Kenapa Popeye Suka Makan Bayam? Ini 7 Manfaatnya Terhadap Kesihatan!

Masih ingat lagikah anda pada Popeye the Sailor Man? Jika anda meminati animasi ini, pasti anda tahu betapa gemarnya Popeye terhadap sayur bayam. Malah, disebabkan kartun ini jugalah, sayur ini semakin dikenali ramai sebagai sejenis superfood.

Manakan tidak, bayam mengandungi banyak nutrisi. Jumlah kalorinya juga rendah, sesuai untuk mereka yang sedang berdiet.

Malah, sayur ini juga dapat memberi manfaat kepada kulit, rambut dan juga tulang anda!

Bukan itu sahaja, sayur ini juga sangat baik jika diamalkan oleh individu yang menghidap kencing manis. Indeks glisemiknya (GI) yang rendah membolehkan pesakit diabetes menikmati sayur ini dengan kerap.

Ingin tahu apa lagi manfaat lain sayur ini? Jom ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah!

Fakta nutrisi

bayam

Menurut MedicalNewsToday, secawan bayam mengandungi:

  • 7 kalori
  • 0.86 g protein
  • 29.7 mg kalsium
  • 0.81 g zat besi
  • 24 mg magnesium
  • 167 mg kalium
  • 141 mikrogram (mcg) vitamin A
  • 58 mcg folat

Bayam juga mengandungi vitamin K, serat, fosforus, dan thiamine. Sebahagian besar kalori dalam sayuran ini berasal dari protein dan karbohidrat.

7 Khasiat sayur bayam untuk kesihatan

Sayur ini bukan sahaja murah dan mudah didapati, ia juga mengandungi 1001 khasiat untuk badan. Namun, 7 khasiatnya yang paling menyerlah ialah:

1. Baik untuk kesihatan mata

Tahukah anda, warna hijau pada daun bayam menandakan sayur ini kaya dengan klorofil? Bukan itu sahaja, ia juga mengandungi karotenoid seperti beta karotena, lutin dan zeaxanthin.

Semua fitonutrien ini sangat penting untuk kesihatan mata. Malah, ia berkesan untuk mengelakkan penyakit seperti katarak dan degenerasi makula.

2. Sayur bayam bagus untuk menambah tenaga

bayam

Sama seperti apa yang anda tonton di kaca televisyen, benar, bayam dapat membuatkan anda lebih bertenaga dan kuat!

Sayur ini kaya dengan zat besi yang sangat penting untuk penghasilan sel darah merah. Tanpa sel darah, badan tidak mampu untuk menghantar oksigen ke setiap sel badan.

Walau bagaimanapun, bayam mengandungi asid oksalik yang mungkin akan menghalang badan daripada menyerap zat besi dengan efektif.

Namun, masalah ini dapat diatasi dengan mudah. Jika anda masak bayam, asid oksalik akan terurai dengan sendirinya!

3. Baik untuk jantung

Sayur bayam mengandungi nitrat, sejenis nutrisi yang dapat meningkatkan peredaran darah. Malah, ia juga dapat membantu salur darah menjadi lebih relaks.

Oleh sebab itu, sayur ini amat sesuai diambil oleh individu yang mempunyai tekanan darah tinggi.

Kajian menunjukkan, makanan yang kaya dengan nitrat dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok!

4. Menguatkan tulang

Sayur ini juga merupakan sumber vitamin K yang terbaik.

Malah, ia juga mengandungi magnesium, kalsium dan fosforus – semuanya amat penting untuk memastikan tulang kekal sihat dan kuat sepanjang hayat!

5. Sayur bayam mungkin dapat melindungi anda daripada kanser

Sayur bayam juga mengandungi polifenol, sejenis bahan yang mampu melindungi kita daripada kanser.

Malah, bayam juga mungkin dapat mengurangkan risiko kanser kolon. Semuanya disebakan sifat anti kanser serta kandungan vitaminnya yang tinggi.

6. Membantu menurunkan berat badan

Jika anda ingin berdiet, cuba tambahkan lebih banyak bayam ke dalam diet harian.

Sayur ini bukan sahaja kaya dengan serat yang dapat membuatkan anda rasa lebih kenyang, ia juga mempunyai kandungan kalori yang sangat rendah.

Malah, disebabkan kandungan seratnya yang tinggi, ia juga dapat membantu melegakan masalah sembelit!

7. Baik untuk kulit

bayam

Kulit merupakan organ badan yang paling besar. Jika anda inginkan kulit yang cantik, anda perlu menjaga pemakanan anda.

Antara makanan yang terbaik untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cantik ialah sayur bayam!

Ia mengandungi vitamin A, C dan E yang memainkan peranan penting untuk memastikan kulit sentiasa sihat.

Adakah sayur bayam selamat untuk dimakan?

Untuk kebanyakkan orang, bayam merupakan makanan yang selamat. Namun, sayur ini mengandungi oksalat yang tinggi.

Oleh sebab itu, individu yang mempunyai penyakit batu karang mungkin perlu mengurangkan pengambilan bayam.

Sama jugalah dengan indiviu yang sedang mengambil ubat penipisan darah. Sebelum makan banyak bayam, pastikan anda dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: