Buah bidara atau juga dikenali sebagai Ziziphus mauritiana (nama saintifiknya), adalah merupakan sejenis tumbuhan yang terkenal digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit sejak bertahun-tahun lamanya. 

Pokok bidara mampu mempunyai ketinggian sehingga 15 meter. Manakala, buah bidara pula berbentuk bulat, berkulit halus dan mempunyai permukaan kulit buah yang licin.

Kulit buah bidara berwarna hijau pada mulanya, lalu bertukar ke kuning kejinggaan dan kemerahan setelah masak. Isinya pula berwarna putih dan mempunyai rasa masam manis.

Terkenal digunakan dalam perubatan tradisional, khasiat buah bidara untuk kesihatan tubuh badan tidak diragukan lagi. Mari baca khasiat-khasiat buah bidara yang telah disenaraikan dibawah. 

Khasiat Buah Bidara

  1. Digunakan Untuk Rawatan Kanser

Terdapat kajian yang mendapati bahawa ekstrak buah bidara dapat menghalang perkembangan sel kanser kerana ia mampu memberikan kesan anti proliferatif. Hal ini kerana, buah bidara mengandungi asid tripernik yang bersifat anti kanser. 

Bahkan, ia juga turut digunakan dalam perubatan tradisional negara China sebagai rawatan untuk penyakit kanser.

  1. Mencegah Pengumpulan Lemak & Adipogenesis

Ekstrak buah bidara didapati mampu membantu mencegah proses pengumpulan lemak sekaligus mencegah adipogenesis. 

Adipogenesis adalah proses penghasilan sel lemak dari sel stem. Proses ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dan antaranya pengambilan kalori dan tenaga yang berlebihan.

  1. Meningkatkan Sistem Imun Tubuh

Terdapat komponen dalam ekstrak buah bidara yang meransang pembahagian makrofaj, iaitu sejenis sel yang terlibat di dalam melindungi tubuh badan daripada serangan organisma yang berbahaya.

Dengan itu, pengambilan buah bidara dapat membantu menghalang tubuh terkena penyakit dengan meningkatkan perlindungan kepada tubuh melalui sistem imunisasi. 

  1. Bersifat Anti-Radang 

Mengandungi komponen asid triperpena, buah bidara dipercayai mempunyai sifat anti-radang yang membantu melegakan keradangan dan inflamasi pada sel tubuh.

Jadi, sekiranya tubuh anda mengalami keradangan atau inflamasi, anda boleh cuba mengambil ekstrak  buah bidara sebagai ikhtiar penyembuhan. 

  1.  Kaya Dengan Antioksida

Buah bidara juga kaya dengan kandungan antioksida seperti flavonoid, polisakarida dan asid triterpenat. Ia juga turut mengandungi vitamin C. 

Antioksida adalah bahan yang mengurangkan, meneutralkan serta melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas dan ia juga boleh dianggap sebagai barisan pertahanan terhadap risiko mendapat sesetengah penyakit.

Radikal bebas adalah hasil sampingan yang sangat reaktif yang terhasil daripada proses kimia yang berlaku dalam badan. Bahan ini boleh memudaratkan serta merosakkan sel dan tisu badan. Ia juga dianggap sebagai penyebab kanser, penyakit jantung dan lain-lain penyakit. 

Tambahan pula, kandungan antioksida yang tinggi juga bagus untuk kulit serta membantu melambatkan proses penuaan. 

  1. Membantu Masalah Insomnia
Srinrat Wuttichaikitcharoen/EyeEm/Getty Images

Insomnia adalah merupakan salah satu masalah yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja. Kesukaran untuk tidur ini disebabkan oleh pelbagai faktor dan sebab. 

Tahukah anda, buah bidara seringkali digunakan dalam perubatan alternatif untuk membantu meningkatkan kualiti tidur serta fungsi otak manusia. Hal ini kerana, terdapat beberapa jenis nutrisi yang terdapat di dalam buah bidara yang berperanan dalam membantu meningkatkan kualiti tidur seperti antioksida. 

  1. Membantu Mengawal Tekanan Darah

Setiap 100 g buah bidara dipercayai mengandungi sebanyak 250 mg kalium. Kandungan kalium yang tinggi ini dapat membantu mengawal pengecutan otot seperti otot jantung dan mengelakkan penyempitan salur darah. 

Pengecutan jantung yang normal dan salur darah yang sihat dapat mengawal tekanan darah agar sentiasa berada dalam paras normal. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, adalah disyorkan untuk mengambil buah bidara. 

Kesimpulan

Akhir kata, buah bidara sememangnya sangat baik untuk kesihatan tubuh badan. Bukan sahaja untuk dalaman tubuh, malah ia juga boleh dijadikan ubat untuk luaran tubuh seperti minyak bidara. 

Sumber: rootofscience.com

Leave a comment

Your email address will not be published.