Pantang Larang Kayap, Gejala Awal Dan Komplikasi

Kayap atau dalam istilah perubatannya, herpes zoster adalah merupakan sebuah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus yang dikenali sebagai Virus Varicella Zoster (VZV). 

Virus ini boleh menyebabkan keradangan saraf dan jangkitan pada kulit seperti cacar air. Apabila anda pernah terkena cacar air, virus ini akan terus berada di tubuh anda walaupun anda sudah sembuh. Ia akan berhibernasi dalam saraf atau dikenali sebagai ganglion.

Virus ini akan menjadi aktif semula apabila sistem imun tubuh lemah dan menyebabkan terjadinya kayap. 

Pantang Larang Kayap

Pantang Larang Kayap

Terdapat beberapa pantang larang kayap yang menjadi petua turun temurun untuk membantu mengelakkan pesakit mengalami komplikasi yang teruk. Walaubagaimanapun, anda perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar terlebih dahulu. 

Antara pantang larang semasa terkena kayap yang popular dalam kalangan masyarakat ialah:-

  • Elakkan makan makanan laut, telur dan makanan yang anda alergi. Ini adalah bagi mengelakkan reaksi tubuh anda semakin aktif dan boleh menyebabkan kegatalan melampau.
  • Elakkan makan makanan berminyak. Makanan yang berminyak juga dipercayai boleh menyebabkan kegatalan dan kayap semakin teruk. 
  • Elakkan bahagian tubuh yang ada kayap terkena sabun. Sabun mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan bahagian tersebut mengalami kerengsaan atau gatal.  
  • Jangan makan buah tempatan, buah atau sayur yang menjalar. Mengikut kepercayaan orang tua-tua, kayap akan merebak dan apabila bertemu satu pusingan, ia boleh menyebabkan kematian. Buah atau sayur yang menjalar dipercayai boleh menyebabkan kayap tersebut ‘menjalar’ lebih cepat. 
  • Tidak boleh mendengar bunyi orang menggoreng. 

Pantang larang ini diamalkan bagi membantu proses penyembuhan namun, hampir semua tidak mempunyai bukti kajian atau perubatan yang kukuh.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada hospital dan minta nasihat daripada pakar perubatan sebelum mengamalkan apa-apa petua atau pantang larang. 

Siapa Berisiko Terkena Kayap 

Individu yang berisiko tinggi terkena jangkitan virus ini adalah:

  1. Individu yang sudah berumur lebih daripada 50 tahun (semakin berusia, sistem pertahanan tubuh seseorang semakin berkurangan)
  2. Individu yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah disebabkan oleh kesan ubat-ubatan, mempunyai jangkitan HIV, autoimun dan sebagainya. 

Gejala Awal Dan Komplikasi

Gejala awal yang sering dialami oleh pesakit ialah demam, sakit kepala, lesu, serta rasa kebas, sakit dan panas di kawasan yang terlibat selama lebih kurang tiga hingga lima hari. Biasanya gejala ini berlaku sebelum kayap timbul di permukaan kulit. 

Kemudian, muncul tompok-tompok merah yang sakit, diikuti dengan gelembung bersaiz kecil. Gelembung tersebut mengandungi air yang berwarna kekuningan.

Pantang Larang Kayap

Semakin lama air tersebut menjadi keruh dan gelembung tersebut menjadi kering. Selain itu, pendarahan di kawasan tersebut juga boleh terjadi. Risiko untuk penyakit ini tersebar ke kawasan lain juga tinggi. 

Penyakit ini biasanya terjadi di bahagian urat saraf pada satu bahagian tubuh sahaja. Selalunya ia melibatkan bahagian muka atau badan.

Apabila terjadi kayap di bahagian muka, ia boleh menyebabkan komplikasi pada mata (berisiko untuk buta) serta boleh menjadi penyebab terjadinya facial palsy. 

Di samping itu, penyakit ini juga boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada organ dalaman seperti jantung, paru-paru, otak dan juga usus. 

Kesimpulan

Sekiranya anda mengalami gejala awal  seperti yang dinyatakan di atas, pastikan anda mendapatkan rawatan ke hospital ataupun klinik berhampiran dengan segera. Hal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya komplikasi yang teruk akibat penyakit ini.  

Anda juga disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan sebelum mencuba apa-apa tips, pantang larang kayap ataupun rawatan alternatif.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda! 

Sumber:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161