Beras Perang VS. Beras Putih, Yang Mana Lebih Baik Untuk Kesihatan?

Beras perang atau beras putih? Hmm… Tak tahu nak pilih yang mana!

Sebenarnya, kedua-dua jenis beras ini mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri.

Tidak dinafikan, sebagai rakyat Malaysia, hari-hari kita akan makan nasi. Nasi merupakan makanan utama kita.

Malah, tidak lengkap rasanya kalau tidak makan nasi berlauk setiap hari. Badan pun akan rasa lemah dan tidak bertenaga.

Nasi mengandungi karbohidrat yang sangat penting untuk kesihatan kita. Malah, karbohidrat ini jugalah yang akan membekalkan tenaga untuk kita bekerja sepanjang hari.

Namun, beras perang mungkin lebih sesuai untuk mereka yang menghidap penyakit tertentu, terutamanya diabetes jenis 2.

Nak tahu apakah beza antara dua jenis beras ini? Jom baca penjelasan kami di bawah!

Beras perang VS. beras putih, mana yang lebih baik?

beras perang

Sebagai orang Malaysia, makanan utama kita adalah beras putih.

Sebenarnya, tidak ada banyak beza antara beras putih dan brown rice. Malah, beras putih juga asalnya adalah perang! Ia cuma melalui proses tambahan yang membuatkan warnanya luntur.

Bijirin penuh seperti beras boleh dipecahkan kepada tiga bahagian utama – benih, bran dan endosperma. Setiap komponen mengandungi mineral, vitamin dan protein yang berbeza.

Beras perang mengandungi ketiga-tiga bahagian ini. Sebab itulah, beras perang dikira sebagai bijirin penuh.

Beras putih? Tidak begitu banyak! Proses yang dilalui oleh beras putih akan meninggalkan endosperma yang penuh kanji dan paling kurang berkhasiat.

Pengilang akan memperkayakan beras putih untuk menggantikan sebahagian daripada apa yang hilang semasa pemprosesan.

5 Kebaikan beras perang untuk kesihatan

beras perang

Menurut Men’s Health, otak kita memerlukan 5 gram glukosa setiap jam untuk berfungsi dengan baik. Itu bermaksud, kita perlukan 120 gram glukosa setiap hari untuk memastikan fungsi otak sentiasa berjalan.

1/3 cawan nasi mengandungi 15 gram karbohidrat. Jadi, bagi mereka yang anggap nasi merupakan makanan yang tidak sihat, fikir semula! Nasi sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada diet yang sihat.

Namun, jangan lupa, setiap pengambilan makanan perlulah dilakukan secara sederhana.

Tidak ada makanan di dunia ini yang tidak akan mendatangkan mudarat jika diambil secara berlebihan.

Beras perang mempunyai beberapa kelebihan untuk kesihatan berbanding beras biasa. Antaranya:

1. Kaya dengan nutrisi

Beras perang mempunyai jumlah nutrisi yang lebih banyak berbanding beras biasa.

Ia mengandungi serat, antioksidan, vitamin dan mineral yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, perbezaannya tidaklah terlalu besar.

Sebagai perbandingan, 100 gram beras perang mengandungi 1.6 gram serat. Manakala, 100 gram beras putih pula mengandungi 0.4 gram serat.

2. Beras perang dapat membantu mengawal kadar gula

Bagi mereka yang mempunyai masalah kadar gula dalam darah yang tinggi, cuba bertukar kepada brown rice. Ia kaya dengan magnesium dan serat yang dapat membantu mengawal gula dalam darah.

Menurut kajian, individu yang kerap mengambil bijirin penuh seperti beras perang mempunyai tahap gula dalam darah yang lebih rendah.

Bukan itu sahaja, risiko diabetes jenis 2 juga dapat dikurangkan.

Bagi penghidap kencing manis, beras perang lebih sesuai untuk diambil setiap hari. Indeks glisemiknya juga lebih rendah berbanding beras biasa.

Namun, kedua-dua makanan ini kaya dengan karbohidrat.

Oleh sebab itu, ada kemungkinan, kadar gula dalam darah masih akan meningkat selepas anda makan apa jua jenis nasi.

3. Mungkin dapat mengurangkan risiko sakit jantung

beras perang

Kajian menunjukkan, beras perang dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Pengambilan bijirin penuh dapat mengurangkan kolesterol jahat dalam badan.

Bukan itu sahaja, pengambilan beras ini juga dikatakan dapat meningkatkan tahap kolesterol baik dalam badan.

Namun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk menyokong dapatan ini.

4. Kaya dengan antioksidan

Beras ini juga mengandungi banyak antioksidan yang bermanfaat untuk badan.

Antioksidan ini dapat mengurangkan inflamasi dan penyakit seperti sakit jantung, kanser dan diabetes jenis 2.

5. Membantu menurunkan berat badan

Brown rice juga mungkin dapat mengurangkan berat badan dan BMI anda.

Malah, bagi mereka yang ingin lebih langsing, beras perang merupakan pilihan makanan yang terbaik kerana ia mampu mengecilkan saiz pinggang!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: