Apa Itu Kalori? Ketahui Keperluan Kalori Dan Cara Untuk Membakarnya Dengan Pantas
Apa itu kalori dan mengapa kita perlukannya dalam kehidupan seharian? Tahukah anda, dengan pengetahuan terhadap kalori, anda boleh melakukan pilihan yang bijak terutamanya dari segi pemakanan?
Kalori merupakan unit tenaga yang terkandung dalam setiap makanan dan minuman.
Selalunya, makanan yang telah dibungkus mempunyai informasi mengenai kandungan kalori di belakang pek pembungkusnya. Oleh sebab itu, anda boleh lakukan anggaran mengenai jumlah kalori yang dimakan setiap hari.
Namun, untuk makanan seperti nasi, ayam, daging, ikan dan sayuran, mungkin lebih sukar untuk kita anggarkan jumlah kandungan kalorinya.
Walaupun begitu, ada banyak aplikasi, kalkulator atau tools yang kita boleh gunakan untuk menganggar jumlah kalori yang terkandung dalam makanan ini.
Malah, aplikasi yang sama juga boleh memberikan anggaran mengenai jumlah kalori yang dibakar setiap hari apabila anda melakukan aktiviti tertentu.
Keperluan kalori juga berbeza mengikut umur, jantina dan juga kekerapan melakukan aktiviti fizikal. Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai apa itu kalori, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
Apa itu kalori?
Apa itu kalori? Terma kalori merupakan nama pendek bagi kilokalori. Selalunya, anda boleh rujuk berapa banyak kandungan kalori makanan pada pek pembungkus dalam bentuk kilojoule atau KJ. 4.2 KJ bersamaan 1 kilokalori.
Selalunya, makanan yang berlemak, bergoreng atau diproses mempunyai kandungan kalori yang lebih banyak. Manakala, makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran pula mengandungi kurang kalori.
Namun, bukan semua makanan yang rendah kalori baik untuk kesihatan. Sebagai contoh, diet soda mempunyai kandungan kalori yang sangat rendah. Tetapi, ia tidak mengandungi sebarang nutrisi yang bermanfaat untuk kesihatan badan.
Dengan mengetahui apa itu kalori, anda dapat menganggarkan keperluan kalori harian dan juga berapa banyak kalori yang perlu anda bakar jika anda ingin menguruskan badan.
Perbezaan keperluan kalori antara lelaki dan perempuan
Kaum Adam memerlukan lebih banyak kalori berbanding wanita. Lelaki selalunya mempunyai peratusan otot yang lebih banyak, jadi mereka akan membakar lebih banyak kalori sepanjang hari.
Selain itu, pekerjaan juga mempengaruhi keperluan kalori individu. Contohnya, mereka yang perlu keluar atau melakukan berat seperti buruh, peladang dan sebagainya memerlukan lebih banyak kalori berbanding kerja sedentari.
Berapa banyak kalori yang perlu diambil setiap hari?
Menurut NHS, jumlah kalori yang perlu diambil oleh lelaki ialah sekitar 2200 ke 3200 kalori sehari. Bagi wanita, keperluan kalori mereka pula adalah lebih rendah, sekitar 1600 – 2400 kalori sehari.
Jika anda berumur atau mempunyai kerja yang sedentari, keperluan kalori anda lebih sedikit berbanding individu yang masih muda, aktif, hamil atau sedang menyusukan anak.
Tip membakar calorie dengan lebih efektif
- Jangan lupa sarapan. Sarapan yang kaya dengan protein dan lemak sihat dapat membantu anda rasa kenyang dengan lebih lama.
- Makan pada masanya. Tabiat baik ini dapat membantu anda membakar kalori dengan lebih efektif. Malah, anda juga tidak akan mengambil terlalu banyak snek di antara waktu makan.
- Tambah buah dan sayur. Kedua-dua makanan ini bukan sahaja sedap, malah ia kaya dengan nutrisi tetapi rendah kalori dan lemak.
- Bersenam. Dengan senaman, anda dapat membakar lebihan kalori. Bukan itu sahaja, senaman juga boleh membuatkan anda rasa lebih gembira!
- Minum air. Air kosong tidak mengandungi sebarang kalori. Jadi, ia tidak akan membuatkan anda gemuk!
- Makan lebih banyak serat. Serat dapat ditemui di dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Ia boleh membuatkan anda rasa lebih kenyang dan memastikan sistem pencernaan anda kekal sihat.
- Makan secara perlahan-lahan. Jangan kunyah terlalu cepat. Ini boleh buatkan anda rasa lebih kenyang.
- Dapatkan tidur yang mencukupi. Tidur yang tidak cukup mempengaruhi metabolisme badan dan boleh menyebabkan kenaikan berat.
- Elakkan makan 2 jam sebelum tidur. Jangan makan 2 jam sebelum tidur kerana ia boleh mengganggu kualiti tidur anda. Malah, mereka yang tidak cukup tidur juga selalunya mempunyai masalah berat badan.
- Anda bukannya tidak boleh makan semua benda! Sebenarnya, tidak ada masalah jika anda ingin makan makanan segera sekali sekala. Namun, jangan lupa, ambil dalam jumlah yang kecil dan elakkan makan secara keterlaluan.